Seni & Sukan 20 Jan, 2023

Piala Dunia Hoki 2023: Malaysia mara ke peringkat cross over! Garang tewaskan New Zealand!

@amirul
Pernah berkhidmat sebagai wartawan. Meminati bidang pertulisan dan akan terus menulis selagi mana ada peluang dan ruang.

Share this


DUA jaringan daripada Faizal Saari dan satu gol oleh Razie Rahim memastikan Malaysia mencatat kemenangan kedua ke atas New Zealand dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 yang berlangsung di Stadium Kalinga, India pada 19 Januari 2023.  

Kehilangan pemain utama, Shahril Saabah akibat kecederaan membuatkan ketua jurulatih Arul Selvaraj terpaksa memikirkan perubahan taktikal dan ia menjadi selepas mencatat keputusan positif selaku naib juara kumpulan C dan akan bertemu pasukan tempat ketiga kumpulan D pada peringkat cross over nanti. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan hoki


Malaysia turun untuk memcari kemenangan agar memudahkan sedikit laluan pada pusingan seterusnya namun ia bukan tugas mudah apabila berhadapan dengan pasukan yang berada di ranking ke-9 dunia. 

Pemain berpengalaman, Faizal berjaya meletak Malaysia di hadapan pada minit ke-9 dan memberi kelebihan buat pasukan negara. Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan tersebut tamat suku kedua permainan. 

Biarpun New Zealand cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan, permainan anak buah Arul lebih baik dan membuatkan pasukan lawan sedikit kecewa apabila deretan peluang berjaya dihalang daripada mereka mendapatkan jaringan. 



Memasuki suku ketiga, permainan semakin agresif buat kedua-dua pasukan. Malaysia ingin menambah jaringan sementara New Nealand pula ingin mendapatkan jaringan pertama. Malaysia berjaya mengukuhkan kedudukan selepas Razie berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-43. 

Malaysia selesa mendahului dua jaringan namun memasuki suku keempat, pasukan lawan berjaya melakukan kebangkitan untuk mendapatkan dua jaringan pantas sekali gus menyamakan kedudukan 2-2 hasil jaringan Hayden Philips dan  Sam Lane. 

Berbaki tiga minit terakhir, Faizal pemain yang telah banyak kali beraksi pada peringkat tertinggi sekali lagi menjadi watak penting apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-57 selepas tenang menewaskan penjaga gol New Zealand. 

Skuad The Speedy Tigers akan tunggu lawan mereka dari kumpulan D untuk melakukan perhitungan ke suku akhir. - KitaReporters


20
11
0
17
0
You will be interested