Seni & Sukan 12 Jan, 2026

Impak Maksima| Video| Cipta sejarah, momen! Siti Nurhaliza realisasikan impian berada di awangan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Industri hiburan tanah air membuka tirai tahun 2026 dengan sebuah peristiwa berskala monumental apabila ‘Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza’ bukan sahaja menghimpunkan lebih kurang 65,000 penonton, malah mengesahkan kedudukan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai figura seni paling berpengaruh negara selepas tiga dekad berkarya.




Pada usia 46 tahun, Biduanita Negara itu membuktikan usia bukan penghalang untuk kekal relevan, berpengaruh dan berdaya saing dalam dunia hiburan yang sentiasa berubah. 

Rata-tata akhbar perdana melaporkan keesokan harinya tentang kehebatan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza sebaik sahaja konsert melabuhkan tirainya pada Sabtu malam, 10 Januari 2026.




Rasanya tak perlulah Kak Fas nak ulang siar laporan mahu pun kata-kata pujian yang dilontarkan pihak media terhadap konsert hebat yang turut menampilkan segmen duet bersama artis undangan Siti iaitu Hafiz Suip, Noh Salleh, Cakra Khan mahu pun anaik buah Siti iatu Umairah, yang merupakan legasi kesinambungan keluarga Tarudin.

Yang pasti, dengan kehadiran  ribuan peminatnya itu khususnya dalam kalangan ‘Sitizoners’  yang memenuhi Stadium Nasional, Bukit Jalil, konsert tersebut menjadi antara penganjuran terbesar dalam sejarah muzik tempatan serta isyarat jelas bahawa jenama “Siti Nurhaliza” masih berada di kemuncak.

Impak maksima konsert itu bukan sekadar angka kehadiran, sebaliknya terletak pada keupayaan Siti mencipta pengalaman kolektif yang menyatukan pelbagai generasi. 




Dari pembukaan ikonik menerusi lagu ‘Purnama Merindu’ yang dipersembahkan dari atas kren, sehinggalah segmen joget lambak yang menghidupkan seluruh stadium, setiap detik memperlihat keupayaan beliau mengawal emosi, momentum dan keterlibatan penonton dalam skala luar biasa. 

Sebagaimana sebaknya perasaan Siti kala menyuarakan perasaan syukurnya impian untuk berada di paras yang tinggi setelah berjaya menyanyi di atas kren terlaksana, begitulah juga Kak Fas dapat merasai emosinya ketika itu.

Tidak syak lagi, dari sudut pencapaian seni, Legacy 30 menjadi refleksi kematangan seorang penghibur yang memahami kekuatan vokalnya, identiti muziknya serta jangkaan peminat. 


Menyanyi dari atas kren.


Selari dengan konsep ‘legasi’ konsert, persembahan dibahagikan kepada tiga dekad perjalanan seninya, menampilkan lagu-lagu yang bukan sahaja popular, malah telah menjadi sebahagian daripada memori budaya masyarakat. 

Gubahan baharu yang disempurnakan oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan bersama komposer Audrey Suwito pula membuktikan kesediaan Siti untuk terus berevolusi tanpa mengorbankan jati diri.

Konsert itu juga mengangkat nilai legasi sebenar apabila Siti memberi penghormatan kepada Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain menerusi lagu 'Cindai' di samping memperkenal bakat baharu di bawah naungan Siti Nurhaliza Legacy (SNL) iaitu Oddah atau nama sebenarnya Auddra Zulkifly, anak kepada penyampai radio Sharifah Shahira dan cucu kepada pelakon Datin Maria Arshad.




Oddah tampil menari mengiringi Siti kala menyampaikan lagu “Destinasi Cinta’. Kak Fas percaya pemilihan Oddah sebagai artis di bawah label SNL menepati konsep di sebalik nama syarikat itu sendiri waima Oddah juga adalah legasi kepada anak seni seperti Umairah, walaupun bukan darah dagingnya.

Langkah tersebut menegaskan peranan Siti bukan sekadar sebagai penyanyi, tetapi juga pembina ekosistem seni dan pewaris kesinambungan industri.


Oddah mengiringi Siti dalam tarian lagu 'Destinasi Cinta' sebelum diumumkan sebagai artis SNL


Lebih signifikan, Legacy 30 turut memberi impak sosial apabila RM1 juta daripada jualan tiket disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa, menjadikan konsert ini contoh bagaimana hiburan berskala besar mampu bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Sebagai pembuka tirai tahun 2026, konsert ini menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran konsert tempatan dari segi produksi, skala, kualiti persembahan serta hubungan emosi antara artis dan peminat. 

Ia sekali gus membuktikan bahawa kejayaan jangka panjang tidak dibina melalui sensasi sementara, sebaliknya melalui disiplin, konsistensi dan keikhlasan berkarya.

Tiga puluh tahun selepas kemunculannya, Siti Nurhaliza bukan sahaja masih berdiri megah di pentas utama, malah terus memimpin arah industri. 

Legacy 30 mengesahkan bahawa beliau bukan sekadar legenda masa lalu, tetapi figura masa kini dan rujukan masa depan seni muzik Malaysia.

Mengenali Siti kala berusia 16 tahun ketika beliau diundang mengikuti program 'Jelajah Bersama Majalah HAI' ketika Kak Fas menjadi editor pertama majalah hiburan terbitan kumpulan Utusan itu, Kak Fas sudah nampak  bakatnya terserlah sebagai bintang setanding Allahyarham Datuk Sharifah Aini gayanya ketika itu. Kini segalanya terserlah dan terbukti.




Apa pun Kak Fas percaya Konsert Legacy 30 tahun Siti Nurhaliza akan menjadi memori paling indah buat dirinya apatah lagi ia dijayakan sehari sebelum melangkah ke usia 47 tahun pada 11 Januari 2026, disambut pula oleh ribuan sorakan peminat yang turut menyanikan lagu ‘ Hari Jadi…..Allah Selamatkan Kamu…..’.

Selamat Hari Jadi Tok Ti! - KitaReporters

13
14
0
8
0
You will be interested