Seni & Sukan 26 Mar, 2024

Video| Nadeera, Wani Kayrie dan Indah Ruhaila ajak Balik Raya! Harap lagu jadi trending, evergreen!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Dari kiri: Wani Kayrie, Indah Ruhaila dan Nadeera menyampaikan lagu 'Balik Raya' di Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini.


JIKA setiap tahun, pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal, lagu 'Balik Kampung' nyanyian Allahyarham Dato Sudirman Arshad menjadi halwa telinga pendengar radio, barangkali tahun ini (2024) 'Balik Raya', lagu terbaharu 3 artis trio popular tanah air boleh menjadi pilihan.

Namun, mungkinkah ia mampu menjadi lagu kegemaran ramai setiap tahun seperti 'Balik Kampung' daripada Sudirman walau pun hakikat sebenarnya lagu ciptaan S. Atan pada tahun 1984 itu dihasilkan untuk kempen pilihan raya bagi menggambarkan perasaan anak muda dapat bercuti dan pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

Tetapi lain pula yang menjadi apabila lagu tersebut sering dimainkan ketika menjelangnya Hari Raya Aidilfitri sehingga menjadi lagu malar segar dan diterima oleh ramai.


Nadeera


Terbaharu apabila syarikat rakaman Rocketfuel Entertainmen memperkenal single raya berjudul 'Balik Raya' oleh artis-artis wanita popular seperti Nadeera, Wani Kayrie dan Indah Ruhaila. Mungkinkah perancangan itu tepat?

Jawapan kepada persoalan itu hanya pendengar yang boleh menentukan namun bagi ketiga-tiga artis terbabit penyertaan mereka berganding bahu menyanyikan lagu ciptaan komposer muda berbakat, Rushdan, adalah satu pengalaman yang mengujakan.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan gembira kerana dapat menghasilkan lagu raya ini bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Wani Kayrie dan juga Indah Ruhaila," ujar pendatang baharu, Nadeera, 30, atau nama penuhnya, Farah Nadeera Zaini,

Bagi Juara Big Stage musim ke-5 tahun lalu ini, pengalaman merakamkan lagu raya pertamanya merupakan momen yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila dan bakal menjadi kenangan manis.

“Sebagai artis baharu, raya kali ini lebih istimewa kerana mendapat ucapan raya daripada peminat-peminat saya dan sambutan Aidilfitri kali ini mungkin tidak banyak bezanya kerana setiap tahun saya akan bersama keluarga dan memilih untuk bersederhana sahaja," tambah Nadeera pada majlis pelancaran muzik video (MV) Balik Raya yang diadakan di Centre Court, Pavilion Bukit Jalil, Rocketfuel Entertainment & Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.



Turut hadir Ketua Rocketfuel Entertainment, Prem Anand  (tengah); Patrick Liau, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pavilion REIT Management Sdn Bhd.; Sher Leen, Ketua Hiburan Rocketfuel; Lovell Ho dan Pengarah Kanan Pajakan, Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd.

Lagu raya dalam nuansa pop moden dengan elemen klasik ini telah mengambil masa selama 2 bulan untuk dihasilkan secara berperingkat-peringkat melalui proses rakaman secara berasingan bagi setiap artis yang terlibat, dan kemudiannya digabungkan menjadi sebuah karya yang lengkap.

Seperti Nadeera, penyanyi muda Wany Kayrie yang juga pernah bersaing di pentas realiti 'Big Stage' tetapi pada musim pertama pada kedudukan tempat keempat, bergabung menyanyikan lagu 'Balik Raya' tidak kurang satu pengalaman yang juga 

tidak dapat dilupakan.


Wani Kayrie.


"Sebagai anak seni yang bekerjaya dalam mencari rezeki, bila tibanya hari raya pasti saya akan meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah bertemu dengan keluarga tercinta," ujar pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah, berusia 24 tahun ini.

Beliau berpendapat, sesibuk mana pun kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari, apabila menjelang hari perayaan pastinya kita akan pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga.

“Pengertian Balik Raya itu bukan sahaja semata-semata pulang ke kampung, namun lebih lagi, sebagai umat Islam kita hanya merayakan hari lebaran setahun sekali, rebutlah peluang ini untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga, manfaatkanlah masa bersama dengan sebaiknya, pengertian bahagia itu hanya dengan bersederhana, bukannya serba-serbi baharu tetapi lebih mensyukuri dengan adanya orang-orang tersayang kerana pascawabak COVID-19 yang lalu, ramai yang kehilangan ahli keluarga,' komen Wani bersyukur.


Indah Ruhaila.


Buat satu-satunya artis yang sudah berumah tangga, pemilihan Indah Ruhaila, 36, bergandingan bersama Nadeera dan Wani dianggapnya sebagai satu pengalaman indah khususnya sewaktu merakamkan video muzik (MV) Balik Raya.

Sebagai ahli terbaharu keluarga besar Rocketfuel Entertainment, pengalaman merakamkan video muzik berkenaan tidak akan dilupakan.

“Bayangkan kami melakukkan proses penggambaran MV selama 24 jam! Kesemuanya wrap sekitar jam 5 pagi dan dilakukan sebelum bulan puasa lagi di Sekinchan. Paling seronoknya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan artis lain di bawah satu bumbung," kenang Indah.

Dan lebih menarik lagi, tambah Indah, apabila beliau dan Wani  sempat mencipta koreografi sendiri sewaktu penggambaran dengan harapan ia akan menjadi dance challenge dalam media sosial kelak.



Sementara itu, mengulas mengenai single 'Balik Raya', Prem Anand, memberitahu, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, Rocketfuel pasti ada buah tangan terbaharu setiap kali bulan Ramadan menjelma.

"Dan demi menyemarakkan bulan puasa pada tahun ini (2024), kami gandingkan 3 artis sekali gus untuk hiburan anda semua. Semoga lagu ini terus terpahat di ingatan pendengar semua setiap kali hari raya dan terus trending dalam media sosial," Prem Anand menaruh harapan. 

Semoga lagu Balik Raya daripada trio wanita hebat Rocketfuel ini dapat diterima baik oleh semua pendengar kerana melodinya yang easy-listening dan malar segar.

Nadeera, Wani dan Indah tidak kurang meletakkan harapan setinggi gunung agar lagu gabungan mereka yang julung kalinya ini  akan berkumandang pada setiap kali hari raya menjelma serta menjadi siulan ramai orang dan terus menjadi evergreen. - KitaReporters


14
12
0
14
0
You will be interested