Seni & Sukan 11 Jul, 2021

Terbaiklah Mohd Affendy! Sanggup bertukang semasa PKP! Beri hadiah 'kerusi cinta' buat isteri!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil.

Share this


TERKURUNG di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan akibat pandemik Covid-19, menjadi titik tolak seorang lelaki untuk mencabar kemampuan dirinya.

Jika sebelum ini, beliau berjinak-jinak menanam sayur dan ‘beraksi’ di dapur, kini Mohd Affendy Japar, 42, menunjukkan kemahiran bertukang pula.

Menurut penolong pengarah di salah sebuah agensi kerajaan itu, idea untuk menyiapkan 'kerusi cinta' tersebut diperoleh melalui Kumpulan Seni Kayu Pallet dalam laman Facebook.

“Kebetulan pula waktu itu, tarikh ulang tahun perkahwinan dan hari lahir isteri semakin hampir. Jadi saya membuat keputusan untuk menghadiahkan isteri tersayang dengan sebuah kerusi homemade (buatan sendiri) yang istimewa,” kata Mohd Affendy ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hari lahir

Antara peralatan bertukang dan bahan yang digunakan termasuklah kayu pine yang dibeli lebih awal.


Ditanya bagaimana beliau mendapat bahan dan peralatan untuk bertukang memandangkan banyak kedai yang tutup, bapa kepada enam cahaya mata itu memberitahu sudah membelinya terlebih awal. 

“Untuk menyiapkan kerusi ini, saya menggunakan kayu pine yang telah dibeli dari kilang sebelum pelaksanaan PKP selain mendapatkan bahan secara dalam talian dalam platform Shopee.

“Secara keseluruhan, saya mengambil masa empat hari iaitu pada Sabtu dan Ahad untuk menyiapkan kerusi ini. Senang cerita, dalam tempoh dua minggu,” ujarnya.


Rangka awal kerusi yang telah disiapkan Mohd Affendy.


Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, pada hari bekerja beliau akan mengikuti mesyuarat secara online di platform Zoom, Google Meet dan sebagainya. Jadi, hari Sabtu dan Ahad serta hari cuti kelepasan am digunakan untuk menyiapkan bangku tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Affendy mengakui terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi dalam proses membuat bangku istimewa itu, namun beliau tidak berputus asa.


Salah seorang anak perempuan Mohd Affendy turut membantu kerja-kerja mengecat kayu pine.


“Saya bukanlah tenaga mahir dalam ilmu pertukangan, sebaliknya hanya merujuk kepada rakan-rakan yang ada kemahiran mengenainya dan juga melihat video dalam saluran YouTube. Adakalanya saya tersalah potong ukuran yang tepat dan tidak kukuh. 

“Selain itu, saya juga cuba menarik minat anak-anak untuk turut sama membantu dalam menyiapkan kerusi ini seperti mengajak mereka melakukan kerja-kerja mengecat kerana tidak mahu mereka terlampau habiskan masa dengan gajet. Alhamdulillah, mereka teruja untuk membantu,” jelasnya.


Lelaki ini turut mengajak anaknya membantu dalam proses menyiapkan kerusi tersebut. 


'Kerusi cinta' yang telah berjaya disiapkan oleh Mohd Affendy sempena ulang tahun perkahwinannya dan ulang tahun kelahiran isterinya baru-baru ini.


Selepas berjaya menyiapkan kerusi berkenaan, Mohd Affendy berasa amat gembira dan berpuas hati kerana tanpa mengeluarkan modal yang besar, beliau dapat menghasilkan hadiah bermakna buat isteri tercinta.

“Walaupun mungkin hasil akhirnya tidak begitu cantik dan sekemas seperti yang dijual di kedai, tetapi saya bersyukur kerana ia dilakukan dengan kerja tangan sendiri.

“Paling bahagia sudah tentulah apabila isteri menghargai usaha kita dengan kegembiraan yang dipamerkan sebaik melihat kerusi ini sudah boleh berfungsi,” kongsi lelaki ini.


Wanita ini gembira menerima hadiah ulang tahun perkahwinan berupa 'kerusi cinta daripada suami. 


Mengakui turut terkesan dengan pelaksanaan PKP ini termasuk kekangan membuat aktitviti luar, Mohd Affendy bagaimana pun memahami bahawa ia merupakan usaha kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 demi kesihatan rakyat.

Nasihat saya, carilah aktiviti atau minat yang boleh kita lakukan di rumah bersama keluarga. Jangan lakukan aktiviti sendirian atau hanya duduk berkurung di bilik.

Ambil kesempatan PKP ini untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Percayalah kasih sayang sesama keluarga akan menjadi lebih erat jika banyak aktiviti dilakukan bersama,” tuturnya mengakhiri bicara.

Tahniah buat Mohd Affendy. Semoga lebih ramai lelaki atau para suami di luar sana yang tampil mencabar keupayaan diri meski pun terkurung di rumah sendiri. - KitaReporters


Mohd Affendy Japar bersama isterinya, Khadijah duduk di atas 'kerusi cinta' yang disiapkan sendiri. - Kredit Foto: Koleksi Peribadi Mohd Affendy 


Mohd Affendy mengajak masyarakat supaya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

18
5
0
0
0
You will be interested