Wah, ingatkan hanya pandai berlakon tetapi sebenarnya Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan juga pandai memasak!
Sekali-sekala dia akan turun ke dapur untuk menyediakan hidangan untuk keluarganya. Siapa sangka, orang yang hebat di layar perak rupa-rupanya hebat juga di dapur.
Bapa kepada tiga orang anak ini juga merupakan seorang bapa yang penyayang. Pada 22 Disember 2024 lalu, Namron berkongsi satu video dalam TikTok menunjukkan dia sedang menyediakan hidangan laksa demi memenuhi permintaan anak-anaknya. Walaupun tahap kesihatannya ketika itu tidak berapa baik, namun dia tetap gagahi diri untuk turun ke dapur.
Sebelum itu, Namron berkongsi mengenai dirinya yang tidak berapa sihat. Dia didapati pergi ke klinik untuk berjumpa doktor. Menurut doktor, sel darah putihnya rendah. Kesan daripada itu, jelas Namron dia mengalami demam, lesu, sendi tulang dan badan sakit seperti kena cucuk.
Sungguhpun begitu, ia bukan penghalang dia menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anaknya.
“Bila kau sayang anak-anak kau, kau lupa yang kau tak berapa sihat,” tulisnya ringkas tapi menyentuh perasaan.
Perkongsian tersebut menarik perhatian peminat dan netizen. Mereka tidak menyangka Namron pandai memasak.
Melihat video yang dikongsi itu, kelihatan Namron tidak sama sekali kekok saat berada di dapur.
“Bukan setakat
pandai berlakon, masakpun pandai,” puji salah seorang netizen.
Malah ada juga yang kagum dengan kesungguhan dan kasih sayang ditunjukkan oleh Namron.
“Perghh penuh kasih sayang papa, perisi cili kering buang habis biji,” tulisnya.
Ramai juga netizen yang berkongsi resipi dan tip membuat laksa. Seperti biasa, ada juga sesetengahnya yang menganggap resipi dan cara mereka lebih bagus. Ada yang cadangkan menggunakan ikan sardin dalam tin kerana lebih mudah dan pantas. Namun, ramai yang tidak bersetuju termasuk Namron sendiri.
“Nak lagi senang pakai sardin dalam tin,” cadang netizen tersebut. - KitaReporters