Seni & Sukan 11 May, 2021

Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Shahrul diketepikan! Harimau Malaya panggil Mat Don, Arif, Sam

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

KETIADAAN Shahrul Saad atau digelar Badak (kanan) dalam kem latihan negara, meninggalkan posisi bek tengah utama disaingi Dominic Tan, Junior Eldstal, Aidil Zafuan Radzak, Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria. - Kredit foto: FAM


SHAHRUL Saad, bekas kapten Perak FC yang baru-baru ini menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) FC diketepikan dari kem latihan pusat Harimau Malaya mulai 16 Mei 2021 ini bagi menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada Jun 2021.

Turut tiada dalam senarai 25 pemain yang dipanggil ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe ialah penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri Md. Fauzi yang turut tercedera ketika mereka mengharungi perlawanan Liga Super 2021menentang PJ City FC dan Sri Pahang FC.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya


Sebaliknya sayap kanan JDT, Safawi Rasid yang terlepas kem latihan di Johor Bahru, Johor dari 22 hingga 28 Mac 2021 lalu juga dek kecederaan, kembali tersenarai kali ini menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa dan baki tiga perlawanan Kumpulan G kelayakan.

Juga mendapat panggilan Cheng Hoe semula ialah dua pemain kelab Liga Thailand, Dominic Tan Jun Jin (Police Tero FC) dan Junior Eldstal (Chonburi FC) selain tiga muka baharu, Liridon Krasniqi (Newcastle United Jets, Australia), Arif Aiman Mohd. Hanapi (JDT) dan penjaga gol Penang FC, Samuel Somerville.


PENJAGA gol Penang FC, Samuel Somerville mendapat panggilan sulung latihan pusat pasukan negara. - Kredit foto: FB Penang FC.


Siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyebut, skuad 25 pelatih kebangsaan ini akan menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sehingga 19 Mei 2021 dan akan terbang ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sehari kemudian.

Siri perlawanan persahabatan pemanas badan menjelang kelayakan, menentang Kuwait (bukan tahap 1 antarabangsa) dijadualkan di Dubai pada 23 Mei 2021, manakala Bahrain (tahap 1 antarabangsa) menanti di Manama, lima hari kemudian.  

Liridon (pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya), Junior dan Dominic serta seorang penyerang remaja KVK Kortrijk, Belgium - Luqman Hakim Shamsudin tidak perlu melapor diri ke Bukit Jalil, sebaliknya akan berlepas dari negara pangkalan masing-masing terus ke Dubai pada 20 Mei 2021. 


LIRIDON Krasniqi atau juga dikenali Mat Don, bekas pemain Kosovo yang dinaturalisasikan FAM pada Februari 2020. - Kredit foto: FB Liridon


Malaysia akan menyambung baki aksi Kumpulan G kelayakan yang tertunda sejak Mac 2020 akibat pandemik Covid-19 itu dengan menentang tuan rumah, UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun 2021 (12.45 tengah malam, 4 Jun 2021 waktu Malaysia).

Pendahulu kumpulan, Vietnam pula akan menjadi lawan berikutnya pada 11 Jun 2021 (12.45 tengah malam, 12 Jun 2021 waktu Malaysia) dan Thailand, 15 Jun 2021 (12.45 tengah malam, 16 Jun 2021 waktu Malaysia) dengan kedua-dua perlawanan ini di Stadium Al Maktoum, Dubai.

Malaysia mengekori Vietnam di tempat kedua kumpulan selepas menewaskan Indonesia 3-2 (Jakarta) dan 2-0 serta Thailand 2-1 (Bukit Jalil), namun dikalahkan Vietnam 1-0 (Hanoi) dan UAE 2-1 (Bukit Jalil) sepanjang kempen kelayakan pada 2019.


SHAHREL Fikri Md. Fauzi atau Eky (kanan), penyerang Selangor FC tercedera serius ketika menentang Sri Pahang FC dalam Liga Super. 


Sementara itu, Kuwait atau Al Azraq (Si Biru) menghuni ranking ke-148 dunia dengan Malaysia, lima anak tangga di belakangnya, manakala Bahrain atau Al ‘Ahmar (Si Merah) di ranking ke-99.

Vietnam, Thailand, UAE dan Indonesia pula masing-masing menduduki ranking ke-92, 106, 73 dan 173.

Kali terakhir Malaysia menentang Kuwait ialah dalam perlawanan persahabatan antarabangsa A yang menyebelahi Al Azraq 3-0 pada 8 November 2013 di Stadium Al-Sadaqua Walsalam, Kuwait.

Bahrain pula memenangi pertemuan terakhir dengan Harimau Malaya, 1-0 dalam perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional Bahrain, Manama pada 15 November 2013.


SAFAWI Rasid kembali mendapat panggilan Tan Cheng Hoe selepas pulih daripada kecederaan lutut. - Kredit foto: FAM


Hanya juara setiap kumpulan kelayakan ini, akan mara secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia di China dan meneruskan pemburuan empat setengah tiket wakil benua ini ke Piala Dunia di Qatar.

Slot selebihnya akan menjadi milik empat naib juara terbaik daripada kelapan-lapan kumpulan ini, namun yang gagal menyambarnya, masih perlu berjuang dalam pusingan ketiga kelayakan tetapi hanya untuk tiket Piala Asia.

Sejak menyertai Kelayakan Piala Dunia pada 1973, skuad negara masih kempunan ke pusingan akhirnya, manakala dua penampilan pusingan akhir Piala Asia secara merit ialah tanggal 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait.

Malaysia hanya layak secara automatik sebagai tuan rumah Piala Asia 2007 bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia. - KitaReporters

TAN Cheng Hoe berdepan tugas getir menyiapkan pasukan negara menjelang lima perlawanan antarabangsa mulai 23 Mei ini. - Kredit foto: FAM  




SKUAD 25 PEMAIN HARIMAU MALAYA (16 MEI 2021 - 15 JUN 2021)

 BIL.  NAMA                                                               UMUR  PASUKAN/POSISI

1.

 MOHD. FARIZAL MARLIAS

35

JDT FC 

PENJAGA GOL

2.

 MATTHEW DAVIES

26

JDT FC

BEK KANAN

3.

 MOHAMAD AIDIL ZAFUAN ABD. RADZAK

34

JDT FC

BEK TENGAH

4.

 ADAM NOR AZLIN

25

JDT FC

BEK TENGAH

5.

 LA’VERE CORBIN-ONG

30

JDT FC

BEK KIRI

6.

 MOHAMED SYAMER KUTTY ABBA

24

JDT FC

PERANTARA

7.

 MUHAMMAD NAZMI FAIZ MANSOR

27

JDT FC

PERANTARA

8.

 MUHAMMAD AKHYAR ABDUL RASHID

22

JDT FC

PERANTARA

9.

 MOHAMADOU SUMAREH

27

JDT FC

SAYAP KIRI

10.

 MUHAMMAD SYAFIQ AHMAD

26

JDT FC

PENYERANG

11.

 MUHAMMAD SAFAWI RASID

24

JDT FC

SAYAP KANAN

12.

 ARIF AIMAN MOHD HANAPI

19

JDT FC

SAYAP KIRI

13.

 GUILHERME DE PAULA LUCRECIO

35

JDT FC

PENYERANG

14.

 MOHD. KHAIRULAZHAN MOHDKHALID

32

SELANGOR FC

PENJAGA GOL

15.

 MUHAMMAD SYAHMI SAFARI

23

SELANGOR FC

BEK KIRI

16.

 BRENDAN GAN

33

SELANGOR FC

PERANTARA

17.

 MUHAMMAD IRFAN ZAKARIA

26

KUALA LUMPUR CITY FC

BEK TENGAH

18.

 MUHAMAD NOR AZAM ABDUL AZIH

26

SRI PAHANG FC

PERANTARA

19.

 MOHD. RIZAL MOHDGHAZALI

29

KEDAH DARUL AMAN FC

BEK KANAN

20.

 LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN

19

KV KORTRIJK, BELGIUM

PENYERANG

21.

 NORSHAHRUL IDLAN TALAHA

35

SARAWAK UNITED FC

PENYERANG

22.

 SAMUEL JACOB SOMERVILLE

27

PENANG FC

PENJAGA GOL

23.

 LIRIDON KRASNIQI

29

NEWCASTLE JETS, AUSTRALIA

PERANTARA

24.

 JUNIOR ELDSTAL

30

CHONBURI FC, THAILAND

BEK TENGAH

25.

 DOMINIC TAN

24

POLICE TERO FC, THAILAND

BEK TENGAH

 

 

 

 

 

 

0
0
0
1
0
You will be interested