Seni & Sukan 26 Mar, 2025

Marah, kesal, kecewa! Syak pemain jual game! Hidup dengan keaiban! - Legenda Olimpik Rahim Abdullah

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

 


“KALAU ada satu perkara yang paling membanggakan saya sebagai pemain bola sepak, ia adalah dapat bermain pada Sukan Olimpik Munich (1972).

“Manakala yang paling mengecewakan saya adalah kekalahan Malaysia kepada Filipina pada Sukan SEA 1991 ketika saya menjadi jurulatih. Sampai sekarang saya masih berasa marah, kecewa dan malu.”

Demikian pernah diungkapkan oleh Allahyarham Abd Rahim Abdullah ketika penulis menemu bual beliau beberapa tahun lalu.

Kata-kata itu kembali menerjah ingatan penulis tatkala menerima berita kematian Rahim pada pagi Selasa, 25 Mac, 2025.


SKUAD bola sepak negara untuk Sukan Olimpik 1972. Rahim Abdullah duduk di barisan hadapan, tengah.


Jelas pada pertemuan itu, Rahim cukup bersemangat menceritakan pengalamannya beraksi bersama skuad Harimau Malaya di Sukan Olimpik Munich 1972.

Menurut Rahim, beliau tidak menjangka akan diturunkan pada perlawanan pertama Malaysia menentang Jerman Barat kerana beliau bukanlah pemain favourite jurulatih, Jalil Che Din.

“Tapi Datuk Harun (Idris) dan Dettmar Cramer suka saya. Mungkin mereka yang mahu saya diturunkan,” cerita Rahim.

Datuk Harun Idris adalah pengurus pasukan sementara Cramer dari Jerman adalah penasihat kepada Jalil.

Pada perlawanan itu, Rahim beraksi selama 70 minit sebelum dikeluarkan selepas menerima kad kuning. Malaysia yang berjaya mengikat Jerman 0-0 pada separuh masa pertama akhirnya tewas 0-3. 

Namun, perlawanan itu menjadi kenangan paling manis pada karier bola sepak Rahim apatah lagi itulah pertama kali pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik.

Pada tahun 2004, beliau disenarai dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM bersama-sama anggota pasukan Olimpik Munich yang lain.


RAHIM Abdullah bangga menjadi sebahagian anggota skuad Olimpik 1972.


Begitupun, nada Rahim segera bertukar kecewa apabila mengimbas kegagalan skuad negara yang dibimbingnya pada Sukan SEA 1991 apatah lagi dikalahkan oleh pasukan Filipina yang ketika itu merupakan pasukan belasahan di rantau Asia Tenggara.

Kekalahan 0-1 itu mencacatkan kerjaya Rahim sebagai jurulatih, sesuatu yang dianggap sebagai malapetaka kepada bola sepak Malaysia.

Apa yang membuatkan Rahim kecewa pasukan Malaysia seolah-olah ‘menghadiahkan’ kemenangan kepada Filipina. Beliau mengesyaki beberapa orang pemain mengkhianati pasukan namun tidak mempunyai cukup bukti untuk mengheret mereka ke muka pengadilan. 

Apa yang lebih mengecewakan Rahim, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempercayai dakwaannya. Mereka mungkin menganggap ia sebagai alasan untuk menutup kelemahannya sebagai jurulatih. 


KARIER Rahim sebagai jurulatih skuad kebangsaan dicemari kekalahan kepada Filipina pada Sukan SEA 1991. - Kredit foto: NST


Namun, sejarah hitam yang berlaku kepada bola sepak Malaysia pada 1994 apabila ramai pemain digantung permainan seumur hidup kerana terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan seolah-olah mengiakan apa yang disyaki oleh Rahim.

Skandal rasuah itu membawa kepada penahanan 230 pemain dan pegawai dan memusnahkan bola sepak Malaysia.

Tapi, ia tidak dapat mengubati kekecewaan dan rasa malu Rahim yang berparut di hatinya sekali gus menerbitkan rasa kesal tidak terhingga menerima tawaran FAM untuk melatih pasukan kebangsaan ketika itu.

Rahim berkata dia pada mulanya menolak tawaran untuk melatih skuad Sukan SEA kerana belum bersedia tapi mengubah fikirannya selepas diyakinkan oleh pegawai tertinggi FAM berdasarkan rekod prestasi cemerlangnya dalam liga domestik bersama pasukan polis.

“Apa yang dilakukan oleh sesetengah daripada mereka adalah mengkhianati negara,” kata Rahim, dalam temu bual menjelang acara sambutan meraikan pemain-pemain hebat Malaysia dari tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an.

“Saya akan sentiasa hidup dengan aib menjadi jurulatih pasukan Malaysia yang pertama tewas kepada Filipina,” keluhnya. 


RAHIM antara pemain sayap terbaik pada eranya.


Walau apa pun yang dirasai Rahim, beliau akan tetap dikenang sebagai salah seorang wira negara yang membawa Malaysia layak buat pertama kali ke Sukan Olimpik.

Malah, kehebatan pemain kelahiran Nibong Tebal, Pulau Pinang itu akan terus diperkata kerana pada era kegemilangannya, beliau adalah antara pemain sayap terbaik pernah dilahirkan negara.

Walaupun bertubuh kecil, Rahim yang mampu bermain sebagai sayap kanan dan kiri memiliki kepantasan bak lipas kudung untuk memecah benteng pertahanan lawan.

Malah mengikuti kisah perjalanan kariernya, kita akan menemui fakta yang menarik apabila Rahim yang dilahirkan pada 1947 memulakan karier dengan hanya berkaki ayam kerana tidak mampu membeli kasut bola.

Ketika itu, beliau sudah terpilih mewakili sekolah pada pertandingan antara sekolah bawah 18 tahun di Pulau Pinang.

“Saya tak pernah pakai ‘boots’ hinggalah saya ke TI Penang (Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra),” jelas Rahim dalam satu temu bual

Seorang guru beliau, Bakar Ismail, menawarkan beliau sepasang kasut bola selepas melihat Rahim memakai ‘ankle guard’.


RAHIM akan dikenang sebagai legenda bola sepak Malaysia.


Rahim memulakan karier pada peringkat negeri bersama Pulau Pinang ketika berusia 19 tahun pada pertandingan Piala Malaysia sebelum mewakili Selangor dan Perak selepas menjadi anggota polis.

Sebagai pemain pasukan kebangsaan, selain Sukan Olimpik, beliau menyarung jersi negara pada beberapa kejohanan antarabangsa, antaranya, Pestabola Merdeka, Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan dan Kejohanan Ulang Tahun Jakarta.

Selepas bersara, Rahim beralih ke bidang kejurulatihan bersama pasukan polis sebelum dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan. Selain membawa Malaysia ke Sukan SEA 1991, beliau mengendalikan pasukan negara ketika menentang England pada perlawanan persahabatan yang berkesudahan Malaysia tewas 2-4.

Pada Selasa, 25 Mac, 2025, Malaysia kehilangan seorang lagi legenda bola sepak. Rahim menghembuskan nafas terakhir pada usia 78 tahun. Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, Kuala Lumpur. - KitaReporters

 

14
18
0
20
0
You will be interested