Seni & Sukan 14 Nov, 2020

Video| Kuasa kelab peminat! Jika artis nak menang anugerah!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

SELALUNYA selepas acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) akan terdengarlah pelbagai sungutan yang tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat. Bak kata peribahasa, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi yang membawa maksud, mengemukakan pendapat atau kritikan sesudah perkara diputuskan tidak boleh dipakai. : KitaReporters


Kemenangan Mawar Rashid mengejutkan kerana beliau cuma berlakon dua filem saja. - Kredit foto: IG Mawar


Lagi kisah-kisah berkaitan ABPBH:

https://kitareporters.com/search?search=abpbh


Namun untuk ABPBH33 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, 13 November 2020, peribahasa itu sudah tidak boleh dipakai lagi kerana sewaktu pengumuman pemenang, orang ramai sudah tertanya-tanya.

Paling tragik, sampai kena cari info dalam Google untuk mengetahui filem lakonan Mawar Rashid hingga melayakkan beliau memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH33 dengan menewaskan 19 pesaing lain termasuk Erra Fazira, Nabila Huda dan Mira Filzah.



Mawar atau nama penuhnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 25, sudah berlakon dua filem iaitu Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium pada 2015 dan Bu, Kasih Suci (2019).

Apa nak hairan dengan kemenangan Mawar kerana pemilihan pemenang untuk anugerah ini sah-sah ditentukan menerusi undian yang dibuat oleh peminat dan bukan juri bertauliah.

Di sini menunjukkan, jika artis itu baik dengan peminatnya, sudah tentu mereka dapat bekerjasama dalam semua perkara termasuk mengundi. 


Kemenangan Mawar merupakan rezeki anak yang bakal dilahirkan.


Perlu diingat, selain bakat yang ditonjolkan, jatuh bangun seseorang artis itu sedikt sebanyak bergantung kepada sokongan peminat juga.  Dalam hal ini, Mawar beruntung kerana beliau mendapat sokongan padu daripada kelab peminat, Mawarnizers. 

Bukan itu sahaja, pemilihan Zahiril Adzim sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular sebenarnya mengejutkan juga kerana nak dikira populariti, namanya taklah sepopular Remy Ishak, Zul Ariffin atau Sharnaaz Ahmad. Filem terakhir lakonan Zahiril yang ditayangkan adalah Kron pada 2019.

Tidak dinafikan dari segi lakonan, beliau memang tip top dan tak sangka pelakon yang tidak banyak kontroversi ini boleh menggondol anugerah tersebut. 


Bakat lakonan Zahiril Adzim tidak boleh dipertikaikan.


“Populariti bukan penanda saya dah berjaya, populariti bukan penanda saya dah bagus. Masih jauh perjalanan kerjaya seni saya, masih banyak yang perlu saya perbaiki lagi. 

 “Alhamdulillah, terima kasih pada semua yang sudi undi walaupun tak pernah terfikir akan berdiri di atas gelanggang ABPBH33 ni. Saya cuma seorang pemain watak yang hanya bertanggungjawab menyampaikan watak dan kisah-kisah sebaik mungkin kepada masyarakat. Insya-Allah, semoga di masa hadapan, akan lebih baik diusahakan,” ucapan terima kasih Zahiril yang dimuat naik dalam Instagramnya.


Chubb-E juga tak sangka beliau boleh menang.


Satu lagi kejutan yang berlaku pada acara tahunan yang mempertaruhkan 13 kategori itu ialah kemenangan Artis Baharu Lelaki Popular yang diraih oleh Chubb-E

Ada yang tanya, kenapa tidak Yonnyboii yang lagunya hari-hari diputar di corong radio dan Hun Haqeem yang sinonim dengan watak Jekfar dalam drama Kampung People. 

Malah kata Chubb-E, beliau juga tidak sangka dipilih sebagai pemenang untuk kategori tersebut kerana nama-nama yang tersenarai sangat hebat. 

Menerusi Instagram official_jomego, beliau menyatakan bahawa kemenangan tersebut adalah hasil usahanya selama lapan tahun dalam industri ini.

"Daripada rancangan kanak-kanak (2014–2019). Pada tahun 2020, bermulalah rezeki saya, dapat masuk rancangan dewasa. Alhamdulillah, dapat bawa balik trofi ABPBH33 untuk kategori Artis Baharu Lelaki Popular. Terima kasih semua, ikhlas dari hati,” ungkapnya.


Tuah menyebelahi Haqiem Rusli pada tahun ini.


Pada malam itu juga penyanyi Haqiem Rusli dipilih sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular dengan mendapat undian sebanyak 22,332,676. Menerusi kemenangan itu, Haqiem yang turut dipilih sebagai pemenang kategori online Lagu Paling Boom Popular (Lembah Kesepian), menerima sebuah kereta Nissan Leaf dan trofi. 

Bertambahlah koleksi kereta Haqiem kerana baru-baru ini, beliau membeli sebuah kereta mewah, Mecedes Benz GLC 200 untuk dirinya dan kemudian Proton X70 untuk ibunya. 

Kemenangan Haqiem yang turut dipilih sebagai pemenang Anugerah Penyanyi Lelaki Popular Xiomi Malaysia, tidak menimbulkan persoalan kerana sejak dulu beliau memang rapat dengan kelab peminatnya, Qiemilio. 

Malah rakan-rakan artis turut mengucapkan tahniah kepada Haqiem dan kata, penyanyi itu layak memenangi kategori tersebut.


Siti Nordiana dan Khai Bahar dipilih sebagai pemenang untuk kategori Artis Kolaborasi.


Bercakap tentang kelab peminat, seorang lagi artis yang rapat dengan ahli-ahli kelab ialah Siti Nordiana

Untuk ABPBN33, Siti Nordiana atau Nana memenangi kategori Artis Kolaborasi/Duo/ Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar dan Artis Versatil.

Malah kelab peminatnya, Siti Nordiana FC turut dipilih sebagai pemenang Anugerah FC @Fantastik Popular.

Manakala pemenang kategori Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular, Sherry Alhadad pula bergerak seiring dengan kelab peminatnya, Sherrylicious FC.

Sherry Alhadad memenangi dua kategori.


Dalam erti kata lain, sokongan kelab peminat atau fan club (FC) itu perlu kerana mereka ibarat tulang belakang perjalanan seni setiap artis. Menerusi kelab peminat itu jugalah artis dapat mengetahui kekurangan diri kerana peminat setia akan bercakap terus terang. - KitaReporters



Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-33 (ABPBH33) :

  • Artis Baharu Wanita Popular (Isyariana Che Azmi)
  • Artis Baharu Lelaki Popular (Chubb-E)
  • Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular – Siti Nordiana dan Khai Bahar
  • Penyampai Radio Popular – DJ Lin, kali ketiga
  • Pengacara TV Popular – Sherry Alhadad
  • Artis Versatil Popular – Siti Nordiana
  • Artis Komedi Popular – Sherry Alhadad
  • Penyanyi Wanita Popular Xiomi Malaysia – Wany Hasrita
  • Penyanyi Lelaki Popular Xiomi Malaysia –  Haqiem Rusli
  • Pelakon TV Wanita Popular – Siti Saleha
  • Pelakon TV Lelaki Popular – Ben Amir
  • Pelakon Filem Wanita Popular – Mawar Rashid
  • Pelakon Filem Lelaki Popular – Zahiril Adzim
  • Anugerah Bintang Paling Popular – Haqiem Rusli
  • Anugerah Khas – Francisca Peter
  • Kategori Online - Gandingan Serasi Drama Popular – Setelah Lafaznya Akad - Kamal Adli / Uqasha Senrose
  • Gandingan Serasi Filem Popular – Pusaka – Syafiq Kyle/ Mimi Lana
  • Lagu Paling Boom Popular - Lembah Kesepian
  • Artis Kontroversi Popular – Aiman Tino
  • FC #FANtastik Popular – Siti Nordiana FC


 

0
1
0
0
0
You will be interested