Foto terakhir peserta Running Man yang dirakam pada hari terakhir pembabitan Kwang Soo bersama siri itu pada 24 Mei 2021 lalu. Kredit foto: SBS/Running Man.
Apabila Lee Kwang Soo mengumumkan pada April 2021 lalu bahawa dia akan meninggalkan siri Running Man, masih ramai yang tidak mempercayainya 100 peratus. Ada yang menganggap ia hanya gurauan daripada pelakon itu.
Malah, apabila pihak produksi sendiri secara rasmi mengeluarkan kenyataan mengenai pengunduran Kwang Soo dan mengumumkan bahawa episod 559 adalah penampilan terakhir bintang itu bersama Running Man, ada yang tidak mahu mempercayainya.
Masih ada yang menganggap ia adalah ‘prank’ atau gimik serta strategi pemasaran pihak produksi untuk ‘menjual’ siri itu agar menjadi lebih trending.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan K-pop
Kwang Soo menerima sijil dan jambangan bunga tanda perpisahan dengan Running Man. - Kredit foto: SBS/Running Man
Namun, tayangan episod 559 yang ditayangkan pada Ahad 13 Jun, 2021 lalu akhirnya menutup segala kesangsian peminat. Kwang Soo yang juga diberi gelaran 'Zirafah' kerana sosoknya yang tinggi sah meninggalkan Running Man selepas 11 tahun bersama siri itu.
Beberapa hari sebelum tayangan itu, previu episod terakhir bintang yang digelar Prince of Asia itu tular melalui media sosial. Sedutan pendek saat detik perpisahan itu menjadi bualan para netizen terutama dalam kalangan pengikut-pengikut setia siri berkenaan.
Dalam sedutan pendek itu, Kwang Soo kelihatan sebak serta mengalirkan air mata semasa membaca surat terakhirnya kepada semua rakan dalam Running Man.
Momen itu sangat menyentuh hati peminat apabila kelihatan Kim Jong Kook, HaHa, Song Ji Hyo, Jae Suk, Suk Jin, Jeon So Min and Yang Se Chan, juga gagal membendung kesedihan.
Suasana penuh emosi ketika Kwang Soo tidak dapat menahan sebak ketika membaca surat terakhirnya kepada rakan-rakan dalam Running Man. - Kredit video: SBS/Running Man.
Tidak dinafikan, ramai peminat Running Man turut dilanda emosi sedih malah ada yang menangisi kehilangan Kwang Soo daripada siri berkenaan selepas 11 tahun dihiburkan dengan gelagat ‘masuk air’ lelaki tinggi itu.
Ada peminat menganggap Running Man tidak akan sama lagi tanpa Kwang Soo selepas ini malah ramai belum bersedia untuk menghadapi kehilangannya.
Inilah reaksi wajah peserta Running Man ketika Kwang Soo membaca surat terakhirnya.
Seorang nitezen menulis: “Running Man bukan Running
Man tanpa Lee Kwang Soo. Saya tak dapat bayangkan bagaimana siri itu nanti
tanpa dia. Saya sangat sayangkannya! Tolong jangan pergi dan cukuplah sekadar bersembunyi.”
Seorang peminat setia siri itu, @rhose_diane menulis: “Hanya ‘runners’ tahu betapa sakitnya. Saya tak tahu jika saya mampu untuk menonton episod ini (merujuk episod terakhir Kwang Soo). Kamu melakukan yang terbaik Kwang Soo. Terima kasih kerana menjadi sumber kegembiraan saya selama 3991 hari.”
Sementara itu, agashii @wanionly menulis ringkas namun cukup untuk menggambarkan kesedihannya. “Saya tahu, saya tahu, saya tahu dia adalah yang paling bijak, sebenarnya, saya tak mampu…” katanya sambil meletakkan emoji menangis.
Seorang peminat @fawaastors menulis: “Berhenti membuat posting mengenai Kwang Soo. Saya tak boleh berhenti menangis bila bercakap mengenainya.”
Malah, masih ada yang menaruh harapan Kwang Soo akan kembali bersama Running Man, sekurang-kurangnya sebagai peserta jemputan.
“Jumpa awak nanti sebagai jemputan Running Man, Prince of Asia,” tulis GG @Generousgirl1.
Sentimen sama dikongsi oleh rakannya, Jae-suk selepas rakaman episod 559
yang merupakan episod terakhir Kwang Soo.
Dia berkata: “Kamu patut fikirkan semula keputusan kamu. Jika sekarang
kamu kata ‘saya minta maaf’, penonton akan faham.
“Saya akan berasa kosong tanpa kamu, tapi kamu patut lakukan apa yang mahu kamu lakukan sekarang tanpa perlu risau mengenai kami.”
Kim Jong Kook yang juga bersama rancangan itu sejak siri pertama berkata: ”Saya fikir kami akan kekal bersama selama-lamanya tanpa ada perubahan. Lebih rasa terkilan kerana yang meninggalkan kami adalah Kwang Soo yang saya fikir akan kekal hingga penamat.”
Kwang Soo mengambil keputusan menarik diri daripada siri itu kerana tidak mampu lagi beraksi lasak akibat kemalangan jalan raya dialaminya pada tahun lalu (2020). Rakaman untuk episod terakhirnya dilakukan pada 24 Mei 2021 lalu.
Dia merupakan ahli ketiga meninggalkan Running Man selepas Song Joong Ki dan Kang Gary melakukannya beberapa tahun lalu.
Walaupun sering 'bercakaran' dalam siri Running Man, namun hubungan mereka di luar set bagai adik-beradik menyebabkan mereka amat merasai pemergian Kwang Soo. - Kredit foto: SBS/Running Man.
Mereka di belakang tabir yang pernah bekerja bersama Kwang Soo turut berkongsi memori melalui media sosial.
Bekas penerbit dan pengarah, Lee Hwan-jin memuat naik status melalui Instagramnya: “Daripada apa yang saya ingat, Kwang Soo tidak sekali pun berkata ‘tidak’ kepada penerbit (bila diminta lakukan sesuatu)”.
Seorang lagi
penerbit dan pengarah, Jung Chul-min menulis: "Dia sentiasa memikirkan mengenai
rancangan itu dan kariernya berbanding dirinya sendiri dan sangat profesional.”
Sudah pasti selepas ini ramai yang akan merindui 'Si Zirafah', Lee Kwang Soo! – KitaReporters