Seni & Sukan 21 May, 2020

Surat kepada Dr Zulkifli! Nak buat Bayyan Linnas versi komik

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

IMPIANNYA ialah ingin menulis dan mengeluarkan komik berbentuk keagamaan untuk kanak-kanak berdasarkan tulisan Bayyan Linnas oleh Menteri Hal Ehwal Agama Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, jika diizinkan. : KitaReporters

Menteri Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkilfi Mohamad al-Bakri menunjukkan surat dan kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta kiriman kuih muih daripada Nadzrul Zafran Sharul Azly, di Kuala Lumpur. - Kredit foto: FB Dr  Zulkifli Mohamad al-Bakri.


Langkah tersebut diambil kerana melalui penulisan komik, ilmu agama khususnya akan mudah dipelajari kanak-kanak memandangkan ilmu boleh disampaikan secara lebih santai, menarik dan mudah difahami.

Hasrat ini disampaikan oleh Nadzrul Zafran Sharul Azly melalui surat yang dihantar bersama kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri berserta kuih muih kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Inilah kandungan surat yang dihantar oleh Nadzrul Zafran Sharul Azly kepada Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyatakan ingin bekerjasama menghasilkan buku Bayyan Linnas versi komik bagi menarik minat kanak-kanak mempelajari ilmu agama - Kredit foto: FB Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.


Melalui surat ringkas itu Nadzrul Zafran (tidak menyatakan usia dan daripada mana) berharap hasratnya itu mendapat reaksi balas dan kerjasama Dr Zulkifli untuk menulis buku Bayyan Linnas dalam versi komik bagi tujuan menarik minat golongan kanak-kanak mempelajari ilmu agama.

Cita-cita dan impian Nadzrul Zafran telah dimuat naik oleh Menteri Hal Ehwal Agama itu melalui laman FB peribadi beliau salepas menerima kiriman surat berserta kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan kuih-muih berkenaan pada Isnin, 18 Mei 2020.

Nadzrul Zafran melalui suratnya itu berharap Datuk Dr Zulkifli terus gigih melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan memainkan peranan bagi kepentingan semua.

"Teruskan usaha! Langkah kecil juga bermakna! Selagi kita bergerak ke hadapan, dan ia boleh memberi perubahan yang besar," kata Nadzrul Zafral dengan memetik kata-kata saranan Chris Gardner melalui buku Mengejar Kebahagiaan.

"Datuk juga jagalah diri dengan mendapatkan rehat yang cukup dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19," tambahnya.

Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri melihat surat dan kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang dihantar oleh Nadzrul Zafran Sharul Azly - Kredit foto: FB Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.


Sebelum itu, pada tulisan memulakan suratnya, Nadzrul Zafran bertanyakan khabar dan  berharap menteri berkenaan sihat walafiat, beliau dan keluarga turut mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri. 

"Ke hadapan YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Apa Khabar? 

"Saya harap Datuk dan keluarga sihat walafiat.Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

"Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah di atas perlantikan Datuk sebagai Menteri Hal Ehwal Agama.

"Sejurus dengan apa yang sedang berlaku di negara kita saya mendoakan agar semua urusan Datuk dipermudahkan dan diberi rahmat dalam menjalankan tugas sebagai menteri," tulisnya.


Pada kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang dikirimkan Nadzrul Zafran turut juga memuatkan pantun dua kerat bertujuan dengan harapan Datuk Dr Zulkifli dapat membalas surat tersebut salepas membacanya. 

Pantunnya berbunyi : Pecah kaca pecah gelas, Lepas baca harap balas."

Sementara itu, Datuk Dr Zulkifli dalam hantaran balasnya yang ringkas dalam media sosial beliau, mengucapkan terima kasih dan terharu dengan kiriman kad ucapan Selamat Hari Raya dan kuih muih. 

Juga akan mengingati nasihat dan pesanan diberikan kepadanya.

"Terima kasih anaknda Nadzrul Zafran untuk kiriman kad raya dan hadiah kuih muih. Pakcik akan ingat nasihat dan pesanan Anaknada.

"Siap ada pantun. Pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas.

"Insya-Allah nanti Pakcik akan balas kad raya anakanda sekeluarga,"  ujar Dr. Zulkifli. - KitaReporters

Kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada Nadzrul Zafran Sahrul Azly dan keluarga yang dihantar kepada Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri  - Kredit foto: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

                                     

1
1
0
0
0
You will be interested