Seni & Sukan 06 Apr, 2021

Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021! 40% calon yang hadir pada temu duga dapat pekerjaan

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Sebahagian remaja yang mengunjungi Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 di Kuala Terengganu pada 3 dan 4 April 2021. - Kredit gambar: UPDI


SEBANYAK 11,000 peluang pekerjaan telah dibukakan kepada rakyat Terengganu semasa Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 yang berlangsung selama dua hari bermula 3 April 2021 lalu di Pusat Konvensyen Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu. 

Inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu adalah bagi mengurangkan kadar pengangguran, sekali gus menstabilkan pasaran buruh negara amnya dan negeri Terengganu khususnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pekerjaan

Pengunjung karnival mengisi borang pekerjaan sebelum proses temuduga 


Menerusi karnival yang berakhir pada 4 April 2021 itu hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temu duga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 telah mendapat kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selama dua hari program itu berjalan, padanan pekerjaan berjaya adalah sebanyak 839 orang.

Katanya, peratusan tersebut adalah indikator utama kejayaan program daripada bilangan pendaftaran pengunjung mencecah hampir 3,000 pengunjung.

Beliau berkata, bilangan temu duga dijalankan berjumlah 3,665 iaitu seorang calon lebih satu temu duga, manakala jumlah yang berjaya untuk temu duga kedua adalah 936 orang atau 42.6 peratus.


Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman


“Kejayaan penempatan pekerjaan yang berlaku akan memberi 'spill over economics effect' atau limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negeri dan negara," katanya.

Menurutnya, kesan limpahan ekonomi yang bakal wujud bermula bulan Mei 2021 adalah sebanyak RM750,000 iaitu RM1,500 didarabkan dengan 500 orang.

Nurkhuzaini turut mencadangkan agar ada lanjutan program kepada peserta yang berjaya ke temu duga kedua.

"Ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan PERKESO untuk latih dan sediakan mereka langkah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang tidak dapat, jangan berputus asa, mungkin PERKESO akan adakan program sebegini di negeri terdekat serta usaha secara maya melalui pertubuhan tersebut juga boleh dilakukan. 


Peseta menunggu giliran untuk sesi temu duga


Katanya, matlamat utama penganjuran karnival berkenaan adalah untuk memastikan rakyat Negeri Terengganu yang menganggur, mendapat pekerjaan. 

“Penganjuran karnival kali ini adalah tepat pada masanya kerana berdasarkan rekod bilangan pendaftaran pengunjung ke karnival tersebut iaitu mencecah 3,000 pengunjung menunjukkan rakyat Negeri ini sedang mencari-cari pekerjaan,” katanya. 

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) atas kejayaan penganjuran program tersebut. - KitaReporters


 

Peserta sebahagian besarnya remaja merebut peluang pekerjaaan yang ditawarkan sempena Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu 2021

1
1
0
0
0
You will be interested