Seni & Sukan 05 May, 2020

Tiada Piala Malaysia? Hilanglah jantung bola sepak negara!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PIALA Malaysia boleh diibaratkan ‘jantung bola sepak negara’ yang sukar untuk dinafikan kewujudannya dalam sesuatu musim pertandingan. Membatalkannya akibat penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika tidak dapat dimainkan pada 17 Oktober hingga 7 November 2020 turut akan mencalit babak hitam sejarah bola sepak tanah air. : KitaReporters

AZLAN Johar, bekas pemain Malaysia, Harimau Malaysia, Selangor dan Terengganu serta pengulas sukan TV. - Kredit foto Facebook Azlan Johar


Analogi ini digambarkan Azlan Johar yang mengulas ‘Pelan B’ format kejohanan bola sepak tertua negara ini yang berdepan risiko dibatalkan jika PKP diteruskan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melarangnya.

Piala HMS Malaya (kemudian Piala Malaya dan Piala Malaysia mulai 1967) yang bermula pada 1921, tidak pernah gagal dipertandingkan kecuali ketika Perang Dunia Kedua (1942 hingga 1947).

Bekas penyerang negara dari 1983 hingga 1987 ini berkata, “segala-galanya yang berkaitan bola sepak tahap tertinggi Malaysia bermula daripada Piala Malaysia.

“Jadi apabila ‘jantungnya’ tiada, maka hilanglah prestij dan tradisi  sukan ini,” kata anggota skuad Harimau Malaysia dari 1981 hingga 1986 itu dan memenangi Piala Malaysia dengan Selangor pada 1986,” kata Azlan, 57.

PIALA FA buat kali pertama sejak 1990, terpaksa dibatalkan setelah saingannya sempat dijalankan daripada kelayakan hingga pusingan pertama, Februari lalu. - Kredit foto MFL


Jumaat, 1 Mei 2020, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan Piala FA yang format kalah singkirnya diterapkan pula kepada Piala Malaysia, namun hanya dijadualkan secara sepusingan dan tanpa timbal balik.  

Enam belas pasukan yang bakal merebut Piala Malaysia 2020 ialah 11 terbaik Liga Super dan lima teratas Liga Perdana yang saingannya cuba disambung dari 1 hingga 27 September ini dengan hanya baki tujuh perlawanan sejak ditangguhkan 16 Mac lalu.

Namun pengulas sukan TV ini turut akur bahawa soal prestij tidak lagi dapat difikirkan dalam situasi Covid dan PKP sekarang apatah lagi MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menghabiskan musim pertandingan 2020 dalam tahun ini juga.

“Piala Malaysia dan Liga Super atau Perdana yang diubah suai format ini juga mirip saingan era awal 80-an ketika karier saya sebagai pemain dengan Selangor dan Terengganu. Dulu pun memang tiada Piala FA.

“Jika tidak silap, Piala Malaysia mulai 1983 atau 1984, barulah ada format lapan pasukan teratas yang bermain suku akhir timbal balik. 

"Sebelum itu liganya juga sepusingan dan jawatankuasa FAM yang tentukan siapa tuan rumah,” katanya.  

AZLAN Johar (depan, lima dari kiri) meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia dengan Selangor selepas menewaskan Johor 6-1 dalam final 1986. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan


Mengenai habuan tambahan buat juara Piala Malaysia 2020 iaitu slot wakil negara ke Piala AFC 2021, katanya, “langkah ini wajar berdasarkan dua pertandingan yang bakal diteruskan (termasuk slot juara Liga Super 2020 ke Liga Juara Asia 2021).

“Apabila tiada Piala FA, maka juara Piala Malaysialah yang selayaknya mewakili negara.

"Ini pasti dipersetujui bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selaku pengelola Piala AFC dan Liga Juara Asia (ACL),” katanya.

Tiada masalah jelas Azlan untuk melihat juara Piala FA diberikan semula slot Piala AFC itu pada masa hadapan sekiranya pandemik Covid ini berjaya diatasi dan keadaan kesihatan negara kembali normal. - KitaReporters

AZLAN Johar (barisan tengah, lima dari kanan) bersama-sama bekas pemain dan jurulatih Harimau Malaysia dalam majlis reunion di ibu kota pada 27 Julai 2019. 

1
0
1
0
0
You will be interested