Seni & Sukan 14 Apr, 2025

Berang landa KL! Kejuaraan Fury medan tempur ulung negara! Ilham Wafiy, Jaas! Malaysia vs Indonesia!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


BARISAN petarung Kejuaraan Fury 2025 bergambar dengan penganjur, Wafiy Ilham Johan dan Jaasuzuran (tengah) di pentas dalam sidang media di Damansara. - Kredit foto: Fury  


MANA lagi dapat ditemukan sebuah pertarungan sukan kombat yang menghimpunkan bukan sahaja petarung profesional dan amatur bahkan selebriti dan pempengaruh di sebuah gelanggang?

Menampilkan sehingga sembilan pertarungan termasuk membabitkan petarung dari Indonesia, Kejuaraan Fury (Berang) 2025 bakal menjawab persoalan para peminat sukan kombat tempatan ini tanggal 2 Mei 2025 di Zepp, Kuala Lumpur.

“Kejuaraan Fury 2025 menjanjikan pengalaman penuh adrenalin buat para peminat pada penampilan sulung ini,” lapor penganjur pada 10 April 2025 lalu serentak dengan sidang media pengumumannya di sebuah hotel di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Diwarnai previu ala WWE (World Wrestling Entertainment) -- siri persembahan gusti pro (profesional) sukan hiburanm -- kesemua petarungnya juga ‘bercakap besar dan tanpa insurans mulut’ langsung dalam mencanangkan kesediaan dan keterujaan untuk menumpaskan lawan masing-masing seawal mungkin pusingan menerusi knockout (tumbangan).

Seorang petarungnya, Tiger Labu sampai membaling botol ketika sesi bersemuka (faceoff) dengan lawan, Shahid ‘The Phantom’ Dan. Adegan lain termasuk Azizah 'Benteng Betawi' yang berani menyelak kain baju kebaya raya Nur Amisha Azrilrizal kerana mahu melihat setinggi mana jagoan Malaysia itu dengan berkasut tumit tinggi.  


WAFIY Ilham Johan (kiri) dan Mohamad Faizal Ahmad atau Jaasuzuran membongkar kain hitam untuk memperagakan tali pinggang Kejuaraan Fury 2025. - Kredit foto: Fury


“Kejuaraan Fury lahir daripada minat mendalam penganjur, Wafiy Ilham Johan dan Jaasuzuran atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Ahmad terhadap sukan tempur serta visi kami untuk membawa industrinya ke tahap lebih tinggi.

“Penganjurannya mengambil inspirasi daripada gergasi global sukan ini, Kejuaraan One (berpangkalan di Thailand yang mempersembah sukan bela diri adunan, tinju tendang dan Muay Thai).  

“Inilah platform utama dan terbaik serta penanda aras baharu sukan tempur di Malaysia, hiburan tiada tandingan dan pentas petarung berpengalaman dan pendatang baharu daripada pelbagai latar belakang mempamerkan kehebatan mereka,” kata mereka.

Senarai pertarungan Kejuaraan Fury 2025 seperti berikut:

  • Wahyu Pabola (INA) lawan Mikhail Imaan (MAS)
  • Fahri (INA) lawan Umar Usman ‘Red Wolves’ Abu Bakar (MAS)
  • Oky Arema (INA) lawan Kabilan ‘The Hunter’ Jelevan (MAS)
  • Azizah ‘Benteng Betawi’ (INA) lawan Nur Amisha Azrilrizal (MAS)
  • Jamed Jalarante (INA) lawan Adli Hafidz ‘Golden Boy’Mohd. Pauzi (MAS)
  • Shahid ‘The Phantom’ Dan (MAS) lawan Tiger Labu (MAS)
  • Izzat SS (MAS) lawan Izat Zaki (MAS)
  • Shah Busy (MAS) lawan King Chima (INA)
  • Hun Hunter (MAS) lawan Ikmal Amry (MAS)


NUR Amisha Azrilrizal (kiri) sempat berperang mulut dan hampir 'mengajar' tindak-tanduk Azizah 'Benteng Betawi' yang cuba menyakatnya (dua dari kanan) sambil mereka mengapit Jaasuzuran. 


Satu daripada sembilan pertarungan ini membabitkan Amisha, juara Kejohanan Muay Thai Dunia 2023 kelas 51 kilogram bawah 23 tahun di Bangkok, Thailand.

Wafiy memberitahu: “Ilham menganjurkan Kejuaraan Fury timbul Ogos 2024 lalu. Bermula daripada satu impian saya untuk turut jadi petarung walaupun ibu saya melarangnya.

“Kalau tak boleh, jadi saya (pilih) sama ada bertarung atau terlibat anjur sesuatu. Saya jumpa insan yang berkongsi minat (Jaasuzuran) dan kami sedaya upaya mendirikan satu penganjuran secara komersial untuk para petarung,” katanya. 

Kata Jaasuzuran, “inilah tempat yang tepat untuk mereka datang berkarya (seni bela diri), menaikkan nama mereka dan dikenali ramai macam Jojo (Johan Ghazali, petarung Muay Thai Kejuaraan One yang berusia 19 tahun ).

“Namun memang sukar untuk mendapat penajaan kerana kami sering ditanya tentang angka penonton sedangkan ini penganjuran kali pertama,” katanya.

Ada selebriti yang menyertainya kata Wafiy, bukan diundang secara tangkap muat atau kerana bersahabat tetapi dipilih atas keyakinan kepada latar belakang tempur dan kemampuan mereka untuk bertarung secara langsung di hadapan ribuan penonton. - KitaReporters


MIKHA atau nama penuhnya, Mikhail Imaan sedia menumpaskan Wahyu Pabola pada 2 Mei 2025 nanti di Zepp. 

11
15
0
13
0
You will be interested