BAGAI bulan jatuh ke riba apabila diberi peluang untuk satu pentas dengan penyanyi Kris Dayanti (KD). Itulah perasaan penyanyi Noryn Aziz bercerita tentang peluang keemasan tersebut.
Menurut penyanyi jaz dan R & B itu, dia sudah lama merancang untuk mengadakan persembahan pentas dengan artis dari seberang dan tak sangka peluang itu datang begitu pantas.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penganjuran konsert-konsert
Noryn akan menjayakan konsert bersama Kris Dayanti pada 29 Oktober 2022 ini.
“Sejak GV (Gegar Vaganza), Noryn dah busy, plan nak buat single dan ada show. Masa Covid-19 rasanya enam show yang cancel, dah bayar tapi tak buat. Siapa sangka Covid dua tahun. Rasa macam mimpi tapi nak buat macam mana kan?
“Apa pun kita tak dapat menduga perancangan Allah. Satu hari, ada seseorang telefon Noryn, dia kata nak gandingkan Noryn dengan KD untuk satu konsert. Noryn kata okey sebab siapa saja boleh cakap begitu. Dia kata nanti akan call pengurus Noryn.
“Dia such a nice lady, Datuk Seri Jessy. After a week jumpa dia, ada orang call kak Sue dan beritahu yang mereka nak buat konsert Noryn with Kris Dayanti. Noryn terkedu sebentar. Sebab sebelum ini dah fikir nak buat showcase dan sebagainya. Rupa-rupanya Allah punya percaturan lagi baik.
Noryn banyak membuat perancangan untuk perjalanan kerjayanya dan sehingga hujung tahun ini, jadualnya padat.
“Memang ada artis luar yang Noryn jumpa sewaktu pergi ke Jakarta sebelum ini dan rancang nak buat sesuatu bersama (artis lelaki) untuk next year. Lepas tu Noryn dah plan boleh keluar lagu baharu sebelum projek tahun depan. Tiba-tiba dapat ini, umpama bulan jatuh ke riba kerana Noryn always ready untuk buat persembahan.
“Allah itu maha mengetahui, bila Dia nak bagi kita pada tepat waktunya. Allah tak ada benda yang Dia tak bagi kalau tak ada sebab.
"Noryn dah lalui pelbagai dugaan untuk dua tiga tahun ini. I’m just waiting for the light at the end of the tunnel. Finally I find the light in my karier and personal. Finally I’m happy, Allah nak happykan Noryn,” cerita Noryn tentang rezeki yang tak dijangka itu.
Noryn yang ditemui pada sidang media Varianate X Pink Unity di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini bakal bergandingan dengan KD untuk konsert Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia, anjuran Aco Media dan Asia Momentum Media (AMM).
Noryn dan KD akan beradu suara di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, pada Sabtu, 29 Oktober 2022 ini.
Empat dari kiri, Zara Zya, Noryn dan Raja Azura (tujuh dari kanan) hadir memberi sokongan untuk acara Variante X Pink Unity, baru-baru ini.
Kedua-dua diva yang memenangi pelbagai anugerah ini sudah berada dalam industri muzik selama beberapa dekad.
KD memulakan kerjaya muziknya pada 1984 manakala Noryn memulakan kerjayanya pada tahun 1996.
“Konsert ini merupakan ‘customize concert’. Bagi kami, Kris Dayanti merupakan diva di Indonesia manakala Noryn Aziz pula diva kesayangan ramai di Malaysia.
"Kami percaya bahawa kolaborasi dua diva ini akan menggegarkan pentas dan pastinya ada kejutan-kejutan yang bakal diberikan kepada para peminat mereka nanti. Jadi jangan lepaskan peluang menyaksikan dua diva ini beraksi di sebuah pentas,” ujar Belvas Lee mewakili Aco Media dan Asia Momentum Media (AMM).
Tiket persembahan Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia, yang berharga VIP - RM 1,188, Cat 1 - RM 988, Cat 2 - RM 788, Cat 3 - RM 488 dan Cat 4 - RM 288 boleh dibeli menerusi https://www.ticket2u.com.my/
Noryn anggap peluang mengadakan konsert bersama Kris Dayanti umpama bulan jatuh ke riba.
Sehari sebelum bergandingan dengan KD, Noryn terlebih dahulu akan menjayakan persembahan di Kuching Jazz Festival pada 28 Oktober 202 ini.
“Alhamdulillah bulan ini rezeki Noryn murah. Noryn ada buat Kuching Jazz Festival pada 28 Oktober ini, lepas tu konsert. Syukur dengan kurniaan Allah. Noryn dah plan macam-macam, kita sebagai artis kena ada afford sebab dah tak bernaung di bawah syarikat.
“Kalau dulu syarikat rakaman yang atur tapi sekarang ini artis kena ada rasa tanggungjawab dan perlu menjadikan media sosial sebahagian daripada kerjaya kerana ia berguna untuk promosi.
“Walupun Noryn lebih suka bersemuka dengan pihak media tapi dalam situasi sekarang kena ada afford untuk buat posting supaya orang tahu kewujudan kita dalam bidang seni. Noryn belajar buat TikTok tapi tak adalah menari-menari,” katanya terus terang.
Bakal tampil dengan single baharu, Kau Satunya, kerjasama dengan Amylea Azizan.
Bagi meneruskan kesinambugan kariernya, Noryn memberitahu yang dia bakal muncul dengan single baharu dalam waktu terdekat ini.
“Alhamdulillah, rezeki Noryn sangat murah toward the end of the year. Bulan November akan keluarkan single baharu, Kau Satunya. Lagu rancak dan happy song. Noryn bekerjasama dengan Amylea Azizan.
“Noryn juga fikir dengan keluar dengan balada, empat bulan kemudian kerana tak mahu lagi tunggu lama baru keluar single. Noryn selalu ambil masa lama untuk keluarkan single sebab Noryn ni seorang yang over thinking. Noryn belajar dan selalu fikir nak buat yang berkualiti dan sempurna, kononnya.
“Tapi lagu hanyalah sebuah karya, kalau orang suka, mereka suka la kalau tak suka nak buat macam mana. Kita kena move on. Noryn selalu nak puaskan hati semua pihak. Sekarang ini tak nak fikir nak buat benda complicated sangat, janji lagu tu sedap. Noryn nak tumpu pada mass market.
“Dulu Noryn tak kisah janji dapat produce benda yang Noryn rasa bagus. Tapi kali ini Noryn ikut mass market. Sejak GV, fan Noryn dah berkembang. Dulu korporat function saja dan hanya golongan tertentu saja yang follow Noryn. Tapi this time, mass market hargai Noryn punya bakat,” katanya yang sanggup melakukan perubahan demi kerjaya. - KitaReporters
Noryn bersyukur kerana Allah telah memberinya rezeki yang tak diduga selepas pandemik.