Seni & Sukan 28 Feb, 2021

Video| Erul Samah 'Tak Bisa' tolak imej K-Pop! Cipta single terbaharu lebih hebat, bertenaga!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


MUZIK genre K-Pop nampak gayanya mencetus fenomena tersendiri dalam industri muzik global. Dengan pengaruhnya yang luas, peminat-peminat K-Pop dilihat begitu taat dan tegar menyokong artis kegemaran masing-masing.

Ini terbukti apabila pelakon terkenal, Janna Nick turut terpalit dengan isu K-Pop baru-baru ini apabila mendapat keceman daripada peminat KPop gara-gara salah faham.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan K-Pop:

https://kitareporters.com/search?search=k-pop



Dalam pada itu, tahukah anda, artis Malaysia pun ada yang terkenal dengan stail nyanyian serta imej K-Pop?

Mungkin penyanyi, pelakon dan pengacara TV ini, Erul Samah masih baharu dalam industri namun anak jati Kuala Lumpur bernama penuh, Khairul Najmudin Abu Samah, 29,  ini sebenarnya ada kelompok peminatnya yang tersendiri.

Tetapi pasti ada yang masih belum kenali atau mengingati pemuda ini. Siapa Erul Samah?

Langkah awalnya dalam industri hiburan tempatan bermula apabila beliau menyertai Mentor 2009 dan membentuk kumpulan EVO bersama Sani, kini lebih dikenali sebagai Hael Husaini, sebagai protege kepada Jaclyn Victor.

Ekoran itu juga, Erul sertai Akademi Fantasia 9 dan meraih perhatian umum apabila menampilkan imej dan muzik K-Pop namun tersingkir pada konsert separuh akhir.



Minatnya terhadap muzik genre K-Pop membawa Erul memenangi gelaran naib johan pertandingan K-Pop Star Hunt musim kedua pada tahun 2013, rancangan pencarian bakat K-Pop di negara-negara Jepun, Filipina, Singapura dan Thailand.

Kembali menghangatkan industri muzik tanah air setelah hampir dua tahun menyepi, Erul mencipta lagu ‘Tak Bisa’ sebagai single terbaharu yang lebih hebat dan bertenaga.



Mendapat sentuhan istimewa daripada Pengurus Talent dan Pakar Media Sosial Malaysia, Vee Nazrah, dan diterbitkan oleh VNE Global, lagu ‘Tak Bisa’ khabarnya tercetus daripada sebuah kisah benar.

“Ia diadaptasi daripada pengalaman hidup seseorang mengenai perpisahan hubungan percintaan yang harus berganti dari penyakit yang mula menghentikan nadi,” ujar Erul.

Menurut Erul, lagu ‘Tak Bisa’ sebenarnya telah dicipta pada tahun 2014 cuma liriknya disempurnakan pada tahun 2020 manakala genrenya berentak pop rock.

“Proses rakaman  lagu ciptaan sendiri lebih mudah kerana ia hanya mengambil masa selama 1 jam setengah sahaja bersama Oja Gegar Vaganza di Studio Tuneable Record.

“Pada masa yang sama, saya masih lagi mengekalkan imej K-Pop yang memang sudah serasi dengan jiwa saya, tetapi lebih matang sesuai dengan usia dan peredaran masa, dan fokus saya lebih tertumpu kepada kekuatan lagu dan kualiti dari segi nyanyian,” jelas Erul.

Bercerita lanjut mengenai  kemunculannya semula kata Erul, beliau sebenarnya tidak pernah hilang dalam industri cuma lebih tertumpu kepada bidang lakonan serta aktif sebagai influencer dan juga sebagai guru muzik di Yamaha Music School.



Pelantun lagu ‘Teristimewa’ yang merupakan OST drama bersiri ‘Cinta Tanpa Henti’ pada tahun 2019 turut berkongsi video muzik (MV) 'Tak Bisa’ membawa konsep berdasarkan naratif watak utama yang sedang melalui fasa melupakan kenangan hubungannya yang gagal melalui watak- watak ilusi yang menjadi simbolik di sebalik jalan ceritanya.” 

“Antara cabaran yang saya hadapi sewaktu penggambaran MV ini adalah penekanan terhadap mainan emosi yang berat, selain memerlukan stamina yang cukup dan daya kreatif dalam menyampaikan watak yang diingini dengan berkesan oleh pengarah Ausz Din yang pernah menghasilkan MV ‘Jampi’.

“Harapan saya pada 'Tak Bisa' agak besar, kerana ia merupakan salah sebuah ciptaan terbaik daripada saya, dan semoga segala usaha bersama VNE Global akan disambut baik oleh peminat dan penggemar muzik tanah air, dan jika ada rezeki insya-Allah sehingga ke pentas Anugerah Juara Lagu pada masa akan datang,” akhiri beliau dengan senyuman. - KitaReporters


1
1
0
0
0
You will be interested