Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 48, sudah menamatkan gelaran jandanya dengan menjadi isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli, 55.
Dr Rushdi adalah rakan baik sejak kecil arwah suaminya, Johan Nawawi. Pernikahan itu tidak dihebah kepada media.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin hanya membuat pengumuman dalam Instagramnya semalam, 2 Disember 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Nora Ariffin
Nora mengabadinya foto dengan suami barunya, Dr Rushdi dalam Instagramnya
Nora tidak memberi butir lanjut mengenai tarikh penikahan itu dan di mana berlangsung. Bagaimanapun difahamkan akad nikah berlangsung pada hari yang sama gambar dan cerita pernikahan itu dimuat naik iaitu pada 2 Disember 2021.
Dalam hantaran yang sama, dia memohon maaf tidak menghebahkan pernikahannya secara meluas. Ini kerana dia hanya melakukan perkara wajib dan pernikahan adalah perkara bersifat peribadi.
Tambahnya, dia menerima semuanya dengan penuh kesabaran, reda dan syukur kerana semuanya telah ditentukan Tuhan.
Nora mengharapkan keberkatan dan juga doa semua pihak agar rumah tangga kedua yang dibina ini berkekalan hingga ke syurga.
Beberapa rakan artis turut mengirimkan ucapan tahniah atas pernikahannya dalam Instagramnya.
Dalam pertemuan dengan media dalam satu majlis di Seremban, Negeri Sembilan pada November 2021 lalu Nora menyatakan dia bakal berkahwin tidak lama lagi iaitu bulan Disember dengan seorang guru.
Rupa-rupanya guru yang dimaksud adalah seorang pensyarah universiti. Nora menyatakan hubungan mereka terjalin sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) beberapa bulan lalu.
Sebelum ini Nora digosip liar berkahwin dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Nora berkahwin dengan Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan 4 cahaya mata. Johan meninggal pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung ketika berusia 52 tahun.