Seni & Sukan 21 Aug, 2022

Nantikan teater kisah unik Kuala Lumpur! Festival KL Story/Cerita KL 2022! 3 Sept - 9 Okt 2022!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


BERMULA pada 3 September hingga 9 Oktober 2022 ini akan berlangsunglah Festival KL Story/Cerita KL 2022, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang merupakan program anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

Festival di bawah program DAKEN-Jeyarawara yang turut mendapat sokongan strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara WPKL Pusat Pelancongan Malaysia itu diusahakan melalui pembiayaan Geran Padanan Seni & Budaya 2022.

Festival KL Story/Cerita KL 2022 adalah sebuah acara yang meraikan peristiwa, tokoh, tempat, bangunan yang bersejarah dan istimewa kisahnya bakal mendekatkan orang ramai  dengan kisah-kisah unik Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu kota yang menarik untuk diteroka wawasannya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan festival-festival

Wakil-wakil daripada produksi teater yang terlibat dalam Festival KL Story/Cerita KL bermula pada 3 September ini di MaTiC.


Penasihat Program Festival KL Story/Cerita KL, Dr Marlenny Deenerwan berkata, projek  yang dibiayai di bawah Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) MOTAC dinaungi bersama oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara WPKL, bersama-sama dengan rakan-rakan strategik iaitu MaTiC dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

GSSK merupakan satu inisiatif kerajaan yang memberikan dana secara one-off bagi tahun 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC, bagi memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di negara ini terus kekal berdaya saing dan diperkasa susulan penularan pandemik Covid-19.

Inisiatif ini dirangka bagi membantu para penggiat industri dari pelbagai sektor dan latar belakang dalam penganjuran program/ acara seni budaya yang berimpak tinggi pada tahun 2022.


Marlenny Deenerwan selaku pengerusi Mekar Budaya berkongsi geran sepadan sektor kebudayaan dengan empat lagi badan NGO yang lain.


“Pada tahun ini Mekar Budaya merupakan antara penerima geran GSSK ini bagi melaksanakan program Festival KL Story/Cerita KL. Bagi menjayakan projek ini, Mekar Budaya bergabung dengan empat lagi  NGO lain.

“Festival KL Story/Cerita KL, merupakan gabungan seni persembahan dan sidang keilmuan, bagi mengangkat kisah-kisah mengenai Kuala Lumpur. Wajah ibu negara Malaysia ini dipaparkan menerusi pelbagai peristiwa dalam persembahan teater, serta pelbagai perspektif kehidupan masyarakat yang membentuk dan memberi warna kepada identiti Kuala Lumpur selama ini.

 “Pemilihan tema mengenai kisah-kisah Kuala Lumpur ini juga selari dengan sambutan Jubli Emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022

"Selain pementasan lima buah teater, sidang ilmu seperti bengkel seni dan budaya, forum, serta pameran mengenai wajah-wajah Kuala Lumpur dahulu dan kini juga merupakan sebahagian daripada pengisian yang penting di dalam acara ini,” jelas Dr Marlenny yang juga Pengerusi Mekar Budaya.




Katanya, MaTiC dipilih sebagai lokasi program, kerana ia menyimpan banyak sejarah dan nostalgia untuk para penggiat seni di Kuala Lumpur.

“Dari era Pekan Teater, sehinggalah Festival Teater sebelum wabak Covid-19 melanda dunia, MaTiC merupakan sebuah pusat seni yang berjasa melahirkan ramai penggiat teater di Kuala Lumpur, dan juga dalam bidang-bidang seni selainnya.

“Justeru, membawa Festival KL Story/Cerita KL kembali ke MaTIC diharapkan menjadi langkah menghidupkan nostalgia dan membuka lembaran baharu untuk para penggiat seni di Kuala Lumpur,” katanya penuh harapan.

Bercakap mengenai NGO yang terpilih menerima geran ini, jelas Marlenny, Mekar Budaya dan sahabat NGO lain mewakili kepentingan komuniti seni persembahan. 

“Kami menerima dana daripada kerajaan, dan kepada masyarakatlah manfaat dana ini wajar dikembalikan. Kami mengharapkan supaya program yang dilaksanakan ini mampu membantu walau sedikit, dalam menangani isu-isu sosial dan kesejahteraan ini, terutama menerusi kisah-kisah yang dipaparkan, semoga dapat memberi manfaat moral kepada masyarakat.

“Manakala menerusi sidang ilmu seperti bengkel dan forum, ilmu-ilmu mengenai seni dan budaya dapat disebarkan untuk menambah pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan pembangunan seni dan budaya,” katanya.


Pasukan Geliga Merah Opera akan mementaskan teater berjudul Brickfields pada 10 dan 11 September.


Lima pertubuhan atau produksi teater Kuala Lumpur itu akan mengadakan persembahan sepanjang festival berlangsung. 

Pada 3 dan 4 September 2022, pukul 8.30 malam, Mekar Budaya akan menampilkan teater Perempuan-Perempuan Kampong Bharu.

Pada 10 dan 11 September pula, produksi Geliga Merah Opera akan mempersembahkan Brickfields, manakala pada 17 dan 18 September, Persatuan Teater Malaysia dengan pementasan berjudul Abdullah Hukum.

Sementara itu, Tepak Tellaz pula akan mempersembahkan teater Kubah Panggung pada 1 dan 2 Oktober, diikuti dengan persembahan daripada Revolution Stage pada 8 dan 9 Oktober 2022 untuk persembahan Sudirman & Chow Kit.



Festival tersebut akan dirasmikan oleh wakil MOTAC pada pukul 8.30 malam, 3 September 2022 dan pada malam penutup nanti, 9 Oktober 2022, barisan selebriti seperti Raja Azrey, Satya, para ilmuwan seni budaya dan bakat-bakat teater tanah air akan memeriahkan acara.

Semua pementasan yang bakal dipentaskan, dihasil berdasarkan fakta yang dikutip melalui temu bual dengan orang lama dan berdasarkan buku. 

Pementasan yang dibuat pada hujung minggu itu juga boleh memberi ilmu dan input kepada generasi baharu dan bayaran yang dikenakan untuk menonton teater persembahan terbabit hanyalah RM10. - KitaReporters


Teater yang bakal dipentaskan sempena Festival KL Story/Cerita KL adalah kisah benar yang digarap untuk tontonan orang ramai.

14
15
0
10
0
You will be interested