Seni & Sukan 03 Feb, 2023

Ronaldinho rindu bola sepak Malaysia! Mahu kembali warnai Liga M! Tunggu tawaran kelab untuk beraksi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

RONALDINHO menjalani latihan bersendirian bagi memastikan kekal cergas. - Kredit foto: Patrick Ronaldinho Wleh.


SELAMA dua musim hilang dari radar bola sepak Malaysia, pemain kelahiran Liberia, Patrick Ronaldhinho Wleh kembali dengan membawa harapan agar dapat beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Walaupun namanya semakin dilupakan namun Ronaldinho berkata reputasinya sebagai penyerang berbisa belum luput malah yakin masih mampu menyumbang kudrat kepada mana-mana pasukan.

Justeru, penyerang yang pernah menyarung jersi beberapa pasukan Liga M sejak 2012 sangat berharap ada pasukan yang sanggup membuka pintu kepadanya kerana dia ingin kembali menikmati serta mewarnai bola sepak Malaysia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak Liga Malaysia 

Kredit foto: FB Patrick Ronaldhinho Wleh


“Saya sangat suka bermain di sini (Malaysia) malah sudah anggap Malaysia sebagai negara kedua saya. Bayangkan, sejak 2012 hingga 2020 saya bermain di sini, bola sepak negara ini serta penyokongnya sudah sebati dengan diri saya.

“Banyak kenangan saya di sini menyebabkan saya sentiasa menyimpan impian untuk kembali bermain di Malaysia. Walaupun sudah berusia 32 tahun namun ia belum cukup tua malah saya sangat yakin masih mampu memberikan prestasi seperti dahulu. 

“Walaupun tidak mempunyai pasukan, saya tetap mengekalkan tahap kecergasan dengan melakukan latihan bersendirian. Saya bersedia untuk diuji oleh mana-mana pasukan untuk mereka menilai sendiri,” kata Ronaldinho.


RONALDINHO yakin masih mampu mengekalkan reputasi sebagai penyerang terbilang. - Kredit foto: Patrick Ronaldinho Wleh.


Menurut Ronaldinho, dia sudah berada di Malaysia sejak pertengahan tahun 2022 bagi mempersiap diri untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia musim 2023. Malah, dia sudah menghubungi beberapa orang jurulatih untuk mencari peluang yang diidamkan namun setakat ini belum mendapat keputusan positif.

“Saya berharap dengan kuota pemain import sudah ditambah, peluang terbuka untuk saya kembali beraksi dalam bola sepak Malaysia. Saya kini berada di Puchong (Selangor), jika ada berpasukan berminat mereka boleh berhubung melalui media sosial saya,” katanya.


RONALDINHO menjaringkan gol untuk membantu Malaysia seri 1-1 ketika aksi persahabatan menentang Liverpool pada 2015.


Untuk rekod, Ronaldinho mula mencipta nama pada Liga M apabila mewakili kelab Sime Darby FC pada 2012. Dia menjaringkan 19 gol menerusi 20 penampilan. 

Seterusnya, pada 2013 hingga 2017, dia menyarung jersi PKNS FC, beraksi sebanyak 75 kali dan menjaringkan 45 gol. 

Namun, pada 2016, ketika masih mempunyai kontrak bersama PKNS, Ronaldinho dipinjam oleh pasukan Selangor FC untuk memperkuat pasukan pada musim itu. Dia menjaringkan 9 gol menerusi 19 aksi. 

Selain itu, dia juga pernah mewakili pasukan PDRM FC (2019) dan Sarawak pada 2020.

Sesuatu yang sudah pasti menjadi kenangan manis bagi Ronaldinho adalah apabila dia dipilih menyarung jersi pasukan Malaysia pada perlawanan persahabatan menentang kelab utama England, Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai, 2015.

Harimau Malaya berjaya mengikat The Reds 1-1, lebih manis, Ronaldinho menjaringkan gol untuk skuad negara pada minit ke-13. -KitaReporters


 

 

 

16
8
0
13
0
You will be interested