Seni & Sukan 28 Jun, 2024

Autobiografi: Porter Jadi Editor! Adam Salleh cabar diri! Harap sokongan rakan media, orang politik!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this



"SAYA mahu mencabar diri sendiri. Sebelum ini pernah buat buku untuk Finas tapi sekadar menulis saja tapi hal-hal seperti penerbitan, pengurusan dan pemasaran yang dilakukan perbadanan filem itu.

"Tapi buku ini saya buat sendiri dari A hingga Z, saya kuli dan tauke, memang mencabar dan penat walaupun saya berpengalaman sebagai wartawan selama 33 tahun tapi apabila melakukan perkara-perkara baru memang gelabah juga.

"Menulis taklah susah kerana saya dah biasa melakukan kerja itu tapi hal-hal seperti pengurusan dan penerbitan memang tiada pengalaman, saya belajar di sini, melalui buku pertama saya," kata bekas Pengarang Berita Harian Metro, Adam Salleh, penulis buku, Porter Jadi Editor.


Adam Salleh (kanan) dan isteri, Rafinaz Zirah Kamal menyampaikan jambangan bunga kepada Anwar Ibrahim yang melancarkan buku, Porter Jadi Editor. 


Anak pengarah tersohor filem Melayu, Allahyarham Salleh Ghani, berkata buku itu tercetus ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan kebetulan baru berhenti kerja selepas mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS). Kebosanan di rumah tanpa melakukan apa-apa memberi idea untuk menghasilkan bukui autobiografi itu.

"Jadi, selepas solat subuh, saya mendisplinkan diri menulis sedikit demi sedikit, menyusun tajuk nak buat supaya senang untuk menulis nanti. Tugas ini dilakukan dari jam 6.30 pagi sehingga 10 pagi setiap hari.

"Saya perlu "recall" kenangan masa kerja di hotel, wartawan akhbar, kawan-kawan di sekolah dan detik-detik bersama arwah ayah. Sebelah pagi, saya kumpul bahan, buat macam peta minda seperti tajuk, lepas tu senang sikit nak "ketuk" cerita.


Adam Salleh


"Pada peringkat awal tak terfikir pula nak menulis hingga 400 muka surat, begitu juga dengan tajuk buku.  Cadangan awal, tajuknya ialah Dari Klang Gate ke Jalan Riong tapi Wartawan Kajai, Allahyarham Tajuddin Saman dah buat tajuk begitu. Fikir punya fikir terpancul idea nak buat tajuk, Porter Jadi Editor kerana saya pernah kerja di hotel. 

"Bukan senang, ya la kan, masa jadi porter, rutin kerja saya mengangkat beg pelanggan hotel tapi tidak pernah terlintas pada fikiran untuk menjadi editor sebuah akhbar tabloid popular suatu hari nanti," katanya.

Beliau mengakui, bukan susah untuk mengingati kenangan silam kerana tabiat Adam dari dulu suka menulis peristiwa yang dilalui dalam diari, jadi ia banyak membantu.  

"Masa arwah bapa sakit, saya tulis dalam diari, jadi ia banyak membantu, bayangkan saya boleh buat "caption" lengkap walaupun dalam gambar itu ada 20 wartawan sebab dulu saya tulis nama-nama di belakang gambar. 


Pengalaman sebagai Pengarang Hiburan Harian Metro memberi peluang Adam Salleh berdampingan dengan artis terkenal, dari kiri Siti Nurhaliza, Ning Baizura (kanan) dan Erra Fazira.


"Buat buku autobiografi ni memang seronok sebab kita boleh luahkan apa nak tulis tapi saya elak untuk terpengaruh dengan emosi kerana ia bahaya, penulis tidak boleh berat sebelah, jadi saya minta kawan-kawan semak jika ada menyentuh bab-bab emosi selain ejaan.

"Nak kumpul bahan-bahan pun ambil masa enam bulan, nak cari bahan tak susah tapi nak dapatkan pencetak memang memeningkan kepala. Ia memang satu ujian besar kepada saya kerana penerbit tak mahu cetak di bawah 1,000 nashkah sedangkan saya hanya mahu mencetak 500 nashkah. 

"Saya penulis baru mana berani nak cetak hingga 1,000 nashkah. Lama juga nak dapatkan penerbit, akhirnya berjumpa seorang pencetak dari Kedah yang bersetuju mencetak 500 nashkah. Alhamdulillah," katanya. 


Adam Salleh bersama arwah bapanya, Salleh Ghani ketika menziarahi kubur neneknya di Jalan Ampang.


Ditanya mengenai buku, Porter Jadi Editor, katanya ia adalah cerita dari zaman kanak-kanak termasuk kenangan bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee di rumahnya di Kampung Klang Gate, Kuala Lumpur.

"Paling seronok ketika menulis apabila teringat ketika bersama arwah bapa menguruskan Pawagam P Ramlee, hujung minggu mesti ikut bapa, masa tu darjah 3. Hari Ahad ada "Morning Show" jam 11 pagi dan terpaksa tunggu hingga arwah bapa selesai urusan di pawagam, kadangkala hingga 12 tengah malam.


Adam Salleh (kiri) ketika menjadi porter di Hotel Ria, Kuala Lumpur


"Kenangan pahit pahit selepas buku dihasilkan, saya kurang mendapat sokongan kawan-kawan media, agak kecewa malah tiada publisiti dari tempat kerja lama. Apa boleh buat, terpaksalah berusaha sendiri untuk jual buku ni. 

"Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku ini, ada media cakap nak bantu beri publisiti tapi hampeh," katanya. 

Walau pun pelbagai kesukaran dihadapi, Adam bersyukur kerana tidak ramai editor yang menulis buku, boleh bilang dengan jari, mungkin tiada masa, sukar mendisiplinkan diri, mengingati kenangan silam dan masalah kewangan.

"Saya ada juga fikirkan perkara itu tapi saya cabar diri sendiri kerana andai saya tidak buat, semua sejarah dan kenangan yang disimpan ini akan hilang begitu saja jika saya meninggal dunia tapi buku ini akan menjadi rujukan malah sejarah untuk dikaji generasi akan datang.

"Melalui buku ini, saya mahu membuktikan orang media juga pemikir yang hebat, bukan golongan akademik saja. Cuba lihat trend sekarang,  apabila mahu membincangkan sesuatu isu, TV tak panggil editor tapi orang akademik, sedangkan orang media lebih relevan dengan figura itu," katanya.


Adam Salleh (dua dari kiri) pernah menjadi kru filem Pertentangan yang penggambaranya dilakukan di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur


Sepanjang menulis buku itu, Adam tidak terfikir untuk berputus asa sebaliknya seronok untuk menghabiskan buku itu.

"Masa PMX melancarkan buku ini, saya belum dapat sijil PDP tapi ISBN dah ada. Memang stres tapi penerbit banyak membantu. Alhamdulillah saya puas kerana dapat meluahkan apa yang terbuku dan kenangan yang disimpan dari budak hingusan sebagai porter sehingga ke editor," katanya.

Ditanya maklum balas pembaca, katanya kebanyakan yang membeli memberi pujian dan mahu beliau menulis lagi dalam genre yang sama, mungkin autobiografi hebat seperti A Samad Said atau tokoh media era moden, antaranya Datuk Nazri Abdullah.


Adam Salleh menerangkan serba ringkas mengenai kandungan bukunya, Porter Jadi Editor kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


"Sebelum ini, saya ada berjumpa beberapa artis veteran untuk menulis cerita mereka sebagai rujukan generasi akan datang tapi kebanyakan tiada bajet, ada yang nak kasi RM5,000 tapi jumlah itu mana cukup untuk menghasilkan sebuah buku autobiografi yang baik.

"Penulisan autobiografi penting sebab semasa Harian Metro menghantar saya untuk tugasan ke Hollywood dulu, banyak buku ditulis mengenai artis seperti Elizaberth Taylor, Elvis Presley dan Kirk Dauglas, ada buku yang ditulis 10 penulis berbeza tapi masih boleh jual.

"Budaya kita belum sampai tahap itu, kita jika menulis buku mengenai P Ramlee pun, asyik Abdullah Hussein, orang itu saja. Buku-buku lain tak banyak, boleh bilang dengan jari," katanya.  

Beliau pernah terfikir untuk menulis mengenai perkembangan filem Melayu kerana ia memang dekat dengan dirinya tapi ia mungkin mengambil sedikit masa kerana tiada sesiapa berani untuk mengeluarkan bajet. 


Adam Salleh menurunkan tandatangan kepada seorang peminat yang membeli bukunya.


"Sekarang saya bekerjasama dengan Yayasan Anda dan menulis mengenai tokoh yang pernah menerajui kolej pendidikan tersohor itu dari zaman Anwar Ibrahim. Setakat ini, ada 30 penulis yang berseuju untuk menulis, saya salah seorang," katanya.

Mengenai promosi, katanya semuanya dilakukan sendiri, jika letak di kedai buku, pemilik minta komisyen tinggi sangat. Begitu juga jika mahu buka reruai di pesta buku, bayaran sewa tidak setimpal dengan pulangan, silap-silap tidak balik modal.

"Minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini agak kurang, jika membeli pun mungkin mereka kenal saya. Ada juga artis yang membeli seperti Betty Banafe dan pembaca berita RTM, Alize Lee yang membeli lima nashkah, begitu juga seorang pensyarah di UKM mengambil lima nashkah juga, katanya untuk kegunaan pelajarnya nanti. 

"Lebih kelakar, ada pembeli yang kebetulan kenal saya dan saya menjual serta tandatangan buku itu di tepi jalan. Saya tak kisah pun, asalkan yang membeli itu ikhlas dan menghargai buku ini," katanya.


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah bertanyakan sesuatu kepada Adam Salleh ketika mengunjungi NSTP, Balai Berita, Kuala Lumpur pada 2019. 


Ditanya kepuasan sebagai wartawan dan penulis, katanya menjadi wartawan ada hari seronok, ada hari sebaliknya tapi jadi penulis lebih seronok sebab dapat meluahkan isi hati sepenuhnya. 

"Cuma, saya berharap kawan-kawan wartawan memberi sokongan kepada saya yang mencuba genre baharu, jika tidak susahlah nak berkembang. Begitu juga orang politik, sokonglah penulis macam kami, dulu masa jadi wartawan, kami banyak tolong orang politik tapi apabila mereka dah berjaya, WhatsApp pun tak jawab.

"Bukan mahal pun nak beli senashkah buku, DJ Noramin beli sebuah buku tapi membayar RM250. Apabila saya tanya kenapa bayar banyak sangat, dia kata ini hadiah untuk kamu, memang terharu," katanya mengakhiri perbualan. - KitaReporters

16
11
0
11
0
You will be interested