Seni & Sukan 20 May, 2021

Berita Terkini| Lelaki didakwa tipu jual pelitup muka! Bernilai RM352k! Dikena jaminan RM20k!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM150,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.


SEORANG ahli perniagaan berusia 43 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menipu penjualan pelitup muka berjumlah RM352,000 sejak April 2020 lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Tjoeng Chan Chin mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Chan Chin, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat kerana cedera pada kaki kiri dipercayai terjatuh dua minggu lalu, didakwa atas tuduhan menipu dan memperdayakan seorang individu untuk mempercayai kewujudan perniagaan pelitup muka dan menyerahkan wang RM352,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No.18, Jalan Tempua 8, Puchong Jaya antara 28 April sehingga 13 Mei 2020.

Chan Chin didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM150,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM15,000.

Tertuduh turut memohon agar pihak media dilarang daripada melaporkan kes berkenaan memandangkan reputasinya sebagai ahli perniagaan dan menjejaskan perniagaannya bersama rakan kongsinya.

Bagaimanapun Muhamad Anas menolaknya dan menegaskan permohonan itu perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang dengan melantik peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melantik peguam bagi memasukkan permohonan tersebut dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 Julai depan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Tjoeng Chan Chin mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. kredit Foto Utusan Malaysia.

0
0
0
0
0
You will be interested