Kredit foto-foto: FB Ebit Lew
SETELAH hantaran Facebook kak Raja Anita Raja Mukhtar tular, pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew terus ke Kelantan untuk menziarah dua beradik yang tinggal di bawah jambatan di Kampung Kubang Telaga, Bachok sejak dua bulan lalu.
Dalam kunjungan pada pagi 4 Ogos 2022 itu, sayu hati Ebit Lew melihat dua beradik itu masing-masing berumur 25 tahun dan 27 tahun menumpang berlindung di bawah jambatan berkenaan setelah bapanya menikah lain selepas kematian ibu mereka.
Di bawah jambatan itu dijadikan sebagai tempat berteduh bagi dua pemuda terbabit dan apabila malam tiba mereka tidur di bawah jambatan itu yang terdedah dengan nyamuk dan ular.
Lagi cerita-cerita menark berkaitan hidup di bawah jambatan
Sebelum itu dikatakan dua beradik itu tinggal bersama bapanya tetapi mereka membawa diri untuk memulakan ‘kehidupan baharu’ akibat tidak mahu tinggal bersama ibu tiri mereka.
Ebit Lew berkata, beliau akan membantu dua beradik itu dan pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan untuk menyelesaikan masalah kedua-dua pemuda tersebut.
‘’Si adik menjaga abangnya yang mengalami tekanan serta gangguan emosi dan si adik bekerja tidak menentu bagi menyara perbelajaan mereka,’’ kata Ebit Lew dalam entri Facebooknya pada 4 Ogos 2022.
Pendakwah bebas itu turut mendoakan semuga dua pemuda itu diberi kesihatan dan kekuatan kehidupan mereka dan banyak bersabar dengan ujian dari Allah.
Sebelum ini, kisah dua beradik malang itu viral dalam media sosial yang dimuat naik oleh akaun Facebook Raja Anita sejak empat hari lalu.
Melalui perkongsian Raja Anita, ia telah mendapat simpati dari orang ramai termasuk pendakwah bebas itu menyebabkan Ebit Lew menghubungi Raja Anita sebelum dia datang ke Kelantan untuk menziarahi dua beradik itu.
Raja Anita berkata, sedih hatinya melihat dua beradik itu yang hidup di bawah jambatan tersebut sebagai tempat berteduh.
Menurutnya, selepas kematian ibunya tidak berapa lama ayahnya
menikah lain dan kedua-dua anak (dua beradik) itu mengambil keputusan untuk hidup
berdikari di bawah jambatan tersebut.
Ketika ditanya, adakah mereka mahu tinggal di tempat yang agak selesa maka si adik menjawab jikalau dapat sebuah bangsal kecil sudah tidak mengapa. - KitaReporters