Seni & Sukan 02 Sep, 2024

Kings' Cup| Regu negara juara! Lunyai India dilanyak! Mentang-mentang Thailand juara bertahan tiada!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

HAZIQ Hairul Nizam melepaskan servis deras kidal daripada lontaran bola Farhan Adam atau digelar Emon. - Kredit foto: SASA


SEPERTI yang diduga dan cuma menanti hari untuk mengesahkannya!

Tanpa musuh tradisi - Thailand, Malaysia menjuarai acara antara regu Divisyen Perdana Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 atau King’s Cup pada 2 September 2024 di Korat.

Regu negara, Haziq Hairul Nizam (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) hanya memerlukan 23 minit untuk menumpaskan India 15-5, 15-9 pada perlawanan penamat liga sepusingan itu.

Sudahlah India di ranking dunia lebih rendah, malah Malaysia seakan-akan ‘dibantu lagi’ oleh keletihan W. Henary Singh, Yumnam Akash dan S. Malemnganba Singh.

Kira-kira sejam terdahulu, trio India ini diheret oleh Brunei sehingga set penentuan sekalipun memenangi perlawanan liga ketiga mereka, 12-15, 15-11, 15-11.


AZLAN Alias melonjak tinggi untuk libasan gunting terhadap regu Singapura sambil diperhatikan oleh Farhan Adam (13) dan Haziq Hairul Nizam. - Kredit foto: SASA


Tuan rumah seperti negara-negara peserta undangannya, turut tertakluk kepada syarat penyertaan wajib regu berpasukan, perlu memilih antara regu atau kuadran (berempat) dan regu campuran atau kuadran campuran.

Juga tanpa dua lagi pencabar handalan seperti Korea Selatan dan Myanmar, regu negara mengekalkan rekod tanpa kalah sejak hari pertama kejohanan pada 1 September 2024 dengan menumpaskan Singapura 15-2, 15-6 dan China 15-8, 15-6.

Namun rekod Haziq, Azlan dan Farhan di samping simpanan, Zarif Marican Ibrahim Marican dan Shahalril Aiman Halim itu nyaris tercalar dek tentangan sengit Brunei yang dilatih oleh bekas jurulatih Malaysia, sebelum mampu memastikan kemenangan 13-15, 15-9, 15-12.



Malaysia merupakan juara acara ini ketika Piala Dunia Istaf pada 22 Mei 2024 setelah menewaskan Si Gajah Putih 15-8, 15-12 dalam perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun final antara regu King’s Cup 2023 menyaksikan kecundangnya regu negara kepada Thailand juga di Korat, 20-22, 17-21.  

Ketika itu harapan kita digalas oleh Syahir Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Amirul Zazwan Amir dengan simpanannya, Zarif dan Azlan.

Malaysia masih mempunyai satu lagi acara kemuncak, regu berpasukan yang mempertaruh piala berprestij ini milik Thailand yang dipertahannya sejak 1989 sekiranya memasuki final pada 8 September 2024.


SHAHALRIL Aiman Halim (22) mempamerkan rejaman gulung berbisanya ke kawasan Singapura sambil diawasi Zarif Marican Ibrahim Marican (2) dan Farhan Adam. - Kredit foto SASA


Aksi sulung acara kuadran (berempat) campuran Divisyen Perdana King’s Cup 2024 pula merakamkan tersungkurnya gandingan Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Nur Athirah Roslan dan Nurul Syafiqah Jafri kepada Vietnam 17-15, 12-15, 7-15.

Saingan Kumpulan A Divisyen Perdana ini jelas milik lawan yang kekuatannya lebih seimbang, tangkas dan serba boleh sedangkan hanya sang lelaki kita yang kerap memainkan peranan sedangkan wanita tidak lebih sekadar pemerhati di kiri dan kanan gelanggang.

Malah Fetri Aswadi yang cuba masuk selaku perejam untuk menggantikan dan mengurangkan beban Noraizat, kerap kali ditangkis serangannya sekali gus gagal membantu menjarakkan mata Malaysia.


PENGURUS pasukan Malaysia, Datuk Abu Jimi Samat (baris tengah, lima dari kiri) menunjukkan cenderamata penghargaan TAT bersama-sama wakil pasukan negara yang bertanding pada majlis perasmian King's Cup Ke-37 di Korat, Thailand pada 1 September 2024. - Foto TAT

17
10
0
5
0
You will be interested