Seni & Sukan 11 Aug, 2024

Impak Maksima| Konsert Cipta M N45ir cipta sejarah! Kehadiran PM Anwar pada hari lahirnya ke-77!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



Selepas filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ yang mencetuskan sejarah kutipan filem paling tinggi dalam sejarah filem Melayu sehingga RM97 juta dan juga membangkitkan kembali aura kegemilangan pakaian berkonsepkan ‘Pendekar’ atau tradisional pada tahun 2022, kini suasana seumpama dapat dikembalikan pada konsert 45 tahun Dato M. Nasir berjudul ‘Cipta’.

Terbukti impak yang dibawa filem ‘Mat Kilau’ mengembalikan pakaian tradisional Melayu yang seakan kian luput di telan fesyen generasi baharu.

Kini, seronok melihat kembali kesanggupan rakyat Malaysia mengenakan pakaian tradisional lengkap bertanjak semata-mata memenuhi tema pakaian ke 'Konsert Dato M N45ir - Cipta', yang meraikan pembabitannya dalam industri seni nusantara selama empat dekad.

Yang penting, rakyat Malaysia cukup ‘sporting’ untuk bersama-sama M. Nasir mencipta suasana penuh warna  warni dan keunikan bagaikan kata Allahyarham Seniman Agung P. Ramlee, ‘jarang jarang’ berlaku pada zaman teknologi canggih ini.

Dan terbaharu, M. Nasir berjaya dalam misinya menghidupkan kembali kegemilangan pakaian tok nenek kita dahulu kala apatah lagi menggunakan tulisan jawi untuk judul ‘Cipta’ itu sendiri.



Lebih menarik, sepanjang Kak Fas menonton mana-mana konsert artis di Axiata Arena, Bukit Jalil, inilah pertama kalinya diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri kita iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim yang kebetulan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-77 bersamaan tarikh konsert 'Cipta' pada 10 Ogos 2024.

Tentu sekali kira-kira 8,000 penonton yang memenuhi Stadium Axiata Arena diberi kejutan apabila M. Nasir membuat pengumuman atas kehadiran ‘PM kita” katanya sambil wajah Anwar Ibrahim lengkap bertanjak muncul di layar perak.

“Saya ingin menujukan sebuah lagu untuk PM kita yang hadir pada malam ini,” ujar M. Nasir dan seterusnya menyanyikan lagu hari jadi, “Allah Selamatkan Kamu…. Allah Selamatkan Kamu….’ sekali gus mendapat sorakan ramai, M. Nasir turut mengumumkan hadiahnya kepada PM berupa pulut kuning.



Antara pemain muzik yang mencuri perhatian peonton dengan gayanya yang lincah.


Sekali lagi satu impak tercipta oleh sifu Mohamad Nasir Mohamed sebagai satu-satunya artis unggul yang mendapat peluang meraikan sambutan hari jadi PM bersama peminat-peminatnya dalam sebuah stadium. 

Lebih mengagumkan apabila dalam usia 67 tahun, M. Nasir masih bertenaga untuk menghiburkan peminatnya selama tiga setengah jam terus menerus dan cuma hilang seketika untuk bersalin pakaian sahaja.

“Saya tukar baju je sekejap, peluh,” katanya selepas muncul kembali ke pentas. 

Mendendangkan kira-kira 32 buah lagu antaranya yang dinyanyikannya sendiri  mahu pun yang dicipta dan diberikan untuk penyanyi lain seperti kepada kumpulan Search, Alleycats, Awie, Jamal Abdillah, Seha, BPR, Kristal, Def Gab C dan Rahim Maarof, ia cukup menghiburkan.

Antara lagu-lagu tersebut meliputi karya magisnya seperti ‘Mentera Semerah Padi’, ‘Gerhana’, ‘Phoenix Bangkit’, “Tanya Sama Itu Hud Hud’, ’Senja Nan Merah’ (asal Awie/Ziana Zain), ‘Senandung Semalam’ (Alleycats), ‘Cinta Sakti’ (Def Gab C), ‘Bercanda Di Pasiran Pantai’ (Sudirman/Anita Sarawak), “Cinta Kristal’ (Rahim Maarof) dan banyak lagi.



Mengenali M. Nasir sejak sekian lama, siapa yang tidak mengenali beliau sebagai seorang sifu muzik yang tidak banyak berbicara tetapi apabila sekali sekala bercakap kata-katanya yang sepontan mempunyai makna yang tersirat.

Dan lebih menarik apabila mendengar jawapannya pada apa-apa persoalan yang ditujukan dijawab mengikut kata hatinya ketika itu, Pendek, ringkas dan diselit kata-kata humor membuatkan ramai yang tertawa.

Bagi Kak Fas ini antara keistimewaan M. Nasir yang jujur dan ikhlas, seorang berjiwa seni yang sebenar. Kata-kata atau jawapannya walau pun kelakar bunyinya tetap diterima oleh ramai waima itulah jiwa seni seorang M. Nasir.

Antara kata-kata selambanya yang mencuit hati penonton adalah apabila beliau berkata, “dengan lagu ini tentu kamu rasa ini persembahan terakhir kan? Malah saya pun fikir begitu…” disambut gelak ketawa penonton.

“Dah bayar mahal kan untuk malam ini, mesti nak lagi," sambungnya sekali gus menyambung beberapa buah lagu lagi pada akhir persembahan dengan lagu penutup popularnya, ‘Apokalips' sambil suasana di arena gamat dengan jeritan apabila bertaburan belon rona emas dan hitam disusuli kerlipan kertas warna warni turun dari lelangit arena.


Ramli MS mengiringi nyanyian M. Nasir.


Sesungguhnya, M. Nasir selayaknya bergelar sifu dan maestro sama seperti pemuzik terkenal yang setandingnya, Dato Ramli MS yang ditampilkan sebagai pemain akordian jemputannya mengiringi beliau menyampaikan lagu irama tradisional, “Hijab Kekasih’ bersama iringan 25 pemuzik dan penyanyi latarnya sepanjang malam konsert.

Impak yang diberikan pada malam “Cipta”  bukan sahaja mencipta sejarah tersendiri buat M. Nasir tetapi buat hati dan mata yang menonton, ia memberikan kepuasan rasa cukup maksimum selepas kali terakhir konsert hebatnya seperti itu dianjurkan  kira-kira 30 tahun lampau pada 1994, katanya. - KitaReporters

11
8
0
7
0
You will be interested