Membaca tajuk konsert ini sekali gus menatap tiga wajah penyanyi yang tertera pada posternya, agak tepat rasanya memilih nama Konsert Hitam Manis sebagai gimik tarikan penonton berhibur bersama Datuk Hattan, Black dan Hazama ini.
Bukan hendak mengata ya tetapi tidak dapat dinafikan ketiga-tiga artis terbabit memiliki kulit gelap namun tetap manis dipandang mata, waima salah seorangnya, Hanifah Muhammad Hanafiah pula mendapat jolokan ‘Black’ (Hitam).
Kebetulan pula ketiga-tiga mereka bermula dengan nama huruf ‘H’ - Hattan, Hazama dan Hanifah sama dengan pangkal huruf nama konsert ‘Hitam Manis’.
Apa pun, konsert yang bakal diadakan pada 8 Februari 2025 di Plenary Hall, KLCC ini dijangka menjadi acara muzik yang memukau, menggabungkan elemen nostalgia, rock, dan suara mantap ketiga-tiga bintang berkenaan.
Tiga penyanyi 'hitam manis' - Black, Hattan dan Hazama.
Lebih menarik, Konsert Hitam Manis ini menjadi persembahan berskala besar pertama bagi membuka tirai tahun baharu 2025 yang dibawakan secara eksklusif oleh penganjur Reacch Events.
Hattan, legenda muzik rock Malaysia, dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti 'Biso Bonar', 'Mahligai Syahdu' dan 'Memburu Rindu' bakal membawa semangat rock klasik yang penuh bertenaga.
“Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menggabungkan elemen muzik yang berbeza dari generasi yang berbeza. Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan,” ujar Hattan sambil meluahkan kegembiraannya untuk kembali ke pentas bersama Hazama dan Black.
Manakala, Hazama, pemenang program Akademi Fantasia dan penyanyi yang terkenal dengan vokal uniknya, bakal menggegarkan pentas dengan lagu-lagu popularnya.
Bagi beliau, konsert ini sebagai bukti perpaduan antara artis pelbagai generasi.
“Saya teruja dapat bersama-sama dengan Datuk Hattan dan Black. Ia satu peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami,” katanya.
Begitu juga dengan Black, dengan kehebatan vokal dan persembahannya, beliau yakin konsert pada malam 8 Februari 2025 itu kelak akan menjadi satu perjalanan yang epik.
“Ini bukan hanya sekadar konsert, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat dari pelbagai lapisan masyarakat. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat,” ujar Black yang tidak asing lagi mempunyai suara lantang dan gaya persembahan yang energetik, cukup dikenali dengan lagu-lagu hitnya seperti 'Sofea Jane', 'Teman Pengganti' dan 'Anugerah Terindah'.
Jadi, ketiga-tiga peminat mereka ini bersiap sedialah untuk sebuah malam yang luar biasa apabila Konsert Hitam Manis bakal menggamatkan pentas dengan persembahan hebat.
Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama dua jam dan menawarkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet serta gabungan yang eksklusif antara Hattan, Hazama dan Black.
Dengan kepelbagaian gaya muzik yang ditawarkan, konsert berkenaan dijangka menarik perhatian pelbagai generasi peminat muzik tanah air.
Jangan sangka orang ‘hitam manis’ berambut pendek ke, botak ke dan tidak berambut panjang tak boleh ‘rock’ tau! - KitaReporters