Seni & Sukan 12 Aug, 2022

Jom Keluarga Malaysia! Buat saringan kesihatan! Pengesanan, pencegahan awal mampu selamatkan nyawa!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


Mariam Dasuki, salah seorang penduduk Kampung Sungai Gatom, Labis yang hadir menjalani saringan kesihatan secara percuma anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NFK) Malaysia Cawangan Batu Pahat, Johor di balai raya Kampung Sungai Gatom , Labis.


YAYASAN Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 7,000 penduduk di negeri ini diberi peluang untuk membuat saringan kesihatan secara percuma menjelang akhir tahun 2022 ini melalui Program Pengesanan Awal Dan Pencegahan Menyelamatkan Nyawa yang dianjurkan pihaknya di seluruh negeri Johor.

Pastinya program ke arah memastikan rakyat yang sihat ini terkandung dalam aspirasi Keluarga Malaysia.

Eksekutif Projek NKF Malaysia Cawangan Batu Pahat, Fadilah Auzairuddin berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan kira-kira 90 program saringan kesihatan dengan sasaran manfaat sekurang-kurangnya 80 orang bagi setiap program menjelang hujung tahun 2022 ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan isu-isu kesihatan

Fadilah Auzairuddin

"Kami yakin sasaran tersebut mampu dicapai dengan  kerjasama yang diberikan semua pihak seperti penganjuran program hari ini yang mendapat kerjasama baik daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Gatom, Labis ini.

"Penganjuran prgram sebegini bukan sahaja mampu mengesan awal sebarang masalah kesihatan dalam kalangan orang ramai, malah mampu menyelamatkan nyawa kerana pengesanan awal akan membolehkan pesakit mendapat rawatan awal yang sesuai," katanya ketika program saringan kesihatan secara percuma di Balai Raya Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor pada 10 Ogos 2022 lalu. 

Menurutnya yang sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak untuk tujuan penganjuran program seumpama itu, program tersebut merupakan program pertama yang dianjurkan sejak negara dilanda pendemik Covid-19 sejak dua tahun lalu dan berharap  dapat melaksanakan segala yang telah dirancang selepas ini.


Program saringan kesihatan secara percuma anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia Cawangan Batu Pahat, Johor turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong (berdiri,tengah).

Petugas kesihatan sedang merekodkan data fizikal salah seorang warga emas bagi tujuan mendapatkan indek jisim tubuh. 


Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Sungai Gatom, Saadon Wardani turut melahirkan rasa yakin mampu mengatasi sasaran lebih 80 penduduk yang datang untuk membuat saringan kesihatan pengesanan awal penyakit pada program yang pertama kali diadakan di kampung tersebut bersandarkan kehadiran awal yang menggalakkan.

Katanya, selain percuma antara faktor lain yang mampu menarik minat orang ramai hadir untuk melakukan saringan kesihatan pada program tersebut adalah disebabkan program tersebut diadakan berhampiran dengan kediaman penduduk serta tidak perlu beratur panjang atau menunggu terlalu lama kerana terdapat banyak  jumlah kaunter saringan yang disediakan. 

Menurutnya lagi antara pemeriksaan yang dilakukan adalah pemeriksaan tekanan darah, indeks jisim tubuh, kandungan gula dalam darah, kolesterol, ujian air kencing serta khidmat kaunseling dimana tempoh yang diambil untuk keseluruhan proses saringan adalah kurang daripada 25 minit.


Saadon Wardani

Seorang penduduk, Asiah Mansor, 62, berkata dia mengambil kesempatan datang membuat saringan kesihatan walaupun tidak menghidapi sebarang penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit sebelum ini memandangkan program yang diadakan tidak jauh dari kediamannya.

"Sebenarnya saya sudah agak lama tidak menjalani ujian kesihatan di mana kali terakhir sebelum negara dilanda pendemik Covid-19 dulu dan ini merupakan kesempatan terbaik untuk saya membuat saringan kesihatan memandangkan program yang diadakan berdekatan dengan rumah saya.

"Walaupun sebelum ini saya disahkan tidak menghidapi sebarang masalah kesihatan, namun apa-apa pun boleh berlaku sepanjang tempoh dua tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan saya bersyukur melalui ujian yang dilakukan pada hari ini saya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan setakat ini,"katanya. - KitaReporters


Asiah Mansor sedang diambil sample darah oleh petugas kesihatan untuk proses saringan kesihatan.


Khamis Long (kiri) bersama rakannya antara penduduk yang datang melakukan saringan kesihatan menunjukkan keputusan saringan.

17
11
0
11
0
You will be interested