Seni & Sukan 18 May, 2020

Jalur Gemilang di dada! Safee nak sarung semula jersi negara

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SEMANGAT dan hasrat bekas penyerang negara, Safee Sali tidak pernah padam malah sentiasa membara untuk menyahut jika masih ada panggilan Harimau Malaya buatnya sekalipun pada usia 36 tahun. Ketika rakan sebaya seperti Shukor Adan, Amri Yahyah, Indra Putra Mahyuddin dan Badri Radzi kerap dilabel ‘kuda tua Liga M’ oleh majoriti Ultras Malaya (penyokong setia pasukan negara), Safee tetap menagih jersi Nombor 10 Malaysia itu. : KitaReporters

SAFEE Sali (kiri) mengunjungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya pada awal Mei 2020. - Kredit foto FB Reezal


Buktinya, penyerang kelahiran Kajang, Selangor ini gigih menjalani latihan dan senaman di rumah bagi mengekalkan kecergasan di tengah-tengah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik maut Covid-19.  

Safee, kini mewakili PJ City FC dalam Liga Malaysia, terpilih menyampaikan pesanan video menerusi ‘Kempen Kekal Aktif’ melalui laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 13 Mei 2020.

Dia menyertai pemain Iraq,  Bashar Resan dan penjaga gol Nepal, Bishal Shrestha dalam kempen yang menggalakkan peminat bola sepak meningkatkan kesejahteraan diri sambil mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengenai penjarakan sosial bagi memutuskan rantaian penularan Covid.

“Hai, saya Safee Sali, inilah cara saya kekal cergas di rumah,” katanya dengan melakukan senaman ‘situp’ (duduk tubi melunjur kaki) dalam mesej video bertempoh hampir 10 saat itu.


SAFEE Sali (kanan) ketika beraksi buat Harimau Malaya dalam Piala AFF 2016.


Safee masih menaruh harapan untuk memikat hati ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang mungkin disambung semula Oktober ini setelah tertangguh sejak Mac 2020.

Jika terpilih semula, menentang sama ada Amiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam atau Thailand bakal mencatat penampilan antarabangsanya ke-77 sejak kali terakhir memperkasa Harimau Malaya menentang Filipina dalam perlawanan persahabatan, 22 Mac 2017.

Sebagai penyerang dengan reputasi Penjaring Terbanyak Piala AFF 2010, Safee juga pasti mengidam menggegar gawang lawan selepas 22 kali melakukannya di pentas antarabangsa dengan yang terakhir, terhadap Singapura dalam kejohanan itu, enam tahun lalu.

BERSAMA PJ City FC, Safee perlu kerap menjaringkan gol jika Liga M disambung semula 1 September ini sejak tertangguh 16 Mac lalu, untuk memikat jurulatih Harimau Malaya. 



AFC turut memilihnya dalam kempen Kekal Aktif ini kerana mengenang jasanya dalam membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala AFC 2015 selepas mengalahkan kelab Istiklol (Tajikistan) 1-0 dalam perlawanan akhir di Dushanbe.

“Membina sistem pertahanan badan kita sendiri penting ketika ini.

"Sebagai langkah tambahan mematuhi garis panduan WHO mengenai penjarakan sosial dan kebersihan diri, kegiatan fizikal membantu mengukuhkan sistem pertahanan badan kita.

“Turut penting ialah membina masyarakat sekitar kita, sistem sokongan yang kuat dalam memotivasikan dan mendorong sesama sendiri.

“Kita tahu bahawa bola sepak seperti semua sukan berpasukan dan bertembung badan, akan memerlukan masa untuk diteruskan (gara-gara Covid-19).

“Menerusi kempen Kekal Aktif ini, kita boleh bergandingan dengan keluarga dan rakan kita, untuk mencabar sesama sendiri dan berkongsi pengalaman kita supaya kita boleh terus terjalin,” kata Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) ini, dipetik daripada the-afc.com.


SAFEE bersama anak-anak dan isteri membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital. - Kredit foto FB Safee


Anggota Harimau Malaya juara Piala AFF 2010 ini juga pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia AFC 2007, manakala karier Liga M turut menyaksikannya mewakili Kuala Lumpur, Sarawak, Selangor dan PKNS selain kelab Liga Indonesia, Pelita Jaya dan Arema Cromus.

Siri kempen Kekal Aktif AFC ini turut akan mengundang Cheng Hoe selain bintang Iran, Reza Ghoochannejhad dan penyerang Mongolia, Naranbold Nyam-Osor menyampaikan pesanan masing-masing dalam minggu-minggu akan datang. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested