Seni & Sukan 18 Aug, 2024

Piala Sultan Selangor pencetus kepulangan Singapura ke Liga M? Bagi tampung slot negeri digantung MFL!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


SEBAIK sahaja menjulang Piala Malaysia tanggal 17 Disember 1994 di Stadium Shah Alam, itulah kali akhir Singapura beraksi pada pertandingan bola sepak antara tertua Asia ini (dikira termasuk Piala Malaya sejak 1921).

Memang ada penampilan LionsXII dalam Piala Malaysia dari 2012 hingga 2015 dibarisi kebanyakan pemain bawah 23 tahun republik yang dengan bantuan beberapa seniornya, masih mampu membawa trofi Liga Super 2013 dan Piala FA 2015 menyeberangi Tambak Johor.


PERANTARA Pilihan Selangor, Nooa Laine (jersi merah) diasak dalam perebutan bola di udara oleh tiga pemain Pilihan Singapura dalam perlawanan Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 17 Ogos 2025. - Kredit foto: SFC


Matlamat penganjur cuba mengembalikan nostalgia perseteruan Piala Malaysia terutama seperti era 70-an dan 80-an, tampak tercapai dalam perlawanan Piala Sultan Selangor 2024 yang dipertahan oleh Pilihan Selangor setelah menumpaskan Pilihan Singapura 2-1 pada 17 Ogos 2024. 

Alvin Fortes menjaringkan gol kemenangan minit ke-90+1 menerusi sepakan penalti di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur biarpun Faris Ramli sempat mengikat tuan rumah, lima minit selepas Ronnie Fernandez membuka tirai jaringan.

Veteran Selangor pula menundukkan Veteran Singapura 2-1 dalam satu perlawanan lebih sejam terdahulu hasil jaringan Datuk Zainal Abidin Hassan dan Asmawi Bakiri yang dirapatkan jurangnya oleh pemain pelawat, Dalis Supait.

Ribuan hadirin termasuk Penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap setia menyaksikannya biarpun hujan yang agak lebat membasahi mereka dalam edisi ke-18 ini yang mungkin merindui aksinya sejak tertangguh dari 2020 hingga 2023.


PASUKAN Pilihan Selangor bersorak girang meraikan kejayaan menjulang Piala Sultan Selangor 2024 yang disampaikan Sultan Sharafuddin Idris Shah (baju kuning, tengah). - Kredit foto: SFC


PILIHAN Selangor memperagakan Piala Sultan Selangor yang dipertahan sejak 2019 selepas menundukkan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada perlawanan edisi ke-18 tanggal 17 Ogos 2024. - Kredit foto: SFC


Malah hampir sedekad berlalu, wajarkah Singapura diundang kembali memeriahkan saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia? Adakah mungkin pada 2025 atau 2026 masa yang tepat untuk badan pengurus Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengutus jemputan itu kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS)?

Sekatan kepada segelintir pasukan negeri daripada menyertai Liga Super seperti Melaka United FC, Kelantan FC, Sarawak United FC dan Perlis United FC malah kemungkinan Kuala Lumpur City FC angkara masalah tunggakan gaji pemain sehingga berbulan-bulan, semakin mengecilkan saiz penyertaan pada setiap musim saingan.

Relakah FAM dan MFL juga melihat tahap persaingan liga sekarang yang berterusan dan segala pialanya hanya dibolot oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sehingga kebanyakan peminat hanya boleh meneka siapa naib juara, di tempat ketiga dan yang ke bawah lagi?

Masih ada pro dan kontranya kalau Singapura dijemput kembali tetapi jika misi utamanya untuk merancakkan semula saingan Liga M, FAM dan MFL kenalah lupakan sejarah terlukanya hati mereka dengan penarikan diri mengejut FAS mulai 1995 dan pembubaran LionsXII selepas 2015 itu.  

Liga Perdana Singapura pula tidaklah sebesar dan semeriah Liga M dan sebilangan besar pengikut setianya sejak 1996 dan dijenamakan semula pada 2018 pasti lebih tertarik jika sehingga 12 atau 13 pasukan dari Malaysia disabungkan dua kali seminggu di Stadium Nasional, Singapura atau Stadium Jalan Besar mahupun Stadium Bishan mereka.


BARISAN benteng Pilihan Singapura (jersi biru) mengekang kemaraan pemain Pilihan Selangor di padang Stadium Merdeka yang dibasahi hujan dan berlopak. - Kredit foto: SFC


Sudah lama juga Sang Singa tidak menjuarai Piala AFF (kini Kejohanan ASEAN) seperti 1998, 2004, 2007 dan 2012 apatah lagi layak ke Piala Asia malah dibelasah oleh Korea Selatan 5-0 dan 7-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di gelanggang sendiri dan Seoul pada 16 November 2023 dan 6 Jun 2024.

Kekuatan dan daya saing pasukan kebangsaan sesebuah negara turut dipengaruhi sejauh mana berkualitinya persaingan liga tempatannya mahupun sekiranya kelab mereka turut menyerlah dalam Liga Juara Asia (ACL) Elit dan 2 anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).   

Namun syarat-syarat tertentu mesti dikenakan oleh FAM dan MFL sekiranya FAS menyahut undangan ke Liga M itu dan kedua-dua badan ini wajar menyemak dan merujuk semula rekod dan segala aspek kelebihan dan kelemahan sepanjang Singapura dan LionsXII beraksi dalam Liga M.

Adakah wajar juga hanya pemain senior Singapura yang diwajibkan bagi Liga M dan bagaimana pula pembahagian kutipan tiket stadium di Singapura yang dikenakan kepada FAS dengan nilai mata wang dolarnya yang lebih tinggi berbanding RM sekarang?

Adakah seperti 2012 hingga 2015, pasukan belia kita yang ketika itu digelar Harimau Muda atau bawah 23 dan 20 tahun kita yang kini dikendalikan warga Sepanyol, Juan Torres Garrido turut dibenarkan beraksi dalam Liga S? - KitaReporters


PENYERANG Veteran Selangor, Datuk Dollah Salleh (kiri) mengembalikan skil gelecekannya seperti era 80-an dan 90-an terhadap seorang pemain Veteran Singapura di Stadium Merdeka. - Kredit foto: SFC   


PASUKAN Veteran Selangor yang dibarisi antaranya Dollah Salleh, Datuk K. Rajagobal, K. Gunalan, Azman Adnan, Shahril Arsat, Karim Pin dan Datuk Zainal Abidin Hassan menayangkan bendera negeri itu ketika meraikan kejayaan merampas semula trofi khas perlawanan veteran daripada Veteran Singapura. - Kredit foto: SFC 

10
9
0
14
0
You will be interested