Suasana yang meriah dan penuh semangat kekeluargaan mewarnai Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 yang telah berlangsung dengan jayanya di Padang Merbok pada Sabtu, 15 November 2025.
LKM 2025 yang merupakan program tahunan anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) telah berjaya mencapai sasaran lebih 3,000 peserta seperti yang telah diumumkan oleh Pengerusi YKM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Ismail berkata, penyertaan peserta pada tahun ini (2025) tertumpu kepada kategori 3KM dan 5KM yang kebanyakannya disertai ibu bapa dan anak-anak, pelajar-pelajar sekolah dan universiti serta kumpulan anak-anak istimewa.
Kehadiran Duta LKM iaitu Khairy Jamaluddin juga telah menarik minat pelbagai pihak untuk menyertai acara ini.
“Tahun ini, LKM 2025 diadakan pada bulan November selari dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan bagi menyokong usaha Kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membina keluarga bahagia.
“Insya-Allah, kita berhasrat untuk meneruskan acara ini pada tahun hadapan (2026) sebagai usaha memupuk hubungan kekeluargaan antara kita semua,” kata Ismail.
Tambah beliau, acara ini merupakan salah satu inisiatif YKM untuk mengumpul dana bagi membantu seramai 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu di bawah jagaan YKM.
Pada LKM 2025, YKM menawarkan sebuah kereta Perodua Axia tajaan Hajoon Group sebagai hadiah utama cabutan bertuah di samping sebuah motosikal, Honda RS-X dan skuter elektrik, Felo M One yang ditaja oleh syarikat Perodua dan Good Buy Sdn Bhd.
Penghargaan buat semua syarikat yang menyumbang bagi menjayakan LKM 2025 seperti CGS International Securities Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Hevea Sports Arena Sdn Bhd, Muhafiz Security dan Milo.
Turut memeriahkan LKM 2025 adalah Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Ketua Pegawai Eksekutif CGS International Securities Sdn Bhd, Azizah Mohd Yatim; Timbalan Presiden Aangkasa, Prof Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; dan Pengarah Eksekutif Hajoon Group, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham. - KitaReporters/Kenyataan Media