/
Percayakah anda jika dikatakan penyanyi legenda terkenal negara yang mendapat jolokan ‘Raja Pop’, Dato Jamal Abdillah mempunyai lebih kurang 100 botol minyak wangi pelbagai haruman tetapi menariknya sebahagian besar daripada simpanan minyak wanginya itu adalah parfum wanita.
Dah kenapa Jamal?
“Saya memang suka bau pewangi wanita sebab baunya sentiasa harum,” dedah Jamal Abdillah tanpa ragu-ragu ketika menjawab soalan media mengenai minyak wangi haruman jenis apakah yang disukainya.
Pemilik bernama sebenar, Jamal Ubaidillah Mohd Ali ini ditemui pada majlis pelancaran pewangi ‘Verlune’ by Jamal yang diinspirasikan daripada rasa kasih sayang dan cinta buat isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, yang bakal melahirkan cahaya mata mereka yang kelima pada Januari 2025.
Minyak wangi ‘Verlune’ yang bermaksud 'bulan' dalam bahasa Perancis dihasilkan daripada flora dan fauna serta kayu-kayuan (woody) keluaran Amazing Bio Lab.
Turut hadir pada majlis santai yang berlangsung di Slow Wood Coffee, Mont Kiara adalah isteri Jamal, Zai Izzati dan Ketua Pegawai Eksekutif Amazing Bio Lab, Rennie Lau.
Bercerita lanjut, kata Jamal, sebagaimana maksudnya ‘bulan’ ia seumpama isterinya adalah rembulan yang menyinari hidupnya sejak berkahwin pada tahun 2017.
“Bulan itu sendiri lambang keteguhan cahaya cinta antara kami.” tambah Jamal bersyukur.
Dari kiri: Rennie Lau, Zai Izzati dan Jamal memperlihat minyak wangi 'Verlune' tanda sayang Jamal pada isterinya.
“Bagi saya ia juga lambang kekayaan,” sampuk isteri tercinta, Zai Izzati yang sentiasa senyum di samping Jamal sambil mengiyakan segala percakapan suaminya.
Berharga RM198 sebotol, Jamal berharap produk pertama di bawah namanya ini akan diterima ramai dan membayangkan akan menghasilkan pula pewangi untuk lelaki.
“Bukan bermakna saya tidak suka pewangi lelaki tetapi parfum wanita memang lebih harum,” gurau Jamal yang bakal menimang cahaya mata perempuan yang kedua baginya, malah sudah pun memilih nama ‘Magdalena’ untuk anak yang bakal dilahitkannya itu.
Jamal dan isteri bersama team Amazing Bio Lab.
Sempena pelancaran minyak wangi 'Verlune' pada Khamis, 12 Disember 2024, pewangi berkenaan ditawarkan pada harga RM149 dan terhad bagi 1,000 botol sahaja.
"Ia hanya dipasarkan melalui 'TikTok' oleh Jamal malah penjualan pewangi ini juga hanya boleh diperoleh melalui platform sosial media," jelas Rennie Lau.
Dalam pada itu, meniti usia 66 tahun, Jamal tidak menolak sekiranya dikurniakan anak lagi jika itu yang dianugerahkan Allah SWT. kepadanya.
“Saya tidak boleh kata dah cukup tujuh anak, tetapi segalanya bergantung pada rezeki yang Allah kurniakan,” tambah Jamal.
Untuk rekod, hasil perkongsian hidup dengan Zai Izzati, mereka dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5; El Isaac Yamani, 4; Iskandar Rayyan Yamani, 2, dan Rahil Laura Salsabila Yamani yang kini berusia setahun lebih.
Jamal juga memperoleh dua lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17 tahun. - KitaReporters
Dari kiri: Iskandar Rayyan Amani, Rahil Laura Salsabila Yamani, Nur Azura Yamani dan El Isaac Yamani. - Foto kredit: HMetro.