Seni & Sukan 18 Oct, 2025

FAM vs FIFA! Soalan cepumas jadi cepu cemas! Sidang media FAM panas! Isu pemain warisan tak terjawab!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

SIDANG media oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat, 17 Oktober, 2025 yang sepatutnya menghuraikan segala persoalan berhubung isu pemain warisan sebaliknya mencetuskan lebih banyak tanda soal apabila badan bola sepak itu terperangkap dengan soalan-soalan ‘cepumas’ daripada wartawan.



Kira-kira 50 wartawan yang hadir memang menunggu peluang ini untuk mengetahui cerita sebenar daripada mulut FAM sendiri selepas pelbagai spekulasi dan cakap-cakap tercetus ekoran tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menghukum badan induk itu dan tujuh pemain warisan atas dakwaan pemalsuan dokumen.

Tapi, ternyata soalan yang ditanya tidak mendapat jawapan diharapkan daripada FAM, sebaliknya mencetuskan lebih banyak pertikaian. 

Soalan ‘cepumas’ itu bertukar menjadi ‘cepu cemas’ kepada Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram yang mempengerusikan sidang media itu.

Nasib baik dewan berlangsungnya sidang media berkenaan dilengkapi penghawa dingin, kalau tidak sudah pasti Sivasundaram yang hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif pasukan kebangsaan, Rob Friend; peguam bagi pihak badan induk itu, Serge Vittoz; dan beberapa pegawai FAM, bermandi peluh.



Antara soalan panas yang ditanya wartawan adalah status sebenar tujuh pemain warisan itu - sama ada mereka benar-benar berdarah Malaysia seperti dinyatakan FAM dalam permohonan pada FIFA atau tidak sebagaimana dinyatakan badan induk dunia itu.

Kepada soalan ini, Sivasundaram menjawab: “Saya percaya mereka memperoleh pasport melalui warisan Malaysia.”

Jawapan Sivasundaram itu ternyata bukan yang dimahukan wartawan kerana perkataan ‘percaya’ yang disebut oleh beliau menunjukkan FAM sendiri tidak dapat mengesahkan bahawa ketujuh-tujuh pemain itu memang berdarah Malaysia.

Sivasundaram juga gagal memberi jawapan memuaskan kepada soalan siapakah yang mengenal pasti pemain-pemain berkenaan serta bagaimana bukti warisan mereka diperoleh.

Walaupun diasak, Sivasundaram tidak mendedahkan siapakah ejen yang memperkenal pemain-pemain itu dan individu yang bertanggungjawab mengenal pasti mereka mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.



Sebagai rekod, FAM dalam permohonannya kepada FIFA menyatakan pemain-pemain warisan itu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi datuk atau nenek mereka yang didakwa dilahirkan di Pulau Pinang, Sarawak, Melaka dan Johor.

Tapi, FIFA ketika memberi penjelasan lanjut mengenai hukuman yang dikenakan ke atas FAM dan semua pemain itu, mendedahkan, hasil siasatan mereka mendapati tidak seorangpun daripada tujuh pemain itu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Ekoran itu, FAM didenda sebanyak 350,000 francs (RM1.8 juta) sementara tujuh pemain berkenaan- Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel didenda sebanyak 2,000 francs (RM10,400) serta digantung selama 12 bulan.


SIVASUNDARAM bersama Rob Friend dan Sergi Vittoz pada sidang media khas di Wisma FAM. - Kredit foto: Harian Metro.


Sivasundaram juga gagal mengesahkan bilakah tarikh tepat bilakah ‘MyKAD’ dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada ketujuh-tujuh pemain itu, namun menjelaskan proses permohonan dilakukan pada Januari 2025 dan dokumen dikeluarkan pada Mei 2025.

Apabila disoal bagaimana proses kewarganegaraan boleh diselesaikan dalam tempoh kurang enam bulan, Sivasundaram menjawab bahawa maklumat berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengenai siapakah kakitangan FAM yang didakwa badan induk itu melakukan kesilapan teknikal semasa mengemukakan permohonan kepada FIFA, Sivasundaram turut tidak mendedahkannya.


NOOR Azman Rahman digantung tugas sebagai Setiausaha Agung FAM, serta merta. - Kredit foto FAM.


Sementara pada sidang media sama, Sivasundaram mengumumkan FAM akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat kesilapan teknikal pada peringkat pentadbiran sehingga dihukum FIFA.

"Kami tidak mahu campur tangan kerana kami mahukan siasatan yang telus. Setiausaha Agung sebagai ketua sekretriat mengambil tanggungjawab atas perkara ini.

"Jadi untuk membolehkan jawatankuasa bebas melakukan siasatan, beliau akan digantung tugas buat untuk sementara waktu. Kita akan serahkan segalanya kepada jawatankuasa bebas dan selepas itu keputusan akan dikeluarkan," katanya 

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman digantung tugas berkuat kuasa serta-merta.



Dalam pada itu FAM sudah membuat rayuan kepada FIFA pada 15 Oktober, 2025 dan badan induk dunia itu akan memberi jawapan pada 30 Oktober, 2025.

Nampaknya, sementara menunggu keputusan FIFA, peminat bola sepak akan terus membuat spekulasi kerana sidang media FAM pada Jumaat, 17 Oktober, jelas gagal memberi jawapan yang diharapkan.

Apakah nasib FAM, pemain warisan dan pasukan Harimau Malaya? Apakah ada cahaya di hujung terowong? 

Sebarang keputusan FIFA bakal mempengaruhi kedudukan skuad bimbingan Peter Cklamovski pada saingan kelayakan Piala Asia 2027 yang mana kita kini sedang mengungguli tangga teratas Kumpulan F hasil kemenangan dalam semua empat perlawanan setakat ini. 

Ia sekali gus melonjakkan ranking Harimau Malaya pada kedudukan ke-118 dunia, naik lima anak tangga.

Kita menunggu dengan debar dan mengharapkan sesuatu yang positif. - KitaReporter

 

8
11
0
11
0
You will be interested