Seni & Sukan 30 Sep, 2025

Video| Siti ikrar bangkit semula, bantu Gaza! Bina balik Sekolah Afwa Al Afiyah! Musnah dibom!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Sekolah Afwa Al Aafiyah yang dibangunkan oleh Biduanita Negara. Datuk Seri Siri Nurgaliza Tarudin (Tok Ti), 46 , dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akhirnya musnah teruk akibat bedilan bom oleh rejim Zionis Israel.



Sekolah itu yang didirikan untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak di Gaza, Palestin sejak 2021, dan kemudian sejak 2023, turut memberi perlindungan, makanan, air bersih, dan selimut kepada anak-anak yatim, mempunyai lebih 100 pelajar semuda 4 tahun dan dengan 10 kakitangan serta sukarelawan di mana sebahagian menjadi tenaga pengajar. 

Sekolah Afwa Al Aafiyah sempena hari kebangsaan 31 Ogos 2025 lalu turut merentangkan bendera Malaysia di sebuah dinding bangunan. 

Setelah hampir 2 tahun Gaza dimusnahkan iaitu mulai 7 Oktober 2023, Siti pada permulaan genosid ini, tetap berdoa agar sekolahnya tidak menjadi mangsa pengeboman dan pemusnahan.

Namun rejim Israel terus-menerus mengganas untuk menghancurkan segala bangunan dan mengusir penduduknya. 

Akhirnya, Sekolah Afwa Al Aafiyah yang diambil daripada nama kedua-dua anak Siti dan Datuk K turut menjadi sasaran kekejaman dan kezaliman tentera Zionis.


Sekolah Afwa Al Aafiyah turut memberi ucapan sempena kebangsaan Malaysia di dinding sekolah tersebut.

Berita sedih itu disampaikan oleh salah seorang guru di sekolah terbabit, Dr Mohamad Kullab, dan dimaklumkan kepada netizen dalam satu hantaran Siti menerusi Instagramnya pada 26 September 2025. 

Dr Mohamad Kullab merupakan pengawas bagi sekolah itu dan menjadi orang penghubung Siti dan Datuk K berkenaan sekolah itu selama ini.

Pasangan suami isteri ini memberi wang dari Yayasan Nurjiwa melalui Dr Mohamad Kullab. Siti turut memberi sumbangan peribadi untuk pengurusan sekolah itu dan difahamkan berjumlah RM10 ribu sebulan.

Berita sedih itu dimuat oleh Siti melalui laman Instagramnya pada Jumaat, 26 September 2025.

‘Hasbunallah Walnikmalwakel .. akhirnya israhell (israel) membedil bangunan sekolah Afwa Al Aafiyah.. Tak mengapa , kita pasti bangkit semula!! 💪💪💪.. 

"@dr mohanad ak serta keluarga semua telah berpindah semula ke selatan.. kami akan membantu mereka di sana.. Doakan sukarelawan & keluarga besar saya di Gaza selamat.🤲🤲🤲 Fii aamanillah’ tulis Siti dalam Instagramnya.



Bagaimanapun Siti bersyukur ketika dibom tiada pelajar dan kakitangan berada di bangunan sekolah itu. 

Siti masih terus menghulurkan bantuan kewangan kepada penyelia sekolah kerana khidmat bank masih berfungsi.

Dia  juga meminta para pelajar dapat digabungkan semula dan dicarikan bangunan yang masih selamat untuk dijadikan sekolah sementara.

Yayasan Nurjiwa turut memberi bantuan kewangan dan kelengkapan asas kepada tenaga kerja dan sukarelawan serta keluarga mereka yang terkesan dengan serangan itu.

Yayasan Nurjiwa, kata Siti, akan membangunkan semula Sekolah Afwa Al Aafiyah setelah keadaan kembali selamat di Gaza.

Antara pelajar tadika di Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza

Sebelum ini beberapa buah sekolah di Gaza telah musnah. Ada sekolah yang telah musnah terpaksa menggunakan khemah sebagai bilik darjah yang mampu menempatkan sehingga 1,800 pelajar dari darjah satu hingga empat.

Sejak perang genosid tercetus pada 7 Oktober2023, dianggarkan lebih 625,000 kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah di Gaza tidak dapat menghadiri kelas.

Ada  pelajar di Gaza terpaksa belajar di bawah khemah

Menurut Kementerian Pendidikan Palestin, sekurang-kurangnya 10,490 pelajar sekolah dan universiti telah terbunuh dalam serangan keganasan dan kezaliman Israel. Sementara itu lebih 500 guru dan pensyarah turut menjadi korban. 

Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel mempunyai tahap literasi yang tinggi pada peringkat antarabangsa.

Meskipun sistem pendidikan kekurangan sumber, namun ia menjadi satu-satunya sumber harapan dan kebanggaan rakyat Palestin. - KitaReporters

12
18
0
14
0
You will be interested