Seni & Sukan 12 Aug, 2025

Lain daripada lain! Larian denai The Magnificient Baling 100! Lebih 2,200 peserta dari 13 negara!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


LEBIH 2,200 peserta dari 13 buah negara bakal membanjiri pekan Baling, Kedah bagi menyertai acara larian denai ‘The Magnificient Baling 100’ (TMB100) 2025 yang akan berlangsung pada 15 hingga 16 Ogos 2025 ini.

Acara larian denai ini antara yang berprestij yang dianjurkan di Malaysia dan menjengah edisi ketiga penganjuran sejak diperkenal pada tahun 2023. 

Penganjur TMB100, Ten Senses (M) Sdn Bhd menjangkakan acara larian itu lebih meriah memandangkan jumlah penyertaan meningkat lebih 100 peratus berbanding edisi kedua tahun lalu (2023).
Setakat ini, acara larian tersebut telah mendapat penyertaan peserta dari Brunei, China, Chad, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Rusia, Singapura, Switzerland, Thailand, United Kingdom dan Vietnam selain peserta tempatan.

Para peserta TMB100 berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi termasuk pemandangan Gunung Baling yang menjadi lokasi ikonik di daerah Baling.
Malah, menurut Pengarah Urusan Ten Senses, Mohd. Bukhari Ismail, jumlah penyertaan bagi ‘ultra’ iaitu larian jarak jauh melibatkan 50 kilometer (km) dan 100km juga semakin bertambah berbanding tahun lalu (2024), selain kategori 25km dan 10km yang turut mendapat sambutan daripada para peserta.
“Kami mula memperkenalacara TMB100 ini pada tahun 2023 dengan jumlah penyertaan ketika itu sekitar 700 orang.
“Kemudian jumlahnya bertambah kepada hampir 1,000 orang pada edisi tahun lalu dan untuk edisi tahun ini, kami sudah pun menerima pendaftaran peserta sekitar 2,200 orang.
“Apa yang lebih menarik ialah jumlah penyertaan bagi acara larian ‘ultra’ iaitu 50km dan 100km turut meningkat berbanding dua edisi sebelum ini.
“Ini menunjukkan peminat acara larian denai di negara ini semakin meminati acara larian jarak jauh bagi menguji ketahanan diri masing-masing setelah sekian lama menceburi larian denai jarak dekat dan sederhana,” ujarnya.

Selain kawasan hutan, para peserta turut berpeluang merentasi sawah padi yang menyajikan pemandangan indah. 


Acara larian denai TMB100 merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Ten Senses dengan kerjasama Kedah Tourism, Majlis Daerah Baling dan Persatuan Rekreasi Luar dan Malim Gunung Baling bagi mempromosikan daerah Baling sebagai salah satu destinasi ekopelancongan di Kedah.
Malah, pemilihan Baling sebagai destinasi acara larian tersebut adalah bertepatan dengan konsep acara larian denai yang memerlukan para peserta melalui laluan merangkumi pelbagai bentuk muka bumi.
Bermula dari kawasan bandar, perkampungan tradisional, kawasan sawah padi sehingga meredah laluan di dalam hutan dan gua.
Ia sudah pasti menjanjikan pengalaman berbeza kepada setiap peserta berbanding acara larian denai lain yang diadakan di seluruh negara, sekali gus menawarkan pengalaman baharu kepada mereka.

Laluan di dalam gua yang bakal menyediakan pengalaman berbeza kepada peserta TMB100.


Dalam pada itu, menurut Mohd Bukhari lagi, berbeza dengan acara larian denai lain, TMB100 menggunakan haiwan terpilih sebagai tema pada setiap tahun penganjurannya sebagai salah satu usaha memperkenal haiwan-haiwan yang ikonik dengan hutan di Malaysia.

“Pada edisi pertama tahun 2023, kami menggunakan harimau Malaya sebagai logo utama dengan tema ‘Ruler of Two Mountains’, manakala edisi kedua pada tahun lalu (2024) menggunakan rusa sebagai logo dengan tema ‘The Wisdom of Deer’.
“Bagi edisi tahun ini, kami menggunakan tema ‘The Origin of Ban Ling’ dengan mengetengahkan monyet sebagai logo dan ia bertepatan dengan perkataan ‘ban-ling’ dalam Bahasa Thailand yang membawa maksud monyet,” katanya.
Mengulas mengenai laluan yang bakal dilalui para peserta pula, Mohd Bukhari berkata, antara laluan yang terlibat ialah kawasan Bukit Palong, kawasan sawah padi, laluan tepi Sungai Ketil, Gua Tembus, Gua Layang-Layang, Gua Matahari, Gua Ikan, Gua Jepun, Gua Ular dan kaki Gunung Pulai selain kawasan perkampungan tradisional.
Tambahnya, peserta bagi kesemua acara akan dilepaskan di kawasan pelepasan di Pekan Baling dan akan menamatkan larian di lokasi sama mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi setiap jarak larian.

Mohd Salleh Saidin


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin mengalu-alukan kehadiran lebih 2,000 peserta acara larian tersebut ke negeri berkenaan khususnya ke daerah Baling bagi menikmati keindahan daerah kedua terbesar negeri jelapang padi itu.

Malah katanya, bersempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 yang bertemakan ‘Experience Kedah’, para peserta turut berpeluang meneroka keunikan seluruh negeri Kedah yang mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dilawati. - KitaReporters

12
13
0
13
0
You will be interested