Seni & Sukan 23 Apr, 2025

Visi terbaharu! Atlet, bekas atlet bantu bekas atlet! Yakeb lantik duta negeri! PM santuni Saravanan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

AHMAD Shapawi Ismail akan mengetengahkan pendekatan melantik penghubung Yakeb di negeri-negeri pada mesyuarat Lembaga Pengarah yayasan itu dalam masa terdekat. 


YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan melantik wakil-wakil negeri di seluruh negara sebagai penghubung dengan bekas-bekas atlet negara yang memerlukan bantuan dan sokongan yayasan.

Mereka kata Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, turut mampu menyalurkan maklumat terkini khususnya mengenai keadaan kesihatan bekas-bekas atlet yang juga ahli yayasan untuk diambil langkah susulan segera.

“Beberapa ahli Yakeb di negeri-negeri (berjauhan) contohnya di utara yang turun padang padang atau mewakili kami, ketika ini menjadi wakil secara tidak rasmi yang membantu mendekati ahli-ahli.

“Pendekatan baharu saya ialah melantik penghubung bagi ribuan ahli Yakeb dengan kami di pusat (ibu negara) dalam menyampaikan khidmat bantuan dan sokongan yang secepat mungkin.

“Yakeb menunggu mesyuarat pertama (dalam waktu terdekat) untuk meluluskan pelantikan mereka,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Yakeb, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 22 April 2025.


 

G. Saravanan menunjukkan sumbangan peribadi Anwar Ibrahim kepadanya yang menghidap MND sejak 2021 di PPUM, Kuala Lumpur pada 18 April 2025. - Kredit foto: Yakeb  


Terdahulu Shapawi menyampaikan taklimat situasi pemenang pingat emas 50 kilometer jalan kaki olahraga Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, yang juga ahli Yakeb, G. Saravanan yang menghidap penyakit motor neuron (MND) sejak 2021.

Bekas pelumba jalan kaki berusia 54 tahun itu pada 18 April 2025 lalu, menerima sumbangan tunai dan perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.


AHMAD Farhan Fauzi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Perdana Menteri kepada G. Saravanan yang terlantar di PPUM sambil disaksikan oleh Adam Adli Halim. - Kredit foto: Yakeb


ANWAR Ibrahim ketika bersama G. Saravanan pada 1998 selepas pelumba jalan kaki itu mengalungi Malaysia, pingat emas Sukan Komanwel 1998. - Kredit foto: Yakeb


Visi terbaharu Yakeb juga katanya, “Atlet atau Bekas Atlet Membantu Bekas Atlet” telah mula diterima dan dipraktikkan oleh ahli-ahlinya dan bukan lagi terhad kepada orang kenamaan, sektor korporat dan agensi mahupun pemimpin kerajaan.

Langkah ini katanya, “telah dibuktikan oleh Abdul Hafiz Salleh (renang) dan Cheah Liek Hou (badminton para). 

"Hafiz bersama-sama D’Swim Academy (DSA) telah tampil ingin membantu rakan-rakan bekas atlet negara yang juga ahli Yakeb dalam alam pekerjaan (selepas karier sukan mereka).

“Liek Hou (juara Sukan Paralimpik Tokyo 2021 dan Paris 2024) pula membantu bekas jurulatihnya, Hanapiah Mohamud yang juga bekas pemain kebangsaan dan ahli Yakeb.

“Noorul Ariffin Abdul Majeed (olahraga) yang juga mantan Pengerusi Yakeb (2019-2025), turut menyambut baik seruan dan visi itu kepada ahli-ahli Yayasan yang berkemampuan dan menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan bekas atlet.

“Saya bersyukur dan bangga dengan visi tersebut,” katanya yang menerajui Yakeb mulai 10 Mac 2025 lalu, menggantikan Noorul – penyandang keenam dan yang kedua dilantik bukan daripada kalangan bekas atlet negara.


 CHEAH Liek Hou (kiri) menghulurkan bantuan kepada Hanapiah Mohamud (tengah) sambil disaksikan Ahmad Shapawi Ismail pada 26 Mac 2025. - Kredit foto: Yakeb


Mengenai Saravanan, katanya, “terima kasih tidak terhingga kepada Perdana Menteri atas keprihatinan mendalamnya terhadap nasib dan kebajikan bekas atlet negara khususnya Saravanan.

“Terima kasih juga kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Halim yang turut bersama Farhan, turun padang menziarahi dan menyantuni Saravanan di PPUM,” kata Shapawi.

Media juga menurut beliau, ditujukan setinggi-tinggi penghargaan kerana memainkan peranan penting dalam mengetengahkan kisah Saravanan sekali gus membuka ruang kesedaran masyarakat terhadap keperluan bekas-bekas atlet kebangsaan.


PENGURUS Besar Yakeb, Zuhairi Abdul Manaf (kiri) dan Pengurus Kanan Operasi Yakeb, Aminuddin Mohd. Nasir (kanan) menyampaikan sumbangan Yakeb kepada G. Saravanan di PPUM pada 14 April 2025. - Kredit foto: Yakeb 


Katanya, Yakeb yang menziarahinya bagi memantau keadaan kesihatan dan menilai keperluannya pada 14 April 2025 lalu, juga pernah menghulurkan bantuan ketika seluruh negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Sepanjang tahun-tahun berikutnya, Yakeb menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bersasar mengikut keperluan semasanya seperti pada 2023, mendapatkan kontrak kerjaya bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dengan bantuan Pengarahnya, Harry Chai.

“Pada 2024, Yakeb juga menguruskan permohonan pencen ilat Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) sehingga diluluskan, manakala pada 2024 hingga 2025, memberikan sokongan bagi rawatan perubatan di India selain elaun sara diri selama enam bulan mulai April 2025,” katanya.

Penyakitnya sesuatu agak kritikal dan sukar untuk dijelaskan aspek rawatan walaupun sudah menjalani rawatan lanjutan alternatif di India, namun Shapawi akan berbincang dengan Ahli Lembaga Pengarah Yakeb, Dr. Ahmad  Munawwar Helmi Salim.

“Saya dan beliau yang juga Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) akan bertemu PPUM dan berbincang bagaimana mencari kaedah paling efisien merawatnya. Sekarang Saravanan sudah pulang ke Pulau Pinang. Skim bantuan kepadanya masih berdasarkan tahap kemampuan kami,” katanya.


SALIM Mohd. Yusof (kiri) dan Zamzuri Abu Bakar (kanan) yang menziarahi rakan seperjuangan sepak takraw negara, Ahmad Kamal Abdul Rahman di Alor Setar, Kedah pada 20 April 2025. - Kredit foto: Yakeb 


Yakeb katanya, turut menyediakan Tabung X yang rasmi dan terbuka kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan yang mampu memanfaatkan 3,161 bekas atlet kebangsaan yang menjadi ahli Yakeb secara menyeluruh.

“Yakeb perlu sentiasa melihat dan menguruskan hal-ehwal kebajikan keseluruhan ahlinya secara sama rata selari dengan mandat dan matlamat penubuhannya malah kami kekal bertekad memastikannya dijaga selain menyeru kerajaan, swasta dan masyarakat bersama-sama membantu mereka yang telah banyak berkorban demi negara dalam arena sukan,” katanya.

Empat bekas atlet negara juga selainnya, telah tersenarai dalam siri ziarah Yakeb dalam masa terdekat iaitu di Melaka seperti Datuk Soh Chin Aun (bola sepak), Rengan Pakeri (olahraga), Samsul Mat Juah (bina badan) dan Nekmat Jantan (tinju) manakala di Johor, Samah Ali (angkat berat) dan Mohsin Musa (silat). - KitaReporters


ISHAK Etam, bekas atlet bina badan negara (kanan) menyantungi Hisham Hashim, bekas petinju dan jurulatih negara di Batu Pahat, Johor pada 4 April 2025. - Kredit foto: Yakeb

14
5
0
11
0
You will be interested