Seni & Sukan 12 Jun, 2022

Video| Denden Gonjalez lulus ujian, persembahan mantap! Konsert Search Rockin' On Rooftop hebat!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


MENGADAKAN persembahan di tempat terbuka adalah risiko yang perlu dipikul oleh penganjur. Keresahan itu turut dirasai Search Rock Station selaku penganjur konsert Search Rockin’ On Rooftop yang diadakan di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada semalam (11 Jun 2022). 

Dek kerana hujan lebat, konsert yang dijadualkan pada pukul 9 malam, hanya dimulakan kira-kira sekitar pukul 10 malam. Peminat yang membanjiri sekitar premis bangunan tersebut sejak awal masih setia menunggu walaupun rata-rata kebasahan.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan Search

Search merupakan kumpulan pertama yang mengadakan konsert di atas bumbung Kompleks Campbell pada tahun 2022 ini.



Rata-rata peminat Search yang hadir bukanlah golongan ‘hingusan’, masing-masing sudah menjadi bapa orang dan berkerjaya kerana mereka membesar dengan lagu-lagu daripada kumpulan yang ditubuhkan sejak 1981.

Konsert yang berdurasi kira-kira dua jam itu bukan dipersembahkan untuk penggemar lagu-lagu Search tapi khusus untuk peminat-peminat tegar kumpulan tersebut yang dianggarkan sekitar 3,000 orang. 

Penggemar lagu Search mesti tertunggu untuk mendengar Denden Gonjalez, 39, mendendangkan lagu ‘killer’ kumpulan tersebut seperti Isabella, Gadisku atau Fantasia Bulan Madu.



Vokal Denden mantap, petikan gitar Kid dan Din begitu bertenaga sepanjang konsert.


Malangnya, bagi penggemar lagu Search, senarai 14 buah lagu yang dipersembahkan, mereka hanya boleh ‘berkaraoke’ bersama Denden yang berasal dari Bandung itu menerusi lagu Fantasia Bulan Madu saja. 

Beza dengan ‘die hard fan’ kerana semua lagu yang didendangkan (jarang diketengahkan sewaktu konsert) mereka tetap boleh ‘headbanging’ kerana semua lagu Search sudah sebati dengan jiwa masing-masing tanpa mengira siapa yang mendendangkannya. 

Persembahan dimulakan dengan lagu Bencana, Metropolitan, Pasti, Purnama, Melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Bersalah Atau Tidak, Rock n Roll Pie, Emannuelle, Diari Habil & Qabil, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Teguh dan Neo Romantik. 

Selain itu Denden juga berduet dengan Ella menerusi lagu Bayangan dan Ratu Rock itu turut mendendangkan lagu Search iaitu Melayar Bahtera. Konsert penuh gilang gemilang tersebut turut menampilkan Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bes) dan pemain dram baharu, Minn.


Ella dan Denden bergandingan menerusi lagu Bayangan.


Meskipun ini kali pertama Denden beraksi dengan kumpulan Search, rata-rata penonton yang menonton persembahannya memuji kewibawaan penyanyi dari seberang itu.

Bagi Kid atau Hamzah Taib, dia amat berpuas hati dengan persembahan Denden, biarpun usia perkenalan atau kerjasama mereka masih setahun jagung.

“Denden memberikan persembahan cukup luar biasa dan menepati segala perancangan kami. Meskipun kami berpeluang bersama dalam waktu yang sangat singkat, tapi kami cuba gandakan usaha dan latihan setiap hari. 

“Pun begitu, kami tetap dapat keputusan yang baik sewaktu konsert. Denden memberikan sepenuh tenaga yang ternyata mampu memukau semua yang hadir demi meneruskan legasi Search yang sudah 41 tahun ditubuhkan,” katanya.


Yan, antara pemain bes yang disegani ramai di tanah air.



Sementara itu, penyanyi Datuk Hattan yang hadir memberi sokongan, melahirkan rasa terkejut dengan kehebatan dan kemampuan Denden.

"Dia menyanyi sedap, melekat dan memang 'sesuatu' Denden ini. Mula-mula saya tengok dia seorang yang pemalu, tapi bila tengok tadi, dia nyanyi memang sedap.

"Saya harap Search terbang tinggi ke negara seberang. Saya percaya kalau mereka keluar album penuh, boleh meletup dan ia boleh merentasi pasaran Indonesia kerana penyanyinya dari sana. 

"Lepas konsert saya ada berbual dengan Datuk M Nasir, kami mengatakan sekiranya mereka keluar album, lagunya mesti sedap. Saya juga berharap mereka akan menjalankan siri jelajah," katanya yang ditemani isteri, Datin Arianie Abidin. 

Ketukan dram daripada Minn juga memikat hati penonton.


Hattan turut mengakui yang dia sudah lama tidak mendengar muzik sebegini yang dipersembahkan sepanjang konsert tersebut.

“Memang 'sound' Search ada pada Din dan Kid. Bila saya dengar Din memainkan lagu Teguh, saya sedih, seperti mahu menangis. Saya sangat seronok.

“Sebenarnya, saya rindu nak tengok Din dan Kid main dan saya berpuas hati. 'Sound' yang diberikan memang terbaik. Kunci 'sound' Search itu memang ada pada Din dan Kid. Tiada siapa boleh menafikan. 

"Tanyalah siapa pun, saya pasti mereka mempunyai pendapat yang sama. Berbaloi datang konsert ini. Saya layan habis menonton konsert ini," katanya. 

Selain Hattan, Datuk M. Nasir yang ditemani isteri, Datin Marlia Musa turut menikmati persembahan Search dengan santai.

Rakan-rakan artis lain yang datang ialah Datuk Ramli Sarip, Ezad Lazim, Tam Spider, Andy Flop Poppy, Along Exists, Addy Craddle, Neves Pretty Ugly dan Bob Pilgrims. KitaReporters


Dua beradik ini, Kid dan Din merupakan tonggak Search.

13
12
0
10
0
You will be interested