Seni & Sukan 04 Jul, 2025

Bolehkah dapat pelepasan? JDT, kelab-kelab luar negara? Malaysia sekumpulan Iran! Bagi Piala CAFA!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

KEPUTUSAN majlis undian peringkat kumpulan Piala Negara-negara CAFA 2025. 


PIALA Negara-negara CAFA yang dijadualkan di Uzbekistan dan Tajikistan dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 menuntut kem latihan pusat Harimau Malaya sebagai persediaan menghadapinya dibuka di antara seminggu ke sepuluh hari sebelum itu.

Persoalannya, sanggupkah kelab-kelab Liga Super 2025-2026 terutama penyandang kuadrapel 2024-2025, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC malah yang di luar Malaysia untuk melepaskan ramai tonggak negara ke kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) itu?

Sepak mula musim baharu Liga Super akan ditandai dengan Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara JDT FC atau digelar Harimau Selatan dengan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 Ogos 2025. 

Pasti juga sukar buat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengurusnya untuk merangka jadual Liga Super 2025-2026 atau terpaksa merehatkan saingan buat sementara dulu hanya selepas dua atau tiga perlawanan.  

Sedangkan hanya 1 hingga 9 September 2025 yang telah ditetapkan sebagai jadual perlawanan antarabangsa tahap 1 dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mewajibkan pelepasan pemain-pemain ke pasukan kebangsaan.


REKOD pertemuan akhir Malaysia hanya menewaskan Afghanistan 2-1 pada 2019 tetapi dikalahkan oleh Tajikistan dan Iran 2-0 pada 2023 dan 2007, kesemuanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Pada 3 Julai 2025, Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski yang di ranking ke-131 dunia telah diundi dalam Kumpulan B yang akan berpangkalan di Dushanbe, Tajikistan dengan juara bertahan Iran (ke-19), tuan rumah (ke-104) dan Afghanistan (ke-160).

Kejohanan dwitahunan ini turut menemukan tuan rumah Kumpulan A di Tashkent, Uzbekistan (ke-57) dengan Oman (ke-77), Kyrgyzstan (ke-103) dan Turkmenistan (ke-142). Oman dan Malaysia yang di Asia Barat dan Tenggara merupakan dua pasukan jemputan edisi kedua ini. 

Tanpa format tradisi separuh akhir, juara kedua-dua kumpulan sebaliknya akan mara ke perlawanan akhir, manakala naib juara masing-masing terus berentap bagi penentuan tempat ketiga dan keempat. 


BOLEHKAH bintang-bintang kacukan Harimau Malaya ini seperti Hector Hevel (13), Jon Irazabal (tengah), Dion Cools (21) dan Joao Figueiredo (kanan) kembali bersama Peter Cklamovski bagi Piala Negara-negara CAFA? Nombor 10 ialah Endrick Dos Santos. - Kredit foto: FAM 


Kata Peter, “Piala Negara-negara CAFA sebuah kejohanan yang mengujakan dan perjalanan penting pasukan negara. Kumpulan yang mencabar yang memang itulah kami harapkan dalam menguji bola sepak kita dengan lawan-lawan yang cukup terhormat. 

“Kami juga berpeluang membuka tirai kejohanan dengan tuan rumah, suasana gelanggangnya tentu menggetarkan. Satu ujian hebat apabila pasukan negara bermain di gelanggang luar. 

“Iran cabaran terbesar dengan kejayaan mereka ke Piala Dunia 2026 yang akan kami gunakan sebagai peluang meletakkan penanda aras. 

“Bagi Afghanistan, kami mahu menyainginya dengan keyakinan untuk berbuat sesuatu yang istimewa,” kata Peter dalam rakaman audio kiriman FAM pada 3 Julai 2025.  


PETER Cklamovski (kanan) dan Robert Douglas Friend, Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM


Iran mengalahkan Uzbekistan 1-0 untuk menjuarai edisi sulung 2023 di Stadium Milliy, Tashkent dengan kedua-duanya bakal turut mendukung cabaran Asia pada pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico. 

Namun warga Australia berusia 47 tahun ini pasti tidak bermasalah besar dalam beroleh senarai 23 hingga 25 pemain terbaik seperti yang dikehendakinya kerana pemilik JDT FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim jugalah gerangan yang membawanya dalam cetusan Revolusi Harimau Malaya sejak 16 Disember 2024 lalu.  

Tim Peter telah membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F dengan baik setelah menumpaskan Nepal 2-0 di Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 lalu.

Mereka seterusnya membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanggal 10 Jun 2025 lalu selain menambat pasukan Afrika di ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 29 Jun 2025 lalu. 


SETIAUSAHA Agung CAFA, Ulugbek Karimov (kiri) bersama-sama Ildar Garefulen, pengacara Majlis Undian Piala Negara-negara CAFA Kedua pada 3 Julai 2025. - Kredit foto: CAFA


ULUGBEK Karimov menayangkan kertas undian yang bernama Malaysia daripada balang 4 sebagai pasukan Kumpulan B Piala Negara-negara CAFA 2025. - Kredit foto: CAFA 


Tim negara yang dibanjiri pemain berdarah kacukan atau warisan terbaharu dari Eropah dan Amerika Selatan seperti Hector Hevel, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, Facundo Garces, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca, semakin meniti bibir peminat-peminat tanah air ketika ini malah kerap ‘dibahan’ oleh penyokong dan media negara jiran. 

Persoalan lain buat Peter juga ialah bagaimana kerjasama pula dapat diberikan kelab-kelab luar negara seperti Sabah FK (Azerbaijan), CA Velez Sarsfield (Argentina), Deportivol Alaves dan Tenerife (Sepanyol), Basaksehir FK (Turkiye) dan CD America de Cali (Colombia) untuk melepaskan mereka? 

Tidak terkecuali ialah bek tengah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang baru bersama kelab baharunya di Jepun, Cerezo Osaka selepas meninggalkan Buriram United FC (Thailand) dan perantara naturalisasi kelahiran Brazil, Endrick Dos Santos di Ho Chi Minh City FC, Vietnam. - KitaReporters


JON Irazabal (5) dan Facundo Garces (3) antara yang menambat hati Ekor-ekor Harimau Malaya selain sentiasa 'dibahan' penyokong dan media Vietnam dan Indonesia kerana status pemain warisan mereka. - Kredit foto: FAM

12
12
0
10
0
You will be interested