Seni & Sukan 07 Jan, 2022

Video| Bila Khai Bahar duda? Ada anak satu pulak? Siapa Shakira? Jawapannya ada dalam Shakira!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


PENYANYI yang terkenal dengan gelaran ‘Raja Smule’, Khai Bahar baru berusia 27 tahun dan masih bujang, namun apabila diberikan watak seorang duda anak satu dalam drama terbaharunya, ‘Shakira’ anda boleh bayangkan tak bagaimana lakonannya? 

Sungguh pun ia merupakan lakonan ketiganya selepas drama ‘Satukan Rasa’  (2019) dan ‘Kisah Cinta Rumi’ , Khai Bahar masih menganggap dirinya dalam proses pembelajaran berlakon apabila rasa gementar masih dirasainya ketika membayangkan mahu hidupkan watak sebagai seorang duda punyai anak.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Khai Bahar

Khai Bahar (kiri) digandingkan bersama Janna Nick dan Syukri Yahaya dalam Shakira. 


Menurut Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, sejujurnya beliau takut dengan watak itu kerana belum ada pengalaman sebagai suami apatah lagi menjadi duda anak seorang namun tetap menyahut cabaran berkenaan sebagai seorang pelakon. 

"Cabaran itu (watak duda anak satu) harus saya tempuhi. Syukur kerana semuanya membantu terutama Syukri Yahya tidak jemu-jemu beri sokongan bagi membolehkan saya menjiwai watak Irdi, ketua Kumpulan Busker Cinta Hati yang juga seorang duda setelah kematian isteri. 

"Antara babak paling sukar dan ditakuti ialah ketika bertengkar dengan Amir (lakonan Shukri), Irdi perlu marah dengan Amir kerana realitinya saya jenis tidak suka marah orang. Apabila ada babak marah, saya lebih banyak tergelak sehinggakan terpaksa 'shoot' beberapa kali dan ini kelemahan saya," akui penyanyi berasal Kangar, Perlis  ini.

Sebagai pendatang baharu dalam seni lakonan, Khai Bahar tidak gentar menerima kritikan netizen jika ia bertujuan membantunya meningkatkan mutu lakonannya.

“Saya masih dalam proses mendalami ilmu lakonan bersama pelakon Zul Huzaimy malah saya  terima sebarang teguran demi memperbaiki lakonan,” ujar Khai tenang.



Sementara itu, Shukri Yahaya, 33, mengakui perkara berkenaan namun tidak beranggapan ia sebagai satu titik kelemahan bagi Khai Bahar sehingga menjadi faktor untuk dirinya membina kekuatan sebaliknya mereka saling melengkapi untuk Shakira. 

“Kami saling bantu-membantu untuk menggerakkan watak masing-masing dalam set agar semuanya seimbang dan bukan untuk menjatuhkan sesiapa.

"Keserasian dengan Janna Nick pula bagi saya tiada masalah kerana kami pernah digandingkan dalam drama 'Suami Tanpa Cinta'. Jadi ia memudahkan kami berikan yang terbaik untuk Shakira. 

"Pendek kata, kami semua sering memberi pendapat dan berkongsi idea bagi menjayakan watak masing-masing bukan membunuh untuk kepentingan diri sendiri,” ujarnya.

Khai Bahar dan Shukri ditemui dalam sidang media secara virtual mempromosikan drama ‘Shakira’ pada Khamis, 6 Januari 2022 lalu yang turut dihadiri pengarahnya, Idora Abdul Rahman.

‘Shakira’ yang kini sudah mula bersiaran di slot Akasia bermula 5 Januari 2022 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7 petang menggandingkan Khai Bahar, Shukri Yahaya bersama Janna Nick sebagai teraju utama.



Bagi, Idora, Khai Bahar tetap boleh berlakon jika diberi tunjuk ajar yang konsisten malah beliau mampu menjadi pelakon baik jika sudah banyak menimba pengalaman berlakon. 

'Shakira’ merupakan pertaruhan kali kedua Idora menawarkan watak kepada Khai Bahar selepas drama ‘Selepas Cinta Rumi’.

Katanya, antara faktor pemilihan Khai Bahar adalah disebabkan peminat artis berkenaan yang ramai dengan pengikut tinggi berjumlah 2.1 juta  dalam laman sosial Instagramnya. - KitaReporters


8
12
0
11
0
You will be interested