Selepas berjaya mengutip RM15.3 juta empat hari tayangan filem animasi ‘Ejen Ali The Movie 2: Satria Bangkit’ (EATM2) terus membara dengan berjaya mencapai kutipan RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam.

Dengan kutipan RM34.2 juta, EATM2 telah berjaya mengalahkan kutipan ‘abang’nya, Ejen Ali The Movie (EATM) pada 2015 yang mendapat kutipan RM30.05 juta.
Kini EATM2 sudah semakin hampir untuk menumpaskan ‘Mechamato The Movie’ arahan Nizam Razak. Filem keluaran Animonsta Studios/Astro Shaw terbitan 2022 dengan modal RM10 juta itu berjaya mengutip RM35.88 juta.
Dan EATM2 dijangka mengatasi kutipan ‘Mechamato The Movie’ menjelang Ahad, 8 Mei 2025 iaitu selepas baru 11 hari tayangan. Nampaknya strategi pemasaran WAU Animation dan Primeworks Studios menjadi.
Ia ditayang pada musim cuti sekolah. Dan ibu bapa menjadikan EATM2 sebagai bahan tontonan bersama anak-anak di pawagam.

Golongan artis juga membawa anak-anak menonton EATM2 memberi impak menarik ramai ibu bapa akan berbuat demikian.
Baru-baru ini Datuk Siti Nurhaliza membawa kedua-dua anaknya Afwa dan Asfiyah. Fizo Omar dan isteri juga dirakam membawa anak-anak menonton EATM2.
Penyiaran beritanya dalam media massa, mendorong ramai ibu bapa untuk membawa anak-anak menonton EATM2.
Publisiti dan promosi meluas syarikat induknya, Media Prima melalui media elektoniknya stesen TV, radio dan media internet juga menarik ramai untuk pergi ke pawagam menonton ‘EATM2’.
Setakat ini ‘EATM2’ telah ditonton lebih 2 juta orang dengan ada yang menonton lebih daripada sekali.

Dengan sambutan hangat kanak-kanak dan ibu bapa, maka tidak mustahil Impian WAU Animation dan Primeworks Studios untuk menyasar kutipan RM60 juta akan menjadi kenyataan.
Mampu atau tidak, sekurang-kurangnya EATM2 mampu membuktikan filem animasi tempatan mampu bersaing di pawagam dengan filem cereka lain.
Tahniah kepada pengarahnya Usamah Zaid Yasin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation yang berjaya menjadikan EATM2 sebagai filem animasi bertaraf dunia.
Perancangan dibuat untuk memasarkan EATM2 ke luar negara khususnya rantau Asia Tenggara. Selepas Brunei ia dicadang untuk dibawa ke Singapura, Indonesia dan Kemboja.
Filem animasi adalah cara yang lebih mudah untuk memasarkan filem ke peringkat global. - KitaReporters

.