Seni & Sukan 16 Jul, 2021

Arif Aiman dah besar! Kini terbang tinggi! Jangan tenggelam dengan pujian! Nasihat Razman Roslan

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Gambar kenangan Arif Aiman bersama pemain senior, Razman Roslan yang dirakam di Kuantan ketika dia berusia 11 atau 12 tahun. - Kredit foto: Qhaleefa Hanapi.


SEKEPING gambar berserta status “Dulu sama tinggi, sekarang terbang tinggi. Malaysian Next Future Star @arifaiman42” yang dimuat naik oleh pemain bola sepak, Razman Roslan melalui akaun Instagramnya @razman-roslan13, baru-baru ini, menarik perhatian ramai peminat bola sepak tanah air.

Tenyata, mereka begitu teruja melihat gambar Razman bersama seorang kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai Arif Aiman Mohd Hanapi, 19, pemain muda yang sedang mencipta nama bersama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan negara.

Selain menerima hampir ribuan tanda ‘suka’ netizen meninggalkan pelbagai komen positif. Malah, gambar itu kini turut dikongsi oleh media sosial lain.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Arif Aiman

Status Instagram Razman Roslan yang mendapat perhatian peminat bola sepak.


Mengulas mengenai perkara itu, Razman berkata dia tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan, namun tidak menafikan kemungkinan populariti yang sedang diraih oleh Arif Aiman sekarang menyebabkan hal itu berlaku.

“Saya saja suka-suka kongsi gambar itu, tak ada niat apa-apa pun. Tak sangka pula ia dapat perhatian.

“Gambar itu sebenarnya diambil pada 2013 atau 2014, di sebuah kedai makan di Kuantan ketika saya mewakili pasukan Pahang. Masa tu umur Arif mungkin 11 atau 12 tahun.

“Kebetulan abang Arif, (Qhaleefa Hanapi) yang kami panggil Abe adalah kawan saya. Jadi, dialah yang bawa Arif jumpa dan bergambar dengan saya.

“Ketika itu, Arif dah main bola dan saya dengar ramai memuji kehebatannya walaupun saya tak pernah tengok dia bermain.

“Masa bergambar, saya bergurau dengan Arif, ‘Kau kalau dah berjaya nanti, jangan lupa abang’. Arif tak cakap apa-apa, sekadar tersengih.

“Sebenarnya, saya sendiri tak simpan gambar itu. Tapi, baru-baru ini bila abangnya (Abe) hantar kepada saya, baru saya ingat Si Arif ni dan terus ‘upload’ kat Insta saya,” kata Razman.


Arif Aiman berjaya menempatkan diri dalam skuad senior JDT yang beraksi di Liga Juara Asia di Bangkok, baru-baru ini. - Kredit foto: Johor Southern Tigers


Menurut Razman, sebagai pemain senior, dia sangat kagum dengan pencapaian Arif sekarang dan berharap pemain itu dapat mengekalkan prestasinya.

“Sebagai pemain yang masih muda, pencapaian Arif boleh dianggap luar biasa. Bukan mudah untuk mendapat peluang bermain dengan pasukan seperti JDT yang dipenuhi pemain-pemain bintang.

“Apatah lagi dapat beraksi pada peringkat Asia dalam pertandingan Liga Juara Asia (ACL) dan mewakili pasukan utama Malaysia (pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Asia 2023) pada usia semuda itu. Ini semua adalah satu pencapaian yang hebat,” ujar Razman.


Arif Aiman (No 18) diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya ketika menentang Thailand pada Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Dubai, Jun 2021. - Kredit foto: FAM


Namun, Razman menasihati Arif agar tidak mudah tenggelam dengan pujian sebaliknya terus mengekalkan disiplin dan bekerja keras untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

“Saya sebenarnya bimbang dengan dunia moden sekarang yang dikuasai media sosial seperti Instagram, Twitter, TikTok dan pelbagai lagi, jika kita tak pandai mengawal ia boleh merosakkan diri kita terutama karier pemain muda seperti Arif.

“Tapi, saya yakin selagi Arif kekal di JDT, perkara-perkara sebegini tidak akan berlaku kerana di sana setiap hal diurus secara profesional oleh pihak pengurusan,” katanya. 


Arif Aiman bersama kedua-dua ibu bapanya. - Kredit foto: Instagram arifaiman42


Pada masa sama, Razman menasihati Arif agar berhati-hati untuk mengelak kecederaan serius kerana ia mampu memusnahkan kariernya.

“Saya nampak Arif boleh pergi lebih jauh, namun semua bergantung pada dirinya sendiri. Jika jalan yang diikut betul, maka dia mencapai lebih banyak kejayaan,” ujar Razman yang kini mewakili Melaka United.

Arif Aiman yang berasal dari Kuantan, Pahang, adalah produk keluaran Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Gambang sebelum ditawarkan menyertai JDT pada 2018.

Sebelum dieerap ke skuad senior kebangsaan oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 /Piala Asia 2023, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, Jun 2021 lalu, Arif terlebih dahulu mendapat pendedahan bersama skuad Bawah 18 Tahun Kebangsaan pada 2019. - KitaReporters


Aksi Arif Aiman bersama skuad Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM

7
2
0
0
0
You will be interested