PELAKSANAAN Sistem Penggiliran Berasaskan Nombor Pendaftaran Kenderaan yang dijadualkan bermula Rabu, 1 April 2020 oleh polis Terengganu ditangguhkan terlebih dahulu. : KitaReporters
Pemberitahuan mengenai penangguhan pelaksanaan Sistem Penggiliran Berasaskan Nombor Pendaftaran Kenderaan di atas jalan raya turut tular dalam laman sosial.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik penangguhan itu dilakukan bagi membolehkan pihaknya menjalankan kajian lanjut berhubung sistem yang pada awalnya dicadangkan sebagai satu langkah bagi menghadkan pergerakan kenderaan di atas jalan raya.
"Berdasarkan perancangan awal, sistem ini bakal dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa II yang bermula 1 April hingga 14 April 2020.
"Namun terpaksa ditangguhkan kerana perlukan kajian impak lebih terperinci.
"Banyak komen atau respons diterima khususnya daripada masyarakat, ada yang baik serta tidak menyenangkan.
"Sehubungan itu, saya mengesahkan pelaksanaan Sistem Penggiliran Berasaskan Nombor Pendaftaran Kenderaan di negeri Terengganu yang dijadualkan bermula 1 April 2020 adalah ditangguhkan,"katanya.
Jumlah kenderaan masih tinggi di atas jalan raya ekoran masyarakat seolah-olah tidak mengendahkan penguatkuasaan PKP.
Pelaksanaan Sistem Penggiliran Berasaskan Nombor Pendaftaran Kenderaan yang pada awalnya dijadualkan bermula 1 April 2020 sebelum ditangguhkan, dijangka dapat kurangkan sekitar 50 peratus jumlah kenderaan termasuk motosikal di atas jalan raya.
Sementara itu, terdahulu pada Selasa, 31 Mac 2020, KitaReporters menyiarkan laporan penduduk di Terengganu hanya boleh keluar (tubik) secara bergilir- gilir sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa kedua yang bermula 1 April 2020, berikutan Polis Terengganu laksanakan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya.
Kaedah penggiliran ialah dengan menjadikan angka terakhir bagi setiap nombor pendaftaran kenderaan sebagai panduan sama ada ganjil ataupun genap.
Pendekatan sistem sedemikian terpaksa dilaksanakan untuk mengehadkan jumlah kenderaan berikutan masih tinggi di atas jalan raya ekoran masyarakat seolah-olah tidak mengendahkan penguatkuasaan PKP oleh anggota polis dan tentera. - KitaReporters