Seni & Sukan 21 Mar, 2022

Video| Anda minat hiking? Moh ke Pahang! Banyak spot kembara daki bukit yang best untuk diteroka!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengaminkan doa ketika mencemar duli melakukan aktiviti pendakian di Bukit Merah atau The Red Forest di Felda Padang Piol, Jerantut pada 20 Mac 2022. - Kredit foto: Tourism Pahang

Jom mendaki bukit-bukit yang banyak di negeri Tok Gajah ini. Tarikh 20 Mac 2022 melakar sejarah yang tersendiri apabila Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang bersama Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah berjaya menganjurkan acara Pahang Hiking Day 2022 di seluruh Negeri Pahang

Pahang Hiking Day adalah pendakian santai yang bertujuan untuk mempromosikan bukit-bukit yang terdapat di seluruh Pahang serta menggalakkan rakyat negeri itu mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti ‘hiking’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti hiking

Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah mencemar duli melakukan aktiviti pendakian di Bukit Merah atau The Red Forest di Felda Padang Piol, Jerantut pada 20 Mac 2022. - Kredit foto: Pahang Media


Pelancaran Pahang Hiking Day itu menjadi lebih bermakna dengan keberangkatan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli bersama-sama melakukan aktiviti berkenaan di Bukit Merah atau The Red Forest di Felda Padang Piol, Jerantut pada 20 Mac 2022.

Baginda memulakan pendakian bersama kira-kira 75 orang pendaki lain dan berjaya tiba di puncak bukit berketinggian 371 meter itu dengan hanya mengambil masa selama 21 minit berbanding masa pendakian biasa iaitu selama 40 minit hingga satu jam.

Baginda juga berkenan merasmikan tugu papan "I love Bukit Merah" sebagai salah satu gimik perasmian Pahang Hiking Day 2022.



Pemangku Raja Pahang bergambar kenangan bersama pendaki ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Merah atau The Red Forest di Felda Padang Piol, Jerantut pada 20 Mac 2022. - Kredit foto: Tourism Pahang


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin turut serta mengiringi keberangkatan baginda di lokasi aktiviti dijalankan. 

Sementara itu, acara kembara ini diadakan serentak di 13 lokasi seluruh negeri membabitkan lebih kurang 1,500 peserta secara keseluruhannya.

Selain Bukit Merah yang juga dikenali sebagai Bukit Buloh, lokasi pendakian lain ialah di Taman Eko-Rimba Parit Fall, Cameron Highlands; Bukit Peninjau dan Gunung Tahan, Lipis; Bukit Kolam, Raub; Bukit DO, Bentong; Bukit Woh, Temerloh; Bukit Kertau, Maran; Bukit Senorang, Bera; Bukit Pelindung, Kuantan; Bukit Tanjung Batu, Nenasi, Pekan; Bukit Ridan, Muadzam Shah, Rompin; dan Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut, Pulau Tioman.


Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (dua dari depan) ketika melakukan aktiviti kembara mendaki di Bukit Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff merasmikan aktiviti yang sama di Bukit Tanjung Batu, Nenasi, Pekan. Menurutnya, Bukit Tanjung Batu amat menarik kerana berada betul-betul di tepi laut yang terbentang luas dengan pemandangan pantai yang indah.

Bukit ini berketinggian 35 meter dan mempunyai 179 anak tangga mengambil masa lebih kurang 20 minit pendakian. Pengunjung disajikan dengan pemandangan laut yang indah dari puncak bukit. 

Beliau berkata, aktiviti mendaki bukit ini dapat menerapkan amalan gaya hidup yang sihat.

“Ia juga membina hubungan yang baik dan menanamkan sifat tolong-menolong, semangat kerjasama dan meningkatkan perpaduan sesama peminat aktiviti mendaki yang lain.

“Aktiviti ini mampu mendidik peserta mengenai sifat sabar dan juga menguji ketahanan mental dalam mengharungi apa jua cabaran,” katanya.

Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali; Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud; dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli turut hadir memeriahkan aktiviti.


Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (tiga dari kanan) ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.




Di Lipis pula, Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long bersama 200 peserta berjalan sejauh dua kilometer (km) menusuri Bukit Peninjau pada ketinggian 237 meter dari aras laut.

Bukit Peninjau merupakan puncak tertinggi yg terletak di sempadan Kampung Gua dengan Kampung Relong yang pernah menjadi laluan utama penduduk kampung itu bagi mendapatkan pengangkutan Sungai Jelai atau keretapi ke Bandar Lipis suatu ketika dahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, selaras dengan tema baharu pelancongan Negeri Pahang iaitu “This is Pahang – Unlimited”, acara Pahang Hiking Day 2022 menjadi pemangkin untuk pelancong dari luar Pahang untuk mencuba dan menerokai “hidden gems” di negeri ini melalui pendakian di bukit-bukit yang menjanjikan pemandangan yang menarik di seluruh ini.

Pahang memiliki pelbagai tarikan peranginan di mana terdapat sebanyak 79 bukit2,044 batang sungai26 buah Taman Eko-Rimba dan dua buah Hutan Taman Negeri (Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Cameron Highlands) di seluruh negeri ini yang menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah untuk peminat aktiviti luar rumah dan bersifat lasak.

Moh ke Pahang dan mendaki bukit yang ada. Jelajahlah Pahang yang kaya dengan keindahan semulajadinya. termasuk bukit bukau dan gunung ganangnya yang penuh dengan rahsia tersendiri. - KitaReporters



Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long (dua dari kiri, duduk) bergambar kenangan bersama peserta di Bukit Peninjau.


 

11
12
0
16
0
You will be interested