Seni & Sukan 18 Apr, 2025

Jualan tiket sendu! Suasana hambar! Final JDT vs Pahang! Tolong selamatkan Piala Malaysia! - Karathu

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 


HANYA tinggal kira-kira seminggu menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2024-2025 yang mempertemukan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dengan Sri Pahang FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 26 April,2025 ini namun kemeriahannya tidak terasa. 

Gendang perang tidak kedengaran dan di warung kopi atau cafe, tiada siapa yang bersemangat bercerita mengenai pertembungan dua pasukan yang memiliki sejarah tersendiri dalam kancah bola sepak Malaysia itu.

Khabarnya jualan tiket perlawanan akhir itu juga tidak memberansangkan, masih jauh dari sasaran. Menurut laporan akhbar Harian Metro pada 16 April 2025, setakat tarikh itu, hanya 15,000 tiket membabitkan penyokong JDT, terjual.

Suasana sendu turut melanda ‘kaunter’ jualan tiket Sri Pahang apabila setakat 16 April, 2025, hanya 8,633 daripada 32,000 tiket diperuntuk untuk penyokong pasukan itu, terjual.

Jika trend ini berterusan, tidak mustahil final Piala Malaysia kali ini akan mencatat sejarah sebagai perlawanan paling hambar dari sudut sokongan peminat.


DUA suasana berbeza di stadium dahulu (kanan) dan sekarang (kiri).


Apakah peminat bola sepak tempatan sudah bosan dengan pertandingan tertua di negara kita itu? Atau virus Liga Malaysia (Liga M) sudah berjangkit kepada Piala Malaysia pula?

Penurunan kadar kehadiran penonton pada perlawanan Liga M musim ini (2024-2025) memang sangat ketara, ada antara pasukan mengalami kemerosotan penonton sebanyak 80 peratus.

Kini, trend itu seolah-olah sudah menular pula kepada Piala Malaysia, sesuatu yang tidak pernah berlaku pada dekad-dekad lalu.


M KARATHU. - Kredit foto: NSTP


Bagi bekas pemain kebangsaan, Datuk M Karathu, keadaan yang menimpa Piala Malaysia hari ini amat menyedihkan kerana ia menjatuhkan martabat serta prestij pertandingan itu.

"Ia adalah pertandingan tertua di rantau ini, mempunyai sejarah dan nilainya yang tersendiri.

"Piala Malaysia juga melahirkan nama-nama besar seperti (Allahyarham Tan Sri) Ghani Minhat, (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari, (Datuk) M Chandran, (Datuk) Soh Chin Aun dan ramai lagi.

"Menerusi pertandingan ini juga kita berjaya membentuk pasukan kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali (1972 dan 1980).

"Malah saya sendiri mempunyai nilai sentimental terhadap pertandingan itu kerana beberapa kejayaan yang saya cipta bersama pasukan Perak.


PASUKAN Perak muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama pada 1967.


"Antara yang paling saya ingati apabila Perak menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali selepas mengalahkan Singapura 2-1 pada perlawanan akhir 1967. Saya menjaringkan gol, sekali gus melonjakkan nama saya sebagai pemain," kata Karathu.

Menurut legenda berusia 82 tahun itu, amosfera perlawanan akhir berkenaan memang luar biasa. Stadium padat dengan penonton sehingga tidak ada seincipun ruang kosong.

Pada setiap perlawanan akhir pada era itu, tiket laris bagai pisang goreng panas malah ada yang tidur dan 'berumah tangga'  di kawasan stadium menunggu kaunter tiket dibuka keesokan pagi bagi memastikan mereka mendapat tiket.

Malah pada era 1980-an dan 90-an ketika pasukan seperti Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (kini Kuala Lumpur City FC) dan Kedah bersaing hebat, Piala Malaysia sentiasa mendapat sambutan.


SEJAK beberapa tahun lalu, JDT FC mendominasi pertandingan Piala Malaysia.


Mengulas situasi terkini, Karathu berkata faktor dominasi pasukan JDT sejak satu dekad lalu menjadi antara punca peminat mula hilang ghairah untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia.

"JDT lawan Pahang. Mereka sudah dapat jangka siapa pemenangnya. Jadi, untuk apa mereka ke stadium. Dalam isu ini, JDT tak salah sebaliknya pasukan lain yang belum mencapai tahap profesional dalam erti kata sebenar.

"Selain JDT, kebanyakan kelab di Malaysia belum bersedia untuk bertukar kepada status profesional sepenuhnya tapi terpaksa melakukan kerana memenuhi syarat FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

"Akibatnya, mereka berdepan pelbagai masalah terutama membabitkan kewangan sekali gus menjejaskan prestasi pasukan.

"Bila ini berlaku, mereka tidak mampu memberi saingan kepada JDT yang sudah jauh ke depan," katanya.


PAHANG bakal berdepan JDT pada final Piala Malaysia 2024-2025.


Selain itu, menurut Karathu, lambakan pemain import juga menjadikan bola sepak Malaysia hilang seri sehingga peminat mula berasa bosan.

"Dulu kita boleh kenal pemain di dalam padang seperti Mokhtar Dahari, Zainal Abidin, Dollah Salleh dan lain-lain. Boleh dikatakan setiap pasukan ada bintangnya yang merupakan anak tempatan.

"Tapi sekarang terlalu ramai pemain import, kebanyakan kita tak kenal, ada antaranya tidak menonjol kerana prestasi yang biasa-biasa saja.

"Pada pendapat saya, kuota pemain import perlu dikaji semula. Mungkin kita boleh seimbangkan 50 peratus pemain tempatan dan 50 peratus pemain import dalam satu-satu perlawanan.

"Dengan itu kita dapat memastikan bakat pemain tempatan tidak tersisih dan kita dapat membawa masuk pemain import yang benar-benar berkualiti, bukan tangkap muat semata-mata untuk penuhi kuota," ujarnya lagi.



Karathu juga berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat melakukan sesuatu untuk mengekalkan Piala Malaysia sebagai pertandingan paling prestij dalam kalendar bola sepak negara.

"FAM perlu selamatkan Piala Malaysia kerana ia adalah khazanah yang sangat bernilai. Jangan biarkan ia terus suram dan akhirnya dilupakan.

"Saya harap Pahang juga dapat lakukan sesuatu pada final (26 April, 2025) nanti. Jika mereka berjaya kalahkan JDT, Piala Malaysia akan kembali meriah," kata Karathu. - KitaReporters

12
23
0
13
0
You will be interested