Seni & Sukan 01 Feb, 2022

Video| Konsert showcase mini Dolla, 19 Feb! Banyak kejutan nantikan iDolla! Tiket habis dijual!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Kumpulan Dolla... Dari kiri, Angel, Sabronzo, Tabby dan Syasya.


Baharu lebih kurang 2 tahun sejak ditubuhkan, kumpulan Dolla terus mencipta populariti dan meraih pelbagai kejayaan termasuk menjadi kumpulan nyanyian wanita pertama yang tampil pada papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat.

Terbaharu, Dolla yang dianggotai empat gadis ala-ala kumpulan K-pop Korea, ‘Black Pink’ seperti yang digelar ramai iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya bakal tampil pula dengan pertunjukan khas mereka sendiri  melalui acara ‘Dolla Mini Showcase’. 

“Kami berasa sangat gembira kerana akhirnya diberi peluang membuat pertunjukan kami sendiri untuk para iDolla kami. Lagipun, kamilah puteri-puteri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kami muncul semasa PKP dilaksanakan. Jadi peluang ini sangat berharga buat kami,” jelas Angel mewakili kumpulan Dolla.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan penyanyi



'Dolla Mini Showcase’ yang tercetus daripada cadangan pihak syarikat rakaman mereka, Universal Music Malaysia dijangka berlangsung pada Sabtu, 19 Februari 2022 jam 8 malam bertempat di Nero Event Space, PJPAC 1Utama.

“Idea syarikat rakaman kami ini memang bagus kerana kami memang tak pernah bertemu peminat setia kami yang dikenali sebagai iDolla secara langsung. 

"Gara-gara muncul sewaktu PKP, kami hanya dapat berinteraksi dalam alam maya. Jadi showcase ini satu peluang untuk mendekati mereka dan berinteraksi secara langsung,” ujar Syasya pula tentang persembahan yang akan ditampilkan.

Menyambung lanjut, Tabby memberitahu, selain persembahan dalam beberapa versi lain serta mutu vokal yang dipertingkatkan, Dolla bakal menampilkan banyak kejutan yang masih dirahsiakan demi menjadikan malam tersebut istimewa,

“Jika saya dedahkan terlebih awal bukan kejutanlah namanya, Jadi nantikan malam showcase nanti,” ujar Tabby.



Menariknya, selepas lima minit diumumkan mengenai showcase mereka itu pada jam 12 tengah hari 30 Januari 2022, tiket-tiket yang dijual pada harga RM35 (tiket terhad) dan RM55 (berserta sesi ramah mesra atau ‘meet and greet’) telah pun habis dijual,

“Kami benar-benar terkejut dan tidak menyangka tiket kami akan laku dan habis dijual begitu cepat. Jadi kami harap para peminat kami khasnya iDolla akan menikmati malam tersebut saat melihat kami membuat persembahan secara langsung untuk pertama kali khas di depan mereka. Kami juga tak sabar nak berjumpa peminat kami semua,” ujar Angel menutup bicara sambil melahirkan rasa teruja dengan sambutan yang diberikan.

Dengan penampilan muzik dan gaya persembahan yang tersendiri, pastinya Dolla mampu menghiburkan iDolla mereka sepanjang malam showcase berkenaan apatah lagi mereka kini sudah boleh digelar sebagai sebuah kumpulan penyanyi wanita tempatan yang mempunyai pengaruh yang sangat besar. - KitaReporters


11
19
0
12
0
You will be interested