.

NOOR Kumalasari dan Dharma Harun Al-Rashid dipertemu oleh Haiza (belakang). Turut bersama adalah suami Noor, Wan Mohammad Yusof (belakang kiri) dan anak Dharma, Muhammad Al-Syafiq.
SELEPAS mencipta fenomena 45 tahun lalu menerusi Adik Manja arahan Othman Hafsham, dua pelakon utama filem itu, Dharma Harun Al-Rashid dan Noor Kumalasari dipertemukan semula pada Rabu, 9 Julai, 2025.
Dharma yang kini agak uzur terperanjat menerima kunjungan mengejut Noor ke rumahnya malah terharu kerana diziarahi pasangannya dalam filem Adik Manja itu.
Pertemuan diatur oleh penyanyi dan penyampai radio Kool 101, Haiza. Menurut Haiza, dia sudah lama merancang untuk mempertemu kedua-dua figura berkenaan namun sering tertangguh dek kesibukannya.
“Sungguh tak sangka WhatsApp saya kepada Abang Dharma dan Kak Noor dibalas dengan tanda setuju. Terharu apabila plan saya menjadi. Mengatur pertemuan dua figura hebat filem Melayu ini tidak mudah kerana saya plan tahun lepas (2024) tetapi jadual saya yang padat,saya tidak berkesempatan untuk menghubungi mereka berdua.

KEHADIRAN Noor Kumalasari dan suaminya mengejutkan Dharma.
“Perjumpaan yang penuh kejutan, Abangg Dharma tak tahu akan kehadiran Kak Noor. Saya plan dengan Kak Noor, nyorok dulu kat area lif. Ini lah hasil videonya,” tulis Haiza menerusi media sosial miliknya sambil menyelitkan video pertemuan itu.
Menerusi video dikongsi oleh Haiza, kedua-dua pelakon itu jelas gembira mengimbas kembali pembabitan mereka dalam filem Adik Manja.
Menurut Dharma, selama lebih sebulan menjalani pengambaran, beliau sangat seronok kerana dapat mendampingi pelakon-pelakon berpengalaman seperti Allahyarham Noraini Hashim dan Allahyarham Adibah Amin.
Noor pula mengimbas adegan pergaduhan mereka yang baginya adegan paling ‘real’. tapi Dharma mencetuskan ketawa mereka yang hadir pada pertemuan itu apabila mendedahkan pelaku sebenar yang mencium pipinya dalam salah satu adegan filem itu yang menggambarkan Cikgu Azmi dan Cikgu Sharina berkasih sayang dalam kereta.

BABAK cium dalam kereta sehingga meninggalkan kesan gincu di muka Dharma antara adegan dalam filem Adik Manja.
“You still ingat (adegan) dalam kereta, yang kereta reverse (terundur) kan? Itu pun satu hal juga kan, masa tu tengah hot kan, buat scene (adegan) tu pula tu,” imbas Noor.
“Siapa yang cium bang?’ tanya Haiza.
“Hafsham,” jawab Dharma, mencetuskan ketawa Noor.
“Pecah lobang! Sekarang, dah berapa tahun baru tahu Hafsham yang cium you,” kata Noor.

HAIZA menyampaikan sumbangan peribadi dan kiriman Aznil Nawawi kepada Dharma.
Pada pertemuan itu, Haiza turut memberi sedikit sumbangan peribadi serta menyampaikan salam dan sumbangan daripada rakan kontinya, Aznil Nawawi @ PakNil.
Dharma, 68, disahkan menghidap tiroid, asma dan gastrik di samping menghadapi masalah jantung dan paru-paru menyebabkan kesihatannya merosot dan berat badan menurun.
Pertemuan itu antara Dharma dan Noor Kumalasari walaupun sekejap namun mengembalikan kenangan peminat terhadap filem Adik Manja yang menjadi filem pecah panggung ketika ditayangkan pada 1980.
Filem itu memegang rekod selama 14 tahun sebagai filem terlaris dengan jumlah kutipan sebanyak RM3.5 juta, satu pencapaian luar biasa ketika filem-filem Melayu sedang dilanda zaman lesu. Rekod itu dipecahkan oleh filem Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam pada 1994.

Filem Adik Manja adalah sebuah filem yang diadaptasikan dari filem Mandarin berjudul Whose Baby Is In The Classroom yang diterbitkan pada tahun 1969.
Ia mengisahkan Cikgu Azmi (lakonan Dharma Harun Al-Rashid) diterima mengajar ke Institut Sri Ilmu iaitu sekolah berasrama penuh perempuan yang pertama kali menerima seorang guru lelaki untuk mengajar di situ.
Dalam perjalanan ke Institut Sri Ilmu, Cikgu Azmi pergi ke sebuah klinik. Di klinik itu Cikgu Azmi telah diberikan seorang bayi lelaki oleh seorang perempuan. Cikgu Azmi terpaksa membawa bayi berkenaan bersamanya kerana perempuan itu tidak memgambil semula bayi tersebut.

FILEM Adik Manja pegang rekod selama 14 tahun sebagai filem Melayu terlaris.
Cikgu Azmi melakukan pelbagai helah untuk menyembunyikan bayi itu daripada pengetahuan pihak institut. Malangnya, rahsia itu telah diketahui dua pelajar iaitu Sofia (lakonan Shasha) dan Yati (Laila Mazlan)
Namun, mereka tidak melaporkan hal itu pada pihak institut tetapi membantu Cikgu Azmi menjaga bayi itu bersama seorang guru perempuan iaitu Cikgu Sharina (Noor Kumalasari).
Pelakon lain yang turut menjayakan filem berkenaan adalah Adibah Amin, Noraini Hashim, Norlia Ghani dan Erlina Dewi. -KitaReporters
