Seni & Sukan 04 Jul, 2025

Vietnam belum move on! Masih ragui status pemain warisan! Jika benar Malaysia tipu, itu malapetaka!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

LAPORAN portal VN Express


LUKA dibaham Harimau Malaya 4-0 pada perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun, 2025 lalu ternyata terlalu menyakitkan dan belum sembuh, mendorong media Vietnam terus memainkan sentimen berhubung kesahihan status pemain warisan yang menyarung jersi Malaysia.

Berkongsi laporan akhbar Indonesia Disway ID, sebuah portal berita Vietnam, VN Express pada Rabu, 2 Julai, 2025, membayangkan Malaysia berdepan risiko dihukum oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana terdapat bukti baharu menunjukkan skuad negara menggunakan pemain warisan tidak sah pada perlawanan menentang Vietnam itu.

Menurut Disway ID, jika dakwaan itu terbukti benar, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berdepan hukuman keras FIFA termasuk penggantungan daripada semua pertandingan anjuran badan dunia itu, termasuk Piala ASEAN.


MALAYSIA tewaskan Vietnam 4-0 pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.


Malah, perlawanan yang membabitkan pemain warisan, seperti kemenangan ke atas Vietnam akan terbatal, dengan keputusan diterbalikkan kepada kekalahan 0-3 untuk Malaysia.

FAM juga mungkin berdepan denda sekurang-kurangnya US2 juta (RM8.44 juta), lima tahun digantung daripada mendapatkan khidmat pemain warisan dan naturalisasi serta pemecatan pegawai-pegawai yang terbabit dalam proses itu.

Sejak kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, isu kesahihan status pemain warisan Harimau Malaya menjadi topik hangat dalam komuniti bola sepak, bukan saja di tanah air malah di luar terutama dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara.

Mereka meragui status pemain warisan yang direkrut oleh Malaysia menjelang perlawanan menentang Vietnam itu terutama yang datang dari Brazil, Argentina dan Sepanyol.


ZULAKBAL ABD KARIM


Mengulas dakwaan terbaharu itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata tuduhan itu bukanlah kali pertama dibangkitkan malah sudah dimainkan oleh banyak pihak selepas kemenangan ke atas Vietnam.

“Daripada apa yang saya faham menerusi artikel ini, isu itu dikatakan sedang dalam siasatan FIFA dan mendapati ada sesuatu yang tak kena, tak jelas atau yang boleh dipertikaikan.

“Namun itu adalah kenyataan daripada pihak ketiga bukan daripada FIFA mahupun AFC. Tuduhan ini bukan kali pertama, sudah beberapa kali, sudah banyak pihak buat tuduhan atau anggapan sebegini.

“Malah, Presiden FAM, Datuk Joehari Mohd Ayub menjelaskan FAM sudah mengikut kehendak dan peraturan ditetapkan oleh FIFA yang mana badan bola sepak dunia membenarkan kita menggunakan pemain warisan dan naturalisasi pada perlawanan menentang Vietnam itu,” kata Zulakbal.


MOHD JOEHARI MOHD AYUB


Pada Rabu, 2 Julai, 2023, Joehari sekali lagi menegaskan segala proses berkaitan pemain warisan telah melalui penelitian rapi FIFA dan tiada sebarang isu berbangkit mengenai kelayakan mereka.

“Semua pemain warisan yang ada sudah diperiksa oleh FIFA dan seperti yang kita tahu FIFA adalah satu badan yang tegas. Jadi semuanya sudah disemak oleh FIFA,” kata Joehari.

Begitupun, Zulakbal yang merupakan pensyarah kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga pemegang profesional Diploma Kejurulatihan AFC, berkata sekiranya dakwaan berkenaan terbukti benar selepas siasatan FIFA, ia adalah satu malapetaka besar kepada FAM dan imej negara.

“Jika terbukti FAM melakukan kesalahan atas niat mencapai kemenangan dengan apa cara sekalipun, ini adalah kesalahan besar dan perlu diambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat.

“Namun, saya fikir perkara ini tidak akan berlaku kerana pihak FAM sendiri dan pengurusan Harimau Malaya yakin apa yang mereka lakukan itu benar serta mengikut peraturan,” tambahnya lagi.


SKUAD Malaysia yang membelasah Vietnam 4-0.


Sementara itu Bernama melaporkan, FAM menerusi setiausaha agung, Noor Azman Rahman memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada FIFA mahupun AFC berhubung permintaan bagi mengemukakan semula dokumen pemain warisan negara.

Malah beliau menegaskan segala prosedur pendaftaran pemain telah dipatuhi sepenuhnya mengikut garis panduan sedia ada.

“Setakat hari ini (Khamis, 3 Julai, 2025), kita tidak menerima apa-apa surat daripada AFC dan FIFA. Kita mengikut segala undang-undang. Kita menafikan segala kenyataan itu (merujuk kepada kenyataan berita),” katanya.

Menjelang perlawanan menentang Vietnam pada 10 Jun 2025 itu, Malaysia mengumumkan lima pemain warisan baharu terdiri daripada Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado.

Kehadiran mereka jelas memberi impak apabila Harimau Malaya berjaya menamatkan badi tidak menang ke atas Vietnam selama 11 tahun dengan membelasah pasukan itu 4-0, dua daripada jaringan dihasilkan oleh Figueiredo dan Holgado. - KitaReporters

 

 

 

 

 

16
7
0
10
0
You will be interested