Seni & Sukan 22 Feb, 2023

Video: Selamat maju jaya Safee Sali! Umum gantung but! Terkilan tak dapat sertai kelab Cardiff City!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


SETIAP yang bermula pasti akan berakhir. Itulah hakikat yang perlu diterima oleh pemain bola sepak, Safee Sali apabila dengan berat hati mengumumkan persaraannya pada Selasa, 21 Ferbruari, 2023, selepas 20 tahun membabitkan diri.

Safee, 39, kali terakhir mewakili Kuala Lumpur FC pada musim 2022, mengakui faktor umur menjadi halangan untuk dia meneruskan karier secara kompetitif malah berasa sekarang adalah masa yang tepat untuk bersara,


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemain bola Safee Sali



“Walaupun saya tidak mengalami kecederaan serius, tetapi saya tidak mampu bersaing secara kompetitif dengan pemain-pemain lain dan sekarang adalah masa terbaik untuk umum persaraan.

“Berat apabila rakan sepasukan mahu saya bermain dalam kesebelasan, namun saya tidak mampu dan semua itu buatkan saya tidak bermotivasi serta tertekan.

“Memang sedikit emosi sebab sudah 20 tahun saya dalam bola sepak, semua jatuh bangun saya sudah lalui sejak mula beraksi pada usia 19 tahun. Saya sudah boleh terima hakikat perlu beralih ke episod baharu kehidupan,” katanya.


SAFEE mengumumkan persaraan dalam satu sidang media pada 21 Februari, 2023. - Kredit foto: FAM


Sebagai pemain, Safee menikmati kemuncak kariernya ketika membantu skuad negara menjuarai Piala AFF buat pertama kali dan tunggal setakat ini pada 2010 malah muncul sebagai penjaring terbanyak pertandingan dengan lima gol, tiga antaranya ketika mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir.

Prestasi cemerlang pada pertandingan AFF itu memikat kelab Indonesia, Pelita Jaya untuk membeli Safee pada 2011 dengan bayaran USD30,000 (RM91,080) dan dilaporkan dia dibayar gaji bulanan USD10,000 atau bersamaan RM30,360, dianggap sebagai antara pemain Malaysia yang menerima gaji tertinggi ketika itu..

Safee membuat 42 penampilan dengan menjaringkan 27 gol sepanjang bersama Pelita Jaya sebelum dipinjamkan kepada Johor Darul Ta’zim 2013 dan seterusnya menyertai jaguh bola sepak dari selatan itu secara rasmi pada 2014.

Ketika bersama Harimau Selatan, Safee memenangi tiga kejuaraan Liga Super. Malah saat paling manis adalah apabila JDT menjuarai Piala AFC pada 2015.


SAFEE membantu skuad negara menjulang Piala AFF pada 2010.


Namun, selepas meninggalkan JDT pada 2017 untuk menyertai PKNS FC, karier Safee mula menghadapi zaman suram terutama kerana dibelenggu oleh kecederaan sehingga pada satu tahap, dia kelihatan begitu terdesak dengan menyertai pasukan Perlis yang ketika itu sedang dibelenggu masalah gaji.

Apabila Perlis akhirnya digantung daripada menyertai pertandingan, Safee diberi talian hayat oleh PJ City FC sebelum dia kembali ke pangkuan pasukan yang melahirkannya, Kuala Lumpur City FC pada 2020.

Walaupun lebih banyak berperanan sebagai pemain gantian namun Safee menikmati detik gemilang pada penghujung karier apabila menjulang Piala Malaysia bersama KL City dengan mengalahkan JDT 2-0 pada final 2021.

Sebagai pemain yang memenangi pelbagai kejuaraan termasuk peringkat global, seharusnya Safee boleh menggucapkan selamat tinggal dengan senyuman.



Namun, sesuatu yang tidak dapat disangkal, kekecewaan yang sedikit sebanyak masih berparut di hatinya sukar diubati terutama kegagalannya untuk beraksi di Eropah gara-gara ranking skuad kebangsaan yang menjadi penghalang kepada cita-cita itu.

“Saya pernah melalui ujian di Cardiff City, jurulatih mahukan saya tapi disebabkan ranking skuad kebangsaan kita yang tidak mencapai kedudukan yang mereka syaratkan, saya tidak dapat teruskan perjalanan saya di Eropah.

“Saya berharap sesiapapun yang mewakili Malaysia selepas ini akan berusaha menaikkan ranking skuad kebangsaan kerana pemain kita mempunyai bakat untuk beraksi di Eropah, cuma ranking jadi penghalang," katanya.

Safee yang kelihatan beremosi semasa mengumumkan persaraan menerusi satu sidang akhbar mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan sepasukan, kelab dan penaja yang sentiasa menyokong kerjayanya.

“Saya melalui zaman jatuh bangun sejak saya memulakan karier. Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong saya dan saya belajar banyak perkara bila saya berpindah dari Kuala Lumpur ke Selangor, kemudian ke Pelita Jaya dan JDT sebelum akhir kembali ke KL,” ujar Safee.



Mengenai perancangan masa depannya selepas bersara, Safee berhasrat mencurahkan pengalaman dan kebolehannya kepada generasi muda dengan menubuhkan sebuah akademi bola sepak.

Mengenai perancangan masa depannya selepas bersara, Safee berhasrat mencurahkan pengalaman dan kebolehannya kepada generasi muda dengan menubuhkan sebuah akademi bola sepak.

“Saya juga akan bekerjasama dengan sebuah produksi untuk menghasilkan dokumentari berjudul ‘Sepuluh’ yang akan memaparkan perjalanan karier saya,” katanya.

Selain itu, Safee juga menyertai sebuah stesen televisyen sebagai pengulas untuk liga tempatan serta akan melancarkan saluran YouTube ‘Sports Tarik’ yang memberi fokus kepada topik semasa dan personaliti sukan.

Selamat Maju Jaya Safee Sali! - KitaReporters


SAFEE (tengah) kini mula berjinak-jinak sebagai pengulas bola sepak bersama sebuah stesen televisyen tempatan.

9
18
0
9
0
You will be interested