Seni & Sukan 10 Nov, 2022

Studio Kembara bawa pelakon, kru Mat Kilau tunai umrah! Adi Putra juga bawa pelakon pergi umrah!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Abdul Rahman (dua dari kanan)  bersama Shahruddin Thamby (kiri), Geof Andre (kanan) dan Badrul Sani di sesi taklimat di pejabat Studio Kembara baru-baru ini, - Kredit foto: FAS.


MENGOTAKAN janjinya, penerbit Studio Kembara membawa kira-kira 35 orang terdiri daripada enam pelakon serta kru produksi ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’ mengerjakan ibadah umrah selama 10 hari bermula pada 12 hingga 23 November 2022 ini.

Pengarah Urusannya, Abdul Rahman Mat Dali memberitahu, rombongan akan menaiki pesawat Malaysia Airlines pada jam 7 malam 12 November 2022, terus ke Jeddah dan akan kembali ke Kuala Lumpur dari Madinah pada 23 November 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem Mat Kilau


Enam pelakon yang menyahut rezeki ke Tanah Suci terdiri dari Shaharudin Thamby yang membawa watak Dato Bahaman; Geoff Andre Feyaerts (Kapten Syers); Ali Karimi (Brahim); Farah Ahmad (Yang Chik, isteri ‘Mat Kilau’); Ahmad Hilmi Ishak (pembunuh upahan British, pembantu Toga) dan Siraj Alsagoff berperanan sebagai askar British bernama Shidu. 

“Saya telah memaklumkan kepada pelakon-pelakon lain tetapi masing-masing mempunyai jadual dan komitmen tersendiri, jadii mereka tidak dapat bersama rombongan umrah ini,” ujar Abdul Rahman ketika ditemui pada sesi taklimat ‘Umrah’ yang berlangsung di pejabat Studio Kembara, Bangi pada  7 November 2022 lalu.

Turut hadir memberikan penerangan berkaitan ibadah umrah, Ustaz Badrul dari Amani Travel dan disertai pengendali naratif ‘Mat Kilau’, Badrul Sani.


Ustaz Badrul menunjukkan cara mengikat kain ihram sambil diperhatikan oleh Shaharuddin Thamby.
"Industri perfileman banyak cabarannya, sebaiknya kita mengimbanginya dengan dunia dan akhirat. Sebab itu saya rasa terpanggil menghargai sumbangan barisan pelakon dan produksi dengan menawarkan pakej umrah terlebih dahulu," tambah Abdul Rahman.

Untuk rekod, seperti yang semua maklum selepas dua bulan tayangannya, filem epik sejarah pahlawan ‘Mat Kilaui’ atau nama penuhnya, Mat Kilau bin Imam Rasu di bawah arahan Syamsul Yusof berjaya mencipta sejarah sebagai satu-satunya filem Melayu tempatan yang meraih kutipan hampir RM100 juta menewaskan beberapa filem blockbuster Hollywood seperti antaranya ‘Avengers: Endgame' yang mendapat kutipan lebih RM87 juta.


Ali Karimi bersama Ahmad Hilmi.


Sehubungan kutipan tertinggi dalam sejarah industri filem tempatan itu, Studio Kembara menjanjikan imbuhan diberikan kepada pelakon dan krew penerbitan di mana mengerjakan umrah merupakan antara yang difikirkan.

Terdahulu, Studio Kembara pada Oktober lalu telah melangsungkan majlis ‘Santai Bersama Media’ serta penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan parodi lakonan semula ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’ melibatkan nilaian hadiah wang tunai berjumlah RM28,000.

Menurut Abdul Rahman, memandangkan barisan pelakon lain tidak dapat bersama rombongan umrah kali ini, beliau akan memberikan mereka imbuhan sebagai ‘bonus’  kejayaan ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’. 


Ahmad Hilmi mencuba cara mengikat kain ihram dengan betul sambil diperhatikan Geof dan Siraj (dua dari kiri).


“Hanya tarikh 12 hingga 23 November ini sahaja yang ada kekosongan untuk melaksanakan umrah memandangkan  tarikh-tarikh lain semuanya sudah penuh,” jelas Abdul Rahman yang telah menempah tarikh tersebut sebelum tarikh Pilihan Raya ke-15 (PRU15) diumumkan.

“Sebab itu saya perlu mendapatkan kepastian daripada setiap yang diundang sama ada mereka sanggup bersama atau pun tidak memandangkan tarikhnya bertembung dengan pilihan raya,” tambah beliau.

Menjawab persolan bagaimana hasil kutipan 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' yang ditayangkan di Indonesia, Abdul Rahman memberitahu, masih belum mendapat sebarang maklum balas penuh mengenainya daripada pengedar yang dilantik, Skop Productions milik Dato Yusof Haslam.

“Kami masih menunggu laporan daripada mereka  tentang berapa koleksi dan sebagainya selepas filem mula ditayangkan di 200 pawagam Indonesia pada bulan September 2022 lalu," katanya lagi.

Dalam pada Itu, beliau memberitahu akan merancang majlis penyerahan imbuhan kepada barisan pelakon dan krew lain selepas kepulangannya dari umrah.



Sementara itu, rata-rata pelakon yang ditemui melahirkan rasa syukur mereka dapat bersama menunaikan umrah malah ada yang membawa sekali keluarga masing-masing.

“Inilah peluang untuk kami bertaubat kerana kekejaman yang  kami lakukan dalam filem tersebut,’ ujar Ahmad Hilmi dalam nada gurau sambil mendapat anggukan daripada rakannya, Siraj Alsagoff sebagai askar Briish bernama Shidu yang tidak kurang kejamya. 

Dalam filem ‘Mat Kilau’, Ahmad Hilmi memegang watak Thong, pembunuh upahan British yang kejam apabila dia dilihat memijak wanita hamil, Rokiah (isteri kepada Wahid lakonan Zarina Zainoordin) hingga mati.

Ingat tak, babak yang cukup menyayat hati itu hingga ramai penonton dilihat mengalirkan air mata?



Dan bagi ‘Dato Bahaman’, beliau turut  meluahkan rasa bersyukurnya dapat menunaikan ibadah umrah kali kedua di bawah tajaan Studio Kembara.

“Kali pertama saya mengerjakan umrah adalah pada tahun 2017 bersama keluarga,” ujar pemegang watak Dato Bahaman, Shaharudin Thamby yang akan melaksanakan umrah seorang diri kali ini.



Dalam perkembangan lain, terbaharu melalui laman sosial instagram pelakon utama ‘Mat Kilau’, Dato Adi Putra dilihat mempromosikan pakej umrah di bawah syarikatnya, Hadid Travel & Tours dengan membawa bersama pelakon Johan Ashari, yang memegang  watak Yassin, pada 27 November 2022 hingga 7 Disember 2022 depan.

Sebelum itu, Adi Putra telah memuat naik satu poster pakej umrah 11 hari  9 malam dengan memaparkan foto Johan As'ari bersama pelakon yang memainkan watak  Wahid iaitu Beto Kusyairy, pada 21 Oktober 2022 dengan memaparkan empat tarikh pilihan pakej perrjalanan umrahnya iaitu  27 Nov - 8 Dis 2022; 27 Dis 2022 - 6 Jan 2023; 12 Feb-23 Feb 2023 dan 3 Mac - 14 Mac 2023. Semua pakej berkenaan bernilai RM9.180 seorang.

Apa pun, semoga segalanya dipermudahkan dan rombongan ‘Mat Kilau’  memperoleh umrah mabrur serta selamat pergi dan pulang!  Aaminn!! - KitaReporters

13
8
0
16
1
You will be interested