Seni & Sukan 23 Oct, 2024

Sukan Komanwel 2026: 3 sukan prospek emas negara digugurkan! MOM akur! Glasgow ikat perut jadi hos!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


HENDAK membantah tidak, merayu pun tidak.

Sekalipun bakal kehilangan tiga jenis sukan berprospek pingat emas seperti sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya memilih untuk akur dan lebih rela menelannya dengan pahit.

Badminton, terjun akuatik dan skuasy digugurkan daripada program Sukan Komanwel Glasgow Ke-23 yang dijadualkan dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2026 selain hoki dan gimnastik berirama, umum Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) pada 22 Oktober 2024.

Sejak Tanah Melayu (Malaya kemudiannya Malaysia) menyertai Sukan Komanwel (ketika itu Sukan Empayar British) pada 1950 hingga Birmingham 2022, kontinjen negara sudah mengumpul 31 pingat emas, 22 pingat perak dan 16 pingat gangsa menerusi badminton.  

Akuatik terjun dan skuasy masing-masing pernah menyumbang tiga dan dua pingat emas manakala hoki dengan sebutir pingat perak dan sebutir pingat gangsa, sementara Ng Jo Ee mengalungi Malaysia, dua pingat emas gimnastik berirama pada 2022.


PERSEKUTUAN Sukan Komanwel (CGF) pada 22 Oktober 2024 mengumumkan Glasgow, Scotland sebagai tuan rumah Sukan Komanwel Ke-23 pada 2026. - Kredit foto: CGF


Glasgow, Scotland yang menggantikan Victoria, Kanada dan ekoran penolakan Malaysia sebagai pengganti pertamanya pada 21 Mac 2024 lalu, hanya akan mengendalikan 10 jenis sukan di empat venue dalam lingkungan 12.88 kilometer.

Sekitar 3,000 atlet dari 74 negara Komanwel (bekas tanah jajahan Britain) yang mewakili 2.5 bilion rakyat atau sepertiga daripada penduduk dunia, akan menyertai temasya empat tahun sekali ini di Glasgow - 12 tahun selepas pernah menjadi hos temasya 2014.

Jenis-jenis sukannya ialah renang akuatik, olahraga, bola keranjang bertiga, tinju, berbasikal trek, gimnastik, judo, boling padang, bola jaring dan angkat berat.  

Turut diketepikan pula ialah memanah, kriket T20, mendayung dan ragbi tujuh sebelah daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dikatakan cuma berskala kecil dan perlu berjimat cermat. 


MOHD. NAZIFUDDIN NAJIB. - Kredit foto: MOM


Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berkata dalam siaran media 23 Oktober 2024, “demi menjayakan Sukan Komanwel 2026 yang berdaya maju kewangan, langkah ini (pengguguran tiga sukan prospek Malaysia) tidak dapat dielakkan apatah lagi dengan kekangan masa yang ada ekoran penarikan diri Victoria (pada 18 Julai 2023).

“Tumpuannya adalah untuk melangsungkan temasya yang berkualiti tinggi dalam satu cara yang mampan dari segi kewangannya. Jadi perlu ada keutamaan yang lebih kepada atlet-atlet dan sukan-sukannya.

“Maka, MOM menerima hakikat Glasgow 2026 akan lebih ringan dan kecil daripada temasya terdahulu dengan pengguguran sukan-sukan yang kita kuat seperti badminton, terjun akuatik, skuasy dan hoki,” katanya.


SKUAD badminton berpasukan campuran negara yang memastikan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan mengalahkan India pada final. - Kredit foto: MOM


NG Joe Ee meraih dua pingat emas, bola dan reben gimnastik berirama Sukan Komanwel Birmingham 2022 sehingga membolehkannya bergelar Olahragawati Kebangsaan MSN 2022. - Kredit foto: MOM 


Sebaliknya tegas Nazifuddin, temasya ke-23 ini akan menonjolkan kepentingan kerjasama sebenar, keanjalan dan kemampanan bagi masa depan yang mengurangkan kos, kesan alam sekitar dan meningkatkan impak masyarakat.

“Dalam mencapainya, tahap kemampuan negara sebagai tuan rumah akan turut meningkat.

“Ini juga satu peluang mencipta satu rangka tindak yang baharu bagi masa depan yang sukan yang mampan dan boleh dicapai dan tidak mengejutkan versi yang dijimatkan ini telah mengorbankan kekuatan kita,” ujarnya.

MOM sebaliknya tegas beliau, akan membincangkan strategi-strategi yang diperlukan untuk menghadapi isu ini dengan pemegang taruh berkenaan termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan. - KitaReporters


BEREGU wanita negara, M. Thinaah (kuning, kiri) dan Pearly Tan turut mengecapi satu lagi pingat emas kategori individu di Birmingham. - Kredit foto: MOM 

13
14
0
12
0
You will be interested