Hadiah yang paling bermakna buat ratu karate negara, C. Shahmalarani menjelang sambutan Deepavali yang bakal disambut pada 20 Oktober 2025 ini.

Shahmalarani mengangkat tangan sambil menunjukkan tiga jari sebagai simbolik tiga emas Kejohanan Karate 1 (K1) - Series A. - Kredit foto FB MAKAF.
Atlet berusia 27 tahun itu merealisasikan impiannya untuk meraih hatrik pingat emas selepas mengungguli acara kumite wanita Bawah 50 kilogram (kg) pada Kejohanan WKF Karate 1 (K1) – Series A Kuala Lumpur 2025 di N9 Arena, Nilai pada Sabtu 4 Oktober 2025.
Kejayaan tersebut diraih selepas atlet kelahiran Ipoh, Perak itu menumpaskan lawan dari Jerman, Shara Hubrich, 5-1 dalam aksi final untuk bergelar juara.
"Berasa bangga dan sangat gembira untuk dapat gelaran hatrik ini, lebih-lebih lagi ia berlangsung di negara sendiri," katanya.
Kejayaan tersebut juga merupakan gelaran pertama Shahmalarani di pentas antarabangsa pada tahun ini (2025) selepas meraih pingat perak Kejohanan Karate Asia di Tashkent, Uzbekistan pada Mei 2025.
Karateka negara itu sebelum ini menjuarai acara serupa dalam dua siri kejohanan sama pada edisi 2022 dan 2024.

Shahmalarani (dua kiri) membanggakan negara apabila menghadiahkan pingat emas buat Malaysia. - Kredit foto: FB MSN.
Shahmalarani juga menyifatkan pertarungan tersebut bukan mudah kerana lawannya itu bukan calang-calang atlet, sebaliknya merupakan pemenang pingat perak kejohanan dunia.
"Saya hanya fokus kepada prestasi dan diri sendiri, selain cuba berikan yang terbaik. Jadi setiap pusingan adalah penting untuk dapatkan mata," katanya.
Karateka negara itu mara ke pentas akhir setelah menewaskan bekas juara Asia, Tsang Yee Ting dari Hong Kong dalam saingan separuh akhir.
Pada pusingan awal, Shahmalarani meraih kemenangan ke atas Mirzaei Fatemeh dari Iran (10-0), wakil Chile, Vega Rojas Fernanda dan Ishihara Mizuki dari Jepun (3-2).

Aksi bertenaga Shahmalarani (kanan) ketika berdepan atlet Jerman. - Kredit foto: FB MAKAF.
Sebagai rekod, kali pertama Shahmalarani memenangi emas acara kumite wanita 50kg Karate K1 - Series A ialah pada edisi di Jakarta, Indonesia November 2022 selepas menewaskan atlet tuan rumah, Annisa Nur Anggraini pada perlawanan akhir dengan keputusan 5-2.
Ia kemudian disusuli dengan kejayaan muncul juara selepas menewaskan Eva Rodriguez dari Sepanyol 9-5 dalam aksi final K1 - Series A di Larnaca, Cyprus pada Februari 2024.
Siri Kuala Lumpur merupakan pusingan keempat dan terakhir dalam WKF K1 - Series A bagi 2025, selepas Tbilisi (Georgia) pada Januari, Larnaca (Cyprus) pada Februari dan Salzburg (Austria) pada September.
Shahmalarani menjatuhkan Hubrich dalam aksi final acara kumite 50kg di N9 Arena, Nilai. - Kredit foto: FB MAKAF.
WKF K1 - Series A merupakan kejohanan tahap kedua dalam struktur liga WKF, yang terdiri daripada siri kejohanan antarabangsa bertaraf tinggi yang diadakan di seluruh dunia.
Selepas ini Shahmalarani bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Thailand Disember 2025.
Kejayaan di Nilai itu pasti meningkatkan keyakinan Shahmalarini untuk membawa pulang pingat emas buat negara. - KitaReporters

Hadiah istimewa Shahmalarani menjelang sambutan Deepavali pada 20 Oktober 2025 ini. - Kredit foto FB MSN.