Seni & Sukan 15 Aug, 2021

Video| Ibarat Sang Purnama! Azad realisasikan impian adik ipar Syazwan Shuhaimi! Rakam lagu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Nama penyanyi baharu ini Syazwan Shuhaimi sudah tentu jarang kedengaran di arena muzik perdana namun jejaka berusia 35 tahun ini sudah lama menapak sebagai penyanyi profesional sejak beberapa tahun lalu.

Cuma nasib tidak menyebelahinya apabila pertaruhan pertama dengan single pengenalan pada tahun 2015 tidak mendapat sambutan.

“Jujur saya katakan pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam merangka apakah pelan yang seterusnya. 

"Berbekalkan pengalaman, dorongan daripada keluarga serta rakan, dan sedikit wang simpanan, saya beranikan diri untuk mengorak langkah sehingga terciptanya single ini,” ujar adik ipar kepada pelakon Azad Jasmin yang lebih dikenali sebagai Pak Azad ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan single terbaharu


Bercerita lanjut, Syazwan berkata, impian yang selama ini dipendam untuk menjadi artis rakaman dibantu oleh Pak Azad yang memperkenalkannya kepada big boss Rocketfuel Enertainment,  Feros Sayna. 

Berititk tolak dari pengenalan itu, lahirnya ‘Sang Purnama’ menerangi cahaya impiannya serta pembakar semangatnya untuk terus mewarnai industri seni walau pun kini berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara pandemik COVID-19.

“Saya tidak menyangka akan mengeluarkan single ketika PKP, namun saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. 

"Berbekalkan keazaman, saya menongkah keadaan semasa dan merubahnya menjadi positif, kerana kita tidak tahu berapa lama norma baharu ini akan berlanjutan, lagipun zaman sekarang semuanya dilakukan dengan kaedah digital, jadi ia bukanlah alasan,” ujar Syazwan bersyukur.

Bagi beliau, ’Sang Purnama’ ciptaan komposer Shazee Ishak bersama Audi Mok membawa maksud metafora buat orang-orang yang disayangi.



“Mereka ibarat bulan yang menyinari malam hari tatakala diri berada dalam kegelapan dan kesunyian. Ia boleh didedikasikan buat sesiapa sahaja yang menjadi penyeri dalam hidup kita,” tambah Syazwan,

Judulnya tepat pula dengan keadaan semasa sekarang yang mana tekanan hidup memerlukan ‘sang purnama’ mengembalikan cahaya dan semangat kendiri untuk terus berlawan dengan perang pandemik ini kan?

Apa pun bagi Syazwan ‘Sang Purnama’ adalah impian yang menjadi kenyataan.



Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah penghalang buat adik kepada pelakon Eira Syazira (gambar atas) ini dalam meneruskan impian beliau bahkan menjadi pembakar semangatnya dalam menghadapi apa jua cabaran.

Lebih terdorong kepada genre balada yang mempamerkan kemantapan vokalnya, lagu ‘Sang Purnama’ yang bergenre pop dansa dengan sedikit elemen jazz dan R&B disifatkan sebagai bukan ‘makanannya’ namun diterima untuk mencabar diri sejauh mana kemampuannya dalam mempelbagaikan seni muzik.



“Melodinya catchy dan easy going kerana saya mahu sesuatu yang mudah diterima oleh ramai,” jelas Syazwan yang turut mencabar dirinya mempelajari rutin tarian selama setahun bersama koreografer Faruq Suhaimi, agar selari dengan konsep muzik dibawa.

Baginya, usia bukan penghalang untuk beliau memperluaskan karakternya waima perlu menari sekali pun kerana bidang muzik sudah lama sebati dengan jiwanya.



“Melalui muzik saya ingin memberi mesej bahawa jangan sesekali mudah putus asa dan terus mengejar impian,” katanya sambil berharap ‘Sang Purnama’ menjadi permulaan yang positif dalam kerjayanya.

Single ‘Sang Purnama’ mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan kerana Syazwan menitikberatkan kesempurnaan sesebuah karya manakala video muziknya yang diarahkan oleh pengarah popular, Ghazi Maslan, digarap dengan begitu kreatif sekali.

"Saya berharap lagu  nyanyian saya ini dapat melonjakkan nama Syazwan Shuhaimi sebagai penyanyi yang dikenali ramai. Dan, buat semua rakyat Malaysia, saya menyeru agar kekal selamat, duduk di rumah jika boleh, dapatkan vaksin yang diberikan dan paling penting jaga kesihatan mental,” akhiri Syazwan Shuhaimi. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested