Seni & Sukan 31 Aug, 2022

Keluarga Malaysia disaji ubi, keledek rebus! Perarakan 1,000 Langkah Merdeka SK Pekan Ayer Panas!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


Warga SK Pekan Ayer Panas, Labis, Johor  sedang bersiap untuk memulakan Program Perarakan 1,000 Langkah Merdeka 2022 di perkarangan sekolah.


RASA cinta kepada tanah air bukan sesuatu yang boleh dijual beli, sebaliknya perlu disemai dan dipupuk dari awal lagi bagi memastikan nikmat kemerdekaan hasil perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu tidak hilang begitu sahaja akibat kealpaan kita mengecapi kemewahan yang ada.

Menyedari hakikat tersebut, sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Ayer Panas, Labis, Johor menganjurkan program Perarakan 1,000 Langkah Merdeka 2022 yang melibatkan lebih 200 warga sekolah bersama ibu bapa dan masyarakat setempat pada 28 Ogos 2022 lalu. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sambutan kemerdekaan

Sebahagian murid SK Pekan Ayer Panas, Labis, Johor teruja menyertai Program Perarakan 1,000 Langkah Merdeka 2022 sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan sekolah tersebut. 


Johari Marsan

Guru Besarnya, Johari Marsan berkata, program tersebut bukan sekadar berjalan sambil mengibarkan Jalur Gemilang di sekeliling kampung, sebaliknya sebagai satu usaha menzahirkan sesuatu yang tersirat di sebalik pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan serta realiti kehidupan yang pernah mereka jalani sewaktu era pascamerdeka

"Kami cuba untuk 'mengembalikan' semula suasana ketika zaman sebelum dan pascamerdeka melalui pakaian peserta  perarakan serta juadah makanan bertujuan memberi peluang kepada peserta program khúsusnya murid-murid merasai sendiri kesusahan yang pernah ditempohi oleh datuk nenek mereka dalam usaha mempertahankan tanah air ini daripada cengkaman penjajah.

"Kami juga sengaja menghidangkan ubi, keledek dan jagung rebus bersama nasi lemak berbungkus daun pisang sebagai menu jamuan pada hari ini agar mereka tahu inilah kehidupan datuk nenek mereka yang sanggup berkorban apa sahaja satu ketika dahulu demi mewariskan sebuah kemersekaan kepada generasi hari ini." katanya.


Ubi rebus bersama keledek dan jagung serta nasi lemak berbungkus daun pisang  dihidangkan di dalam dulang dijadikan hidangan program tersebut.

Dalam masa sama Johari turut berharap program tersebut sedikit sebanyak mampu menerbitkan keinsafan dalam diri murid-muridnya untuk menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan berusaha menjaga kemerdekaan yang dihadiahkan kepada mereka  ini untuk generasi akan datang sebaik mungkin. 

Katanya, dia mahu generasi hari ini sedar berjuang untuk membebaskan tanah air ini dengan usaha mengisi kemerdekaan itu sama pentingnya kerana sebuah kemerdekaan tidak bermakna sekiranya generasi baharu hari ini mahu pun generasi akan datang masih terjajah pemikiran, budaya dan ekonominya.


Guru-guru turut mendeklamasikan sajak bertemakan kemerdekaan bagi membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan murid.


Mohamad Ismail

Sementara itu seorang penduduk, Mohamad Ismail, 64, memuji usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah yang disifatkannya mampu melahirkan generasi yang cintakan tanah air sekali gus dapat memastikan kemerdekaan ini dapat dipertahankan dari sebarang ancaman pada masa akan datang.

Katanya, dia terpanggil untuk turut serta dalam program tersebut kerana tidak mahu melepaskan peluang menzahirkan semangat merdeka dan mahu generasi muda memahami bahawa nikmat  kemewahan serta keamanan yang mereka kecapi hari ini adalah hasil susah payah datuk nenek mereka berjuang menumpahkan darah dan keringat membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah dahulu.


Murid-murid diberi taklimat keselamatan sebelum bermula acara perarakan.

Muhammad Shamsi Hazimi Shamsudin.

Bagi Ketua Murid, Muhammad Shamsi Hazimi Shamsudin, 12, beliau menyifatkan program tersebut sesuatu yang cukup bermakna kepadanya serta rakan lain kerana inilah kali pertama mereka didedahkan dengan kehidupan sebenar yang pernah dilalui oleh oleh generasi yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air dahulu.

"Selama ini kami hanya mendengar cerita mereka terpaksa menjadikan ubi kayu sebagi makanan ruji ketika era pascamerdeka disebabkan dihimpit kemiskinan selepas negera mencapai kemerdekaan, namun kami tidak pernah merasai suasana tersebut sebelum ini.

"Selain itu saya juga begitu teruja ketika menyertai acara perarakan tadi dan merasakan kami seolah-olah benar-benar sedang berarak menuntut kemerdekaan terutama ketika setiap kali  melaungankan kalimat Merdeka yang turut mendapat reaksi positif daripada penduduk kampung disepanjang jalan yang dilalui,"katanya. - KitaReporters



Golongan ibu dan anak kecil tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan Program Perarakan 1,000 Langkah Merseka 2022 anjuran SK Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.

18
11
0
14
0
You will be interested